SOALAN :
Apakah sah solat seseorang yang di dalam mulutnya ada sisa makanan atau ada pada lidahnya rasa makanan atau minuman?
JAWAPAN :
Di antara perkara yang bolih membatalkan solat ialah menelan suatu benda sekalipun sedikit samada makanan atau minuman atau lainnya selepas takbiratulihram dan sebelum memberi salam.
Ada pun jika sisa makanan ada didalam mulutnya ketika dia mengerjakan solat atau ada pada lidahnya rasa makanan atau rasa minuman dan dia tidak menelannya maka tidaklah batal solatnya itu.
Jika dengan sengaja dia telan sisa makanan tersebut sekalipun sedikit atau air liurnya ada rasa makanan atau rasa minuman lalu dia telan air liurnya itu maka batal solatnya.
Telah menyebut olih Syeikh Sulaiman Al-Jamal :
أَمَّا مُجَرَّدُ الطَّعْمِ الْبَاقِي مِنْ أَثَرِ الطَّعَامِ فَلا أَثَرَ لَهُ لانْتِفَاءِ وُصُولِ الْعَيْنِ إلَى جَوْفِهِ وَلَيْسَ مِثْلُ ذَلِكَ الأَثَرُ الْبَاقِي بَعْدَ الْقَهْوَةِ مِمَّا يُغَيِّرُ لَوْنَهُ أَوْ طَعْمَهُ فَيَضُرُّ ابْتِلَاعُهُ لأَنَّ تَغَيُّرَ لَوْنِهِ يَدُلُّ عَلَى أَنَّ بِهِ عَيْنًا
Artinya : “Ada pun sisa makanan yang berbaki dalam mulut itu tidak membatalkan solat kerana tidak sampai ia ke dalam perut. Dan tidak sama umpama yang demikian itu sisa yang tinggal kemudian dari minum kopi dari barang yang mengubah warna air liur atau mengubah rasa air liur maka bolih memberi mudarat menelannya dari kerana berubah warna air liur itu menunjukkan atas ada padanya juzuk makanan.” (Hasyiah Al-Jamal ‘ala Al-Minhaj)
Sebaiknya dia bersihkan dulu mulutnya sebelum memulakan solat selepas makan atau minum kerana itulah sunat berkumur sebelum solat.
Kesimpulannya jika sisa makanan itu kekal dalam mulutnya tiada ditelannya sepanjang dia melakukan solat maka solatnya sah dan tidak batal.
Setengah ulamak menyebut dalam kitab-kitab mereka sunat diludah akan sisa makanan yang ada di dalam mulut ketika sedang melakukan solat.
ustaz azhar idrus
wallahua’lam