“Learning without thinking
is useless. Thinking without learning is dangerous.” - Confucius
Benar
sekali kata-kata Confucius itu.
Bahawa
belajar tanpa berfikir adalah sia-sia, berfikir tanpa belajar adalah merbahaya!
Dua dimensi
yang sama buruk ini harus kita renungkan bersama. Mungkin ia menjawab beberapa
teka teki yang menghantui fikiran saya, tatkala hampir saban hari menerima
soalan-soalan dari pembaca yang menunjukkan bahawa pembelajarannya tiada
disertai dengan proses berfikir!
Amat lurus
bendul fikirannya menadah maklumat hingga tahunya yang banyak itu, tidak
berhasil membantu diri menjawab soalan kehidupan, di luar kertas peperiksaan.
Belajar
tanpa berfikir adalah suatu kesia-siaan. Justeru tiada faedah pelajar lulus
peperiksaan tetapi tidak menyertai latihan berfikir di sepanjang pembelajaran
itu. Beliau lulus dengan hafalan, bukan dengan kefahaman. Tanda kelulusan
dengan hafalan dan bukan kefahaman, ialah apabila hafalannya tidak dapat
menguruskan realiti. Tafsirannya di awangan, terjemahannya berterbangan.
Ideanya sangat tekstual, hingga teks berpisah dari konteks.
“Agama
tidak tertegak dengan logik akal”, tegasnya.
“Agama juga
tidak tertegak dengan membunuh akal”, itu jawabnya.
Lalu agama
dibentangkan secara yang sungguh tidak masuk akal, demi memenangkan teks yang
tidak diprosesnya melalui disiplin fikir.
Muktazilah
yang meletakkan akal mengatasi naqal (nas periwayatan), telah diuruskan nasib
mereka oleh sejarah. Tetapi membuang Muktazilah, tidak harus sampai membuang
akal. Proses berfikir harus diteruskan, kerana tanpa berfikir, taqlid jadi
parah, perjuangan membunuh taqlid juga menghasilkan taqlid yang kedua.
Terimalah
teguran-teguran Allah, kepada manusia yang enggan berfikir. Hakikatnya
kemalasan berfikir adalah suatu dosa.
BERFIKIR
TANPA BELAJAR
Berfikir
menggerakkan diri mencari kebenaran, mengenal pasti kebaikan. Justeru berfikir
mesti segera bertemu bekal, agar jangan sudahnya bebal.
Banyak
sungguh soalan yang mahu ditanya. Tetapi sedikit sekali usaha untuk
menjawabnya.
Bersoal
jawab adalah proses belajar yang penting. Tetapi tasawwur sukar dibina hanya
dengan soal jawab. Bertanya kepada google.com atau Ustaz Haji Google.Com,
kedua-duanya akan membekalkan kita dengan jawapan, tetapi tidak membantu
membina gambaran.
Kita menyoal
dan bertanya…
“Kenapa
Islam menegah homoseksualiti? Sedangkan 1/10 penguin adalah gay!”, tanya satu
soalan.
“Kenapa
Allah berkata bahawa bumi dicipta selama enam hari sedangkan Sains membuktikan
sebaliknya?”, tanya soalan kedua.
Soalan ini
boleh berterusan dan tidak berkesudahan. Tetapi memperolehi jawapan secara
pasang siap, tanpa diketahui proses untuk menghasilkan jawapan itu, akan
menyebabkan soalan yang dijawab bersambung dengan soalan yang seterusnya. Dan
selepas siri soalan itu terjawab, banyak soalan sudah selesai tetapi lebih
banyak lagi soalan lain yang datang.
Ia adalah
kepingan-kepingan puzzle yang tidak bercantum.
Justeru
orang yang banyak bertanya, kerana banyak berfikir, harus banyak belajar.
Belajar dalam erti kata bukan setakat bergantung kepada jawapan hasil soalan,
tetapi harus belajar mengenal proses menghasilkan jawapan itu.
Misalnya,
sebutan 6 hari, adalah sebutan yang bergantung kepada terjemahan al-Quran.
Sedangkan di dalam bahasa asal al-Quran, sebutannya ialah sittah ayyaam.
Perkataan ayyaam di dalam Bahasa Arab, tidak terikat hanya kepada
apa yang diterjemahkan sebagai HARI iaitu himpunan satu unit masa yang
terbentuk dari 24 jam. Kalimah ayyaam boleh diertikan sebagai
peringkat atau marhalah… justeru keterangan al-Quran tentang cara Allah
mencipta bumi, tidak harus difahami dengan hanya bergantung kepada terjemahan,
sebaliknya harus kembali kepada Bahasa Arab.
Adakah
sittah ayyam itu enam hari, enam marhalah (stages) atau enam apa?
Sudikah
anda belajar Bahasa Arab?
Kata
Confucius, “berfikir tanpa belajar itu merbahaya”. Merbahayanya ia adalah pada
terjun ke laut tanpa pelampung, berenang di lautan tanpa diketahui pantainya.
Selepas segala maklumat diperolehi dari capaian internet di hujung jari, apa
yang terus menjadi beban ke atas golongan ini, adalah kegagalannya melihat rupa
bentuk agama.
Mana
hujung, mana pangkalnya.
Mana pintu,
mana tingkapnya.
Menyoal
pelbagai isu tentang al-Quran tetapi tiada kesudian untuk melengkapkan diri
dengan pengetahuan asas untuk berinteraksi dengan al-Quran. Bahasa Arabnya,
asbab al-nuzul, ghara’ib lafaznya, nasakh mansukhnya, sudikah manusia yang
banyak berfikir ini belajar?
Atau banyak
berfikir dan banyak bertanya, tetapi apa yang diinginkan hanya keputusan akhir
semata. Boleh atau tidak, halal atau haram… tetapi enggan berusaha memahami
prosesnya.
Pelajar
bukan pemikir sia-sia.
Pemikir bukan pelajar merbahaya.
Pemikir bukan pelajar merbahaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan