Isnin, 1 Disember 2014

Kisah Raja Al-Najasyi

Kisah Raja al-Najasyi

       Rasulullah s.a.w berasa pilu melihat dahsyatnya kezaliman yang dideritai oleh kaum Muslimin di Makkah. Baginda berkata kepada mereka: “ Di negeri Habsyah bertakhta seorang raja yang tidak suka berlaku zalim. Pergilah kalian ke sana dan berlindunglah di istananya sehingga Allah membukakan jalan keluar dan membebaskan kalian daripada kesulitan ini.”
     Atas dorongan Rasulullah s.a.w itu, berangkatlah rombongan pertama Muhajjirin dalam Islam yang berjumlah 80 orang ke Habsyah. Di negeri baru itu mereka mendapat ketenangan dan keamanan. Mereka bebas menikmati manisnya takwa dan ibadah tanpa sebarang gangguan.

SEJARAH PAHIT DIZALIMI
      Asham atau gelarannya al-Najashi sentiasa bersedia melindungi orang yang dizalimi. Beliau belajar daripada sejarah pahit hidupnya. Menyelusuri sejarah hidupnya, beliau merupakan anak tunggal kepada raja di Habsyah pada ketika itu. Ayahnya dibunuh dalam satu komplot jahat untuk menggulingkannya. Kemudian, beliau diasuh oleh bapa saudaranya yang menggantikan takhta selepas itu. Beliau membesar menjadi pemuda yang berkarisma dan berkepimpinan.
     Para pembesar Habsyah risau jika pemuda itu diangkat menjadi raja dan bangkit menuntut bela atas kematian ayahnya. Mereka menghasut raja agar membunuh Asham. Mendengar permintaan tersebut, raja sangat murka dan berkata: “sejahat-jahat kaum ialah kalian! Dahulu, kalian membunuh ayahnya dan kini kalian memintaku untuk membunuhnya pula. Demi Allah, aku tidak akan melakukannya.”
     Raja tidak berdaya menghadapi tekanan dan paksaan para pembesarnya. Baginda terpaksa mengusir Asham ke tempat yang jauh dan asing. Tidak lama selepas itu, tiba-tiba terjadi peristiwa di luar dugaan. Badai mengamuk disertai hujan lebat. Sebatang tiang roboh lalu menimpa raja yang sedang berduka dengan pengusiran Asham, lalu menyebabkan baginda mangkat.
      Rakyat Habsyah bingung untuk memilih raja baru. Kesemua 12 orang putera raja, seorang pun tidak layak dan sesuai untuk dinobatkan sebagai raja. Mereka cemas dan gelisah lebih-lebih lagi setelah mendapati negeri-negeri jiran menunggu kesempatan untuk meyerang. Mereka bergegas mencari Asham dan membawanya pulang ke Habsyah. Lalu mereka meletakkan mahkota di atas kepalanya dan membaiah sebagai raja. Mereka memanggil Asham dengan gelaran al-Najashi. Baginda memerintah Habsyah secara baik dan adil. Segala bentuk kezaliman dihapuskan kerana baginda sendiri pernah merasai di zalimi.

USAHA MENGHASUT RAJA AL-NAJASHI
      Pihak kafir Quraisy tidak senang melihat keamanan Muslimin di Habsyah. Mereka mengirim dua orang utusan berkarisma kepada al-Najashi dan kedua-duanya mahir berdiplomasi. Mereka ialah ‘Amru bin al-‘As dan Abdullah bin Rabi’ah. Mereka berangkat dengan membawa hadiah-hadia dalam jumlah yang besar untuk al-Najashi. Tidak lupa juga hadiah untuk para pembesar tinggi Habsyah yang sudah sedia maklum menyukai barang-barang dari Makkah. Sesampainya di Habsyah mereka berdua terlebih dahulu terjumpa para pembesar. Mereka telah “menyuap” para pembesar tersebut dengan hadiah yang dibawa. Mereka kata: “Di negeri tuan telah tinggal sejumlah pengacau dari kota kami. Mereka keluar daripada nenek moyang dan memecahbelahkan kesatuan antara kami. Jika kami menghadap al-Najashi untuk membicarakan masalah ini, kami mohon kalian semua agar menyokong kami untuk menentang agama mereka tanpa bertanya apa-apa. Kami ialah kaum mereka dan kami  lebih mengenali siapa mereka dan mengharapkan agar kalian sudi menyerahkan mereka kepada kami.”
      Setelah memilih masa yang tepat, ‘Amru bin al-‘As dan Abdullah bin Rabi’ah mengahadap al-Najashi. Mereka terlebih dahulu sujud meyembah seperti yang biasa dilakukan oleh orang Habsyah. Al-Najashi menyambut kedatangan mereka dengan baik kerana baginda sudah mengenali  ‘Amru bin al-‘As. Lalu utusan Quraisy memberikan hadiah-hadiah yang hebat disertai kiriman salam daripada pembesar Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan.

KEADILAN AL-NAJASHI
    Raja al-Najashi tidak gopoh dalam membuat sebarang keputusan. Baginda meminta pendapat para pembesar terlebih dahulu bertujuan untuk meraikan mereka. Ternyata mereka beria-ia menyokong utusan Abu Sufyan itu. Namun raja al-Najashi tidak mudah terpengaruh. Baginda telah memanggil kaum Muslimin ke istana. Kaum Muslimin hadir ke istana dengan penuh adab. Mereka berdiri di suatu sudut. ‘Amru bin al-‘As menoleh kearah mereka dan bertanya: “mengapa kalian tidak sujud kepada raja?”
      Mereka menjawab: “kami tidak sujud kepada sesiapa kecuali Allah”. Al-Najashi mengkagumi kata-kata itu. Baginda bertanya kepada Ja’far bin Abi Talib: “adakah kalian membawa sesuatu yang dibawa oleh Nabi itu tentang Rabnya?”. Beliau menjawab: “Ya, ada”. Al-Najashi berkata: “Tolong bacakan untuk kami”. Lalu Ja’far membacakan surah Maryam. Antara bacaan tersebut seperti berikut, maksudnya: “ceritakanlah (kisah) Maryam dalam al-Quran. Iaitu ketika menjauhkan diri daripada keluarganya ke sebuah tempat di sebelah timur. Maka dia membuat tabir (yang melindunginya) daripada mereka. Lalu kami mengutus roh Kami (malaikat Jibrail) kepadanya, maka ia menjelma di hadapannya dalam bentuk yang sempurna. Maryam berkata: “sesungguhnya aku berlindung daripadamu kepada Tuhan yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertakwa.’ Ia (Jibrail) berkata: ‘hanya sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Tuhanmu, untuk memberimu seorang anak lelaki yang suci (bakal menjadi nabi). (Surah Maryam 19:16-19)
      Raja al-Najashi sebak mendengarnya. Air matanya mengalir deras. Beliau berkata: “Apa yang mereka bacakan kepada kami dan apa yang di bawa oleh Isa berasal daripada sumber yang sama. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkan mereka sama sekali kepada kalian selagi aku masih hidup.” Beliau memerintahkan kepada pengawalnya: “kembalikan hadiah-hadiah daripada ‘Amru bin al-‘As dan sahabatnya itu. Aku tidak memerlukannya. Allah tidak menerima suapan (rasuah) daripadaku ketika aku kembalikan ke negeriku, untuk apa aku menerimanya daripada mereka ini?”

Tiada ulasan:

Feature Post

al Rahman

Harini saya belajar sesuatu yang betul-betul buat saya diam dan termenung... Daripada Ustaz Nouman Ali Khan tentang hubungan ant...

Popular Post