Rabu, 14 April 2010

Kepercayaan Dan Keyakinan


Dalam dunia pekerjaan, semua orang ada kelebihan tersendiri tidak kira apa pun level anda dalam organisasi tersebut. Hatta pembacuh kopi sekalipun kadangkala dapat mengeluarkan idea yang baik jikalau kita memberi peluang yang baik kepadanya untuk mengeluarkan pendapat.

Jika anda seorang ketua, jangan jadi seorang pemimpin kuku besi, segala galanya mahu dibuat sendiri mengikut hati sendiri, segalanya mahu datang dari anda seorang. Baik idea atau cadangan. Sesi yang sepatutnya menjadi sesi perbincangan bertukar menjadi sesi arahan sehinggakan orang bawahan anda hanya menjadi burung belatuk. hanya mengiya dan mengangguk.

Sebagai seorang ketua, cuba beri sedikit kepercayaan pada orang bawahan anda membuat keputusan. Kepercayaan yang diberikan harus diikuti dengan keyakinan bahawa mereka boleh melakukan... berikan kepercayaan dan lihat hasilnya..

Selasa, 13 April 2010

Menu bagi Ibu mengandung


5 langkah mudah tentang pola pemakanan bagi wanita hamil:

1. Rajin makan supplemen, Pil Vitamin terutama asid folic dan Obamin. Biasanya suplemen ini dilengkapi dengan berbagai vitamin dan mineral dengan jumlah yang telah disesuaikan dengan keperluan seorang ibu hamil. Vitamin dan mineral antara lain terdiri dari asid folate, besi, iodin, vitamin D, kalsium, dan vitamin A dan banyak lagi.

2. Jaga berat badan. Seorang wanita hamil hanya memerlukan 300 kalori tambahan tiap - tiap hari untuk menyokong pertumbuhan bayinya. Jumlah tersebut setara dengan kandungan dari satu penyajian yoghurt atau sepotong buah. Jadi tidak perlu makan berlebihan yang hanya akan mengakibatkan pertambahan berat di luar kewalan.

3. Makan makanan yang bernutrisi. Gunakan piramida makanan sebagai panduan menentukan variasi menu harian. Pastikan menu yang dimakan adalah mencukupi semua keperluan nutrisi yang meliputi karbohidrat, serat, protein, vitamin, mineral, dan kalsium.

4. Kurangkan pengambilan lemak. Pastikan Jumlah lemak yang diambil tidak melebihi 30% dari jumlah harian. Sebaiknya ambil produk yang mempunyai kadar lemak yang rendah.

5. Perbanyak minum air dengan kadar yang tetap, terutama air putih, sebanyak 6 hingga 8 gelas sehari. Ini dapat membantu kelancaran pembuangan toksin yang tidak diperlukan tubuh melalui kulit, ginjal, dan kolon. Selama hamil, ibu perlu memastikan tahap kebersihan diri.

Selain itu, sebaiknya elakkan pengambilan produk minuman atau makanan yang mengandung kafein.
Mudah-mudahan ini dapat membantu meningkatkan kesihatan ibu dan anak yang dikandung insya allah..

Tanggungjawab


Ihsan Dari Smartstart LPPKN


ADA banyak perkara yang perlu anda pertimbangkan dalam hubungan anda sebagai pasangan kekasih kerana ia akan mempengaruhi masa depan kehidupan anda bersama.


Perkahwinan bukan sekadar berpandukan kepada cinta semata-mata. Jika cinta yang dijadikan asas, besar kemungkinan perkahwinan yang didirikan berhadapan dengan pelbagai masalah.

Pandangan keluarga, perancangan masa depan, persamaan dan perbezaan antara anda dan teman perlu dibincangkan bersama sebelum anda mencapai kata sepakat untuk mendirikan rumah tangga.

Bak kata orang, perkahwinan bukan sekadar anda dan pasangan, sebaliknya ia membabitkan banyak pihak dan isu. Ketika bercinta semuanya indah, tetapi apabila sudah melangkah ke alam perkahwinan barulah tampak kepincangan masing-masing.

Tanpa perbincangan, anda akan mengalami pelbagai masalah kelak, justeru tetapkan hala tuju anda dan pasangan sebelum mengambil langkah lebih serius. Persoalan berikut mungkin boleh dijadikan pertimbangan.

Pengalaman ketika kecil ketika bersama keluarga.

Apakah pengalaman duka masa kanak-kanak akan menjejaskan perkahwinan anda?

Kasih sayang daripada ibu bapa.

Apakah ibu bapa anda mesra, mengambil berat dan penyayang atau adakah mereka sering berselisih faham?

Latar belakang agama.

Adakah anda seorang yang beriman dan bertakwa?

Pendidikan.

Apakah anda dan pasangan memiliki taraf pendidikan yang sama? Apakah anda berasa tergugat jika pasangan anda memiliki taraf pendidikan yang lebih tinggi? Apakah anda bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran?

Latar belakang budaya dan sosioekonomi.

Bandingkan latar belakang masing-masing - lebih besar perbezaan antaranya maka lebih besarlah kemungkinan wujudnya masalah berkaitan adat resam, kehidupan berkeluarga, harapan tradisi dan sebagainya.

Kepintaran.

Apakah anda lebih pintar daripada pasangan anda atau sebaliknya? Apakah ini mungkin mencetuskan rasa iri hati?

Hubungan dengan mentua.

Apakah pandangan saudara mara anda mengenai calon pilihan anda dan bagaimana hubungan anda dengan mentua?

Sikap dari segi kewangan.

Apakah anda akan berbincang mengenai cara menguruskan kewangan selepas berkahwin?

Bilangan anak.

Apakah anda dan pasangan bercanggah pendapat mengenai bilangan anak dan perancangan keluarga? Apakah anda berbincang mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa dan cara membesarkan anak?

Masalah seksual.

Apakah perasaan anda dan pasangan terhadap kemampuan seksual masing-masing? Anda berdua patut menjalani pemeriksaan fizikal dan khidmat kaunseling bagi memastikan tiada masalah seksual.

Pemilih tempat tinggal.

Di manakah anda berdua akan tinggal selepas berkahwin - di rumah sendiri atau mentua. Jika memilih untuk tinggal di rumah mentua dapatkah anda menyesuaikan diri dengan mereka?

Anda Bersedia Untuk Menjadi Ibu Bapa?

Dalam perkahwinan, pasangan biasanya akan merancang untuk mempunyai anak. Perkara ini wajar dibincangkan ketika anda merancang untuk berkahwin. Ada banyak persoalan yang perlu dijawab terlebih dulu. Adakah anda benar-benar mahukan anak? Berapa ramai? Bila? Anda dan pasangan wajar membincangkan tahap persediaan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa, juga sama ada anak akan melengkapi kehidupan berkeluarga serta beban kewangan yang bakal dihadapi.

Selasa, 6 April 2010

sabar


Iman Ghazali menjelaskan:
Sabar ialah tetap tegaknya dorongan agama ketika berhadapan dengan
dorongan hawa nafsu. Dorongan agama adalah hidayah Allah kepada manusia
untuk mengenalNya, RasulNya, serta untuk mengetahui dan mengamalkan ajaranNya serta perkara-perkara yang berkenaan dengan akibatnya. Sabar iaitu sifat yang membezakan manusia dengan binatang dalam hati menundukkan hawa nafsu. Sedangkan dorongan hawa nafsu ialah tuntutan syahwat dan keinginan yang meminta dilaksanakan.

Sesiapa yang yang tetap tegak bertahan sehingga dapat menundukkan dorongan
hawa nafsu secara terus menerus, orang tersebut termasuk golongan 0rang-orang yang sabar.

“ …dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar,
dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan
lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Isnin, 5 April 2010

Akhlak


Di dalam hidup manusia, pelbagai perkara berlaku dan terjadi. Kehidupan manusia terbina dengan kesenangan, kepayahan, kedukaan, kegembiraan dan 1001 macam perasaan dan situasi. Kehidupan manusia juga terbina dengan kehadiran manusia lain di dalamnya. Anak-anak, isteri, suami, ayah, ibu, kawan-kawan, musuh dan sebagainya…

Kehidupan manusia juga terbina dengan akidahnya, pegangannya dan kefahamannya. Namun kehidupan yang bagaimanakah kita mahukan?

Akhlak mulia hakikatnya merupakan salah satu asas terpenting dalam ajaran Islam untuk membina peribadi dan memperbaiki masyarakat. Perkara tersebut dikatakan asas terpenting kerana keselamatan masyarakat, kekuatan, kemuliaan, dan kewibawaan peribadi-peribadinya sangat bergantung kepada sejauh mana mereka berpegang dengan akhlak mulia tersebut. Sebaliknya masyarakat akan hancur dan rosak tatkala mereka meninggalkan dan menjauhi akhlak yang terpuji.

“Tiada suatu perkara yang paling memberatkan timbangan (kebaikan) seorang Mukmin pada hari kiamat selain daripada akhlak mulia, dan sesungguhnya Allah amat benci kepada seorang yang buruk perbuatan dan ucapannya.” (Riwayat at-Tirmizi dan disahihkan oleh Syaikh Albani)

“Sesungguhnya orang yang paling aku cintai antara kalian dan paling dekat tempat duduknya denganku pada hari kiamat ialah yang paling bagus akhlaknya, dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh tempat duduknya dariku pada hari kiamat ialah tsartsarun (yang banyak bicara), mutasyaddiqun (yang bicara sembarangan lagi mencela manusia) dan mutafaihiqun.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, kami telah mengetahui tsartsarun dan mutasyaddiqun, tetapi siapakah mutafaihiqun itu?” Rasulullah menjawab, “Mutakabbirun (orang yang sombong).” (Riwayat at-Tirmizi dan disahihkan oleh Syaikh Albani)

Ahad, 4 April 2010

tahajud


Sesungguhnya Sholat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain .

Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

"Dan pada sebagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji." (Surah al-Isra' 17: 79)
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )


Sabtu, 3 April 2010


Dendam ibarat virus+bom jangka pada masa yang sama. Ia adalah virus yang menghakis kebahagiaan hati, juga bom jangka yang akan meledakkan kemarahan dan menghancurkan harmoni.

Dendam biasanya bermula dengan marah. Rasa tidak puas hati. Akhirnya syaitan menyalutnya dengan benci. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai pesalah. Kita tidak puas hati ditegur. Kita timbulkan 1001 alasan untuk membuatkan teguran itu sesuatu yang perlu kita marahkan. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai tidak bersalah. Tiba-tiba ada orang aniaya kita, dan melakukan sesuatu yang buruk pada kita atau sengaja membuatkan kita marah. Maka kita timbulkan 1001 alasan untuk membuatkan situasi itu sebagai lesen untuk menghamburkan amarah.

Mungkin kita akan rasa puas hati lepas marah-marah sebentar. Tetapi, ia memberikan luka yang dalam. Baik kepada yang dimarahi, atau kita sebagai pemarah.

Sebab itu, Islam menganjurkan bermaafan.

Sebab dengan kemaafan, hati manusia itu akan bahagia.

Memang tidak mudah. Kita akan rasa diri kita dipijak. Kita akan rasa bahawa kitalah yang kalah. Kita akan rasa bahawa dengan memaafkan maka kita kelihatan seperti pesalah.

Kita rasa bahawa: “Dia salah, maka dia kenalah merana atas kesalahannya”

Bukan mudah memaafkan. kita sedar, yang menghadang antara memaafkan dengan tidak adalah sebuah tembok bernama Ego.

Tetapi, apakah jalan ke arah kebahagiaan itu mudah-mudah sentiasa?

Tidak. Ia memerlukan pengorbanan.

Maka, untuk mendapat ketenangan hati dari tindakan memaafkan orang ini, kita perlu mengorbankan ego kita.

Kita percaya bahawa, Allah akan memberikan kita sesuatu yang lebih baik, apabila kita memaafkan sesiapa yang menganiaya kita.

“…dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nuur ayat 22.

Ganjarannya adalah keampunan Allah. MasyaAllah… hanya dengan memaafkan.

Tidakkah ganjaran itu sangat besar berbanding kesakitan jiwa memendam amarah?

Memaafkan mempunyai khasiat yang banyak. Selain menjaga hubungan harmonis antara sesama manusia, ia juga mengetuk kesedaran jiwa akan kesalahan diri sendiri terhadap orang lain.

Sebagaimana Rasulullah SAW yang amat pemaaf, sifatnya itu mengetuk kesedaran pada ramai musuh-musuhnya. Kita dapat melihat betapa besarnya peribadi Rasulullah SAW apabila baginda memaafkan seluruh kaum Musyrikin Makkah ketika peristiwa Fathu Makkah.

Harun Yahya pula, ada menyatakan bahawa, dengan memberikan kemafaan pada orang lain, ini akan membantu kesihatan. Dua buku karangan orang bukan Islam, telah menyokong pendapat ini. Buku yang pertama adalah: Forgive for Good by Dr Federic Luiskin dan Forgiveness by Healing Current Magazine. Kedua-dua buku ini menyatakan betapa memaafkan itu dapat mengurangkan stress, dan mengekalkan kemudaan. Kedua-dua buku ini juga menyatakan bahawa, menyimpan dendam, menahan kemaafan adalah mampu merosakkan sistem tubuh. Hal ini kerana, apabila mansuia berterusan marah, maka kitar suhu tubuh dan peraliran darahnya menjadi tidak teratur dan tidan seimbang.

Islam sebagai satu cara hidup, yang diturunkan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui, ternyata telah merungkai perkara ini terlebih dahulu. Sebab itu, kita dapat melihat betapa tenangnya kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat, apabila mereka sentiasa memaafkan dan tidak pula berdendam.

Mereka tidak terjun merosakkan hati dan diri mereka dengan memanjangkan perkara yang tidak sihat.

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;” Surah Al-Furqaan ayat 63.

Bila kita memaafkan seorang pencuri, apakah kita menghalalkan tindakannya mencuri? Bila kita memaafkan seorang yang menganiayai kita, apakah kita menghalalkan tindakannya menganiayai kita?

Tidak. Perbuatan salah itu tetap salah.

Adakah memaafkan itu bermaksud tidak menegur?

Tidak. Kita tetap menegur.

Beza orang yang memaafkan menegur, dengan orang yang marah-marah menegur, orang yang memaafkan itu lebih bersih tegurannya. Dia tidak bersalut emosi yang melampau. Dia menegur memang betul-betul kerana dia faham tanggungjawabnya untuk menegur.

Apakah memaafkan ini bermaksud kita tidak boleh marah?

Tidak. Kita boleh marah. Tetapi bagaimanakah marah yang sebenarnya? Terbina di atas apakah kemarahan kita? Semestinya kita marah pun, mengikut neraca Allah SWT.

Memaafkan adalah untuk kita sebenarnya. Dengan memaafkan, bermakna kita sedang taat kepada Allah SWT. Memaafkan, bermakna kita sedang berusaha menaga jiwa kita.

Syaitan, menjadikan amarah manusia, sebagai kuda tunggangannya.

Kita sebagai manusia, diberikan pilihan untuk berikhtiar. Maka, kita tidak dipaksa untuk memaafkan mahupun untuk tidak memaafkan. Kita yang pilih.

Namun, setiap pilihan ada konsikuensinya yag tersendiri.

Apakah tidak memaafkan itu memberi manfaat yang besar pada diri kita, dan juga pada orang lain? Apakah memaafkan itu memberikan mudarat yang besar pada diri kita dan juga pada orang lain?

Sebab itu, dalam membuat pilihan, sebaiknya kita mengambil neraca Allah SWT. Kita tidak mengetahui, tetapi Allah SWT Maha Mengetahui.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah At-Taghabun ayat 14.

“Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” Surah Asy-Syu’ara ayat 43.

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;(Siapakah orang-orang yang bertaqwa?) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”Surah Ali Imran ayat 133-134.

Justeru, pilihan di tangan kita.

Memaafkan, atau tidak memaafkan.


Feature Post

Perjalanan tentang jarak

Aku pernah menyangka bahawa perjalanan paling jauh adalah tentang jarak. Tentang kota‑kota yang belum sempat aku kunjungi. Tenta...

Popular Post