Jumaat, 4 November 2016

ALLAH YANG NAIKKAN HARGA BARANG?!

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Apabila artikel ‘Kenaikan Harga Barang Ketetapan Allah’ muncul di saat rakyat sedang merasai ancaman kenaikan harga barang akibat potongan subsidi minyak oleh pihak kerajaan, majoriti rakyat memang tidak puas hati. Saya tidak tahu, apakah hasrat sebenar penulis berkenaan.

Mungkin niatnya hendak meredakan perasaan rakyat terhadap kerajaan ataupun meredhakan kerajaan terhadapnya, itu tidak pasti. Kata penulis, dia bercakap dalam konteks sabar. Mungkin itu maksudnya.

Menariknya saya terbaca satu komen yang menyebut: ‘Kalau begitu pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang ketetapan Allah lah?!’ Ringkas, tapi penuh makna.

Akidah

Sebelum kita pergi kepada hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu ini, saya suka menyebut bahawa dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan. Jabariah tidak termasuk dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian.

Nabi s.a.w mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama.

Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu. Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izinNYA. Namun, apa yang DIA izinkan, bukan semestinya DIA redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan semestinya DIA izinkan. DIA tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang diciptaNYA. DIA redha hamba-hambaNYA bersedekah, tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta yang banyak, atas sistem alam ciptaanNYA. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk membalas kebaikan dan keburukan.

Usaha

Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabiNYA dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran.

Firman Allah: (maksudnya)
“(ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).

Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.

Takdir

Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi s.a.w menyebut:
“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap ‘ini semua takdir’ lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit. Sabda Nabi:
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).

Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh yang menyebut:
Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”. Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka.” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).

Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri.

Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu. Allah telah ingatkan (maksudnya)
“Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh bagitau mahkamah ‘jangan salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan mematikan’.

Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah’. Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem keadilan yang wajib ditegakkan.

Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab “Allah menaikkan harga barang”. Apakah anda akan berkata: ‘masyaAllah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman’. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!’.

Dalam negara ini, ada berbillion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga berbillion ringgit.

Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai alasan berbillion harganya. Apakah jawapannya: ‘semua itu takdir Allah?!’. Saya juga lebih tertarik dengan kerajaan sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan itu cara berhujah yang betul untuk membela.

Maksud Hadis

Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia berkata:

“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki.

Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semulajadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.

Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi.

Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak. Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut:

“Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli).

Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).

Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.

Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat.

Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij:

“Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Adapun saya, tidak tahu apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan mengemukakannya. Saya serahkan urusannya kepada Allah.

http://drmaza.com/home/?p=2493

Khamis, 3 November 2016

Kepentingan Ilmu

Sesungguhnya Allah s.w.t tidak memuliakan manusia dengan kekuatan tubuh badan mahu
pun ketegapannya dan tidak pula Allah s.w.t memuliakan seseorang dengan ketampanan paras rupanya dan ketinggian tubuh badannya. Akan tetapi Allah s.w.t memuliakan manusia kerana akalnya. Allah s.w.t mengurniakan kepada manusia akal untuk memakmurkan bumi ini dan untuk mengabdikan diri mrereka kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Namun kemampuan akal terbatas untuk memikirkan semua perkara yang ada dan untuk mengenali Allah s.w.t. Walaupun akal itu dikurniakan Allah dengan kekuatan kefahaman dan pengetahuan namun ia tetap lemah kecuali dengan panduan daripada Allah s.w.t.

Di dalam menghiasi anugerah Allah ini, ketinggian ilmulah merupakan sebaik-baik perhiasannya . Jika setiap sesuatu perkara mempunyai kunci, maka kunci bagi akal adalah ilmu. Tanpa ilmu manusia tidak mampu mengenal dan mengetahui tujuan sebenar ia diciptakan. Tanpa ilmu juga manusia tidak dapat mengenal siapakah Pencipta mereka. Maka manusia memerlukan ilmu untuk mengenal Allah dan untuk beribadat kepadaNya.

Banyak ayat-ayat Al-Quran yang mengaitkan orang-orang yang mempunyai ilmu dengan mereka yang mendapat petunjuk. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 7:

Ertinya: Dan tidaklah mengingati Allah kecuali mereka yang mempunyai akal.

Begitu juga banyak hadith-hadith Rasulullah mengenai keutamaan ilmu dan ulama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Keutamaan orang alim keatas seorang abid seperti keutamaanku ke atas orang-orang yang dekat diantara kamu".

Ini adalah kerana ilmu itu jika disaingkan dengan keimanan, akan membawa seseorang kepada tahap ketaqwaan dan keimanaan yang lebih tinggi lagi. Renungkanlah firman Allah s.w.t yang berbunyi:

Yang bermaksud: "Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.". (Surah Faathir ayat 28.)

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa ulama lah yang paling tunduk dan taat kepada Allah. Mereka dapat melihat dan memahami kebesaran Allah s.w.t melalui ilmu mereka. Dengan pemahaman dan penghayatan terhadap kebesaran Allah s.w.t itulah akan membuatkan mereka lebih takut kepada Allah dan secara langsung meningkatkan ketaqwaan mereka.

Di dalam Islam, tidak ada ibadah yang lebih baik dari menuntut ilmu. Kerana ibadah dengan ilmu adalah lebih baik dari ibadah tanpa ilmu. Mereka yang menuntut ilmu dianggap berjuang dalam jalan Allah. Mereka yang menuntut ilmu dihormati oleh sekelian makhluk. Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam sebuah hadith yang berbunyi :

Ertinya: Kelebihan orang mukmin yang alim atas mukmin yang rajin beribadah adalah tujuh puluh kali ganda.

Keutamaan ulama bukan hanya setakat ketika mereka hidup di dunia ini, malah setelah mereka pergi meninggalkan dunia ini jasa mereka tetap dikenang. Jika kita lihat peristiwa pengebumian para shuhada Uhud, apabila mereka dikebumikan secara berdua-dua, Rasulullah mengutamakan orang yang paling berilmu di antara mereka . Rasulullah s.a.w. bertanya kepada para sahabat : "Siapakah orang yang lebih mengetahui kitab Allah? Sahabat menjawab : "Ini ya Rasulullah". Maka mayat tersebut didahulukan daripada yang lain, kemudian diletakkan ke dalam liang lahad.

Begitu juga, selepas berlalunya abad lebih dari seribu tahun , manusia masih lagi menyebut tentang ulama-ulama besar yang telah pun menghabiskan masa mereka mengarang ratusan buku di dalam kehidupan mereka . Walaupun mereka sudah lama meninggalkan dunia ini, namun begitu nama-nama mereka tetap terpahat sehingga hari ini kerana ilmu yang mereka tinggalkan. Ulama lah yang membangkitkan tamadun ilmu Islam.

Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11 yang berbunyi :

Yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman apabila dikatakan kepadamu: Berlapang-lapanglah dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan (tempat) untukmu. Dan apabila dikatakan: Berdirilah kamu, maka berdirilah nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi Ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Sekian, Wassalam..

Rabu, 2 November 2016

Keutamaan Ilmu Pengetahuan


Di dalam al-Qur’an al-Karim terdapat banyak sekali ayat yang menunjukkan kepada keutamaannya ilmu pengetahuan itu. Antaranya ialah:

“Allah telah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia juga, begitu pula para Malaikat dan para ahli ilmu pengetahuan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan." (surah ali-‘Imran, ayat 18)

Perhatikanlah pada ayat yang tersebut di atas itu, bagaimana Allah subhanahu wa ta’ala telah memulakan penyaksian itu dengan diriNya sendiri, keduanya dengan para Malaikat dan sesudah itu dengan para ahli ilmu pengetahuan. Itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan betapa tingginya keutamaan ilmu pengetahuan dan kelebihannya.

“Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan begitu pula orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (surah al-Mujadalah, ayat 11)

“Katakanlah: Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada ilmu pengetahuan.” (surah az-Zumar, ayat 9)

“Hanyasanya orang yang takut kepada Allah dari golongan hamba-hambaNya itu ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan.” (surah Fatir, ayat 28)

“Andaikata mereka mengembalikannya (berita itu) kepada Rasul dan kepada orang-orang yang memegang urusan pemerintahan di antara mereka, tentulah halnya telah dimengerti oleh orang-orang yang menelitinya dalam golongan mereka itu.” (surah an-Nisa’, ayat 83)

Jadi hukum mengenai perkara-perkara yang berlaku itu harus dikembalikan kepada kebijaksanaan orang-orang yang berilmu pengetahuan, kerana martabat mereka ditingkatkan dengan martabat para Nabi dalam menyingkap hukum-hukum Allah subhanahu wa ta’ala.

Adapun hadith-hadith yang berkenaan dengan keutamaan ilmu pengetahuan ada banyak juga, seperti:

“Siapa yang dikehendaki baik oleh Allah, maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hakam agama dan akan diilhamkanNya petunjuk dalamnya.”

“Para ulama itu adalah warisan para Nabi.”

Tentulah tiada martabat yang lebih tinggi dari martabat kenabian, dan tiada kemuliaan yang lebih utama dari kemuliaan mewarisi martabat itu.

Rasulullah sollallhu ‘alayhi wasallaam bersabda:

“Apabila datang kepada satu hari, sedang pada hari itu aku tiada bertambah ilmu pengetahuan untuk mendekatkan diriku kepada Allah azza wajalla, maka tiada akan diberkati bagiku terbitnya matahari hari itu.”

Sabda Rasulullah sollallahu ‘alayhi wasallaam dalam menentukan kelebihan ilmu pengetahuan atas segala rupa ibadah dan penyaksian, katanya:

“Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadahnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan sahabatku.”

Cubalah perhatikan, betapa ilmu pengetahuan itu dipersamakan seiring dengan darjat kenabian, dan betapa pula direndahkan martabat sesuatu amalan yang sunyi dari ilmu pengetahuan, sekalipun orang yang beribadah itu cukup mengetahui dengan ibadah yang ia lakukan itu sehari-harian, kerana kiranya ibadah itu ditunaikan tanpa ilmu pengetahuan, tentulah ianya tidak boleh dinamakan ibadah.

Rasulullah sollallahu ‘alayhi wasallaam bersabda lagi:

“Kelebihan seorang ‘alim atas seorang ‘abid, laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang-bintang.”

Antara wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya ialah: “Wahai anakku! Pergauilah para ‘alim ulama dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, sebab Allah subhanahu wa ta’ala menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmah, sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit.

Tukilan dari buku:
Bimbingan Mu’minin - pada mencari redha Rabbil-‘alamin (Imam Ghazali)
Penterjemah: Ustaz Syed Ahmad Semait
Penerbit: Pustaka Nasional Pte Ltd

Ketahui alat-alat yang mempunyai sumber radiasi di hospital

Bila anda menghidap sesuatu penyakit yang tidak boleh dikesan dengan mata kasar, kebiasaannya anda akan diimbas menggunakan alat yang mengeluarkan sinar-x ataupun sinar gamma. Ataupun bila sel-sel tubuh anda berkembang sebagai sel kanser, maka anda akan dirawat menggunakan sinar-X yang bervoltan tinggi. Anda juga tidak terlepas dari terdedah kepada radiasi apabila melakukan pemeriksaan perubatan (medical check-up) melalui x-ray atau sinar-x.

Bahagian yang melibatkan penggunaan sumber radiasi dihospital untuk tujuan diagnos dan merawat sebenarnya terbahagi kepada 3 bahagian.

Radiologi (Radiology); untuk tujuan diagnostik atau mengenalpasti punca penyakit
Radioterapi (Radiotherapy): untuk tujuan merawat pesakit kanser
Perubatan Nuklear (Nuclear Medicine); untuk tujuan diagnostik


Alat-alat seperti CT-scan, General radiography atau mesin x-ray, Angioram, Floroskopi, Bone Densitometer merupakan alat yang menggunakan sinar-X (Sinaran mengion) di bahagian radiologi. Alat seperti MRI(Magnetic Resonance Imaging) dan ultrasound pula merupakan alat yang menggunakan sinaran tak mengion dibahagian radiologi sesebuah hospital. Anda tidak perlu risau kerana sinaran tak mengion tidak akan memberi kesan bahaya kepada tubuh badan kita.



CT-Scan X-ray Angiogram



Fluoroscopy MRI Ultrasound


Bahagian perubatan nuklear pula terdapat mesin yang mengesan sinar gamma daripada isotop yang diberi kepada pesakit. Alat ini dipanggil kamera gamma (gamma camera).



kamera gamma (gamma camera)


Linear Accelerator (Linac) ataupun dipanggil pemecut linear digunakan di bahagian radioterapi untuk merawat sel kanser dengan menembak sinar-x bervoltan tinggi ke kawasan sel kanser. Sinar-x yang mempunyai tenaga tinggi tersebut akan membakar dan membunuh sel-sel kanser.




LINAC


Diharap penerangan kali ini dapat memberi maklumat kepada anda tentang penggunaan alat radiasi untuk tujuan perubatan di hospital.

Adakah TV, Radio dan telefon bimbit anda sumber radiasi?

Pengkelasan radiasi andalah bergantung kepada tenaga, frekuensi dan panjang gelombang yang dimilikinya.

Bahan radiasi yang memiliki tenaga rendah, frekuensi rendah tetapi panjang gelombang yang tinggi dipanggil gelombang elektromagnet yang tidak mengion (electromagnatic wave). TV, Radio, telefon bimbit dan microwave tergolong dalam gelombang elektromagnet. Walaubagaimanapun, ramai saintis berpendapat gelombang tersebut tidak membahayakan kesihatan manusia. Ini kerana tenaga yang dimiliki oleh gelombang elektromagnet adalah rendah dan tidak mengion atom dalam badan.



Infrared merupakan sejenis radiasi yang memiliki frekuensi lebih besar berbanding gelombang elektromagnet. Kemudian diikuti oleh cahaya nampak (visible light) dan ultraviolet.

Radiasi yang mempunyai tenaga dan frekuensi tinggi adalah sinar-x dan sinar gamma dan tergolong dalam sinaran mengion. Radiasi seperti ini boleh mengancam kesihatan manusia jika dos yang diterima melebihi hadnya.

Kesan Radiasi Terhadap Sel-sel

Apabila badan kita terdedah kepada radiasi, maka beberapa mekanisma akan berlaku dan memberi kesan terhadap sel-sel dalam badan. Sel-sel akan mengalami kerosakan atau kematian. Kematian sel bukan sesuatu yang asing sebab itu adalah sifat tabii sel. Tetapi apabila kematian sel berlaku secara berterusan dengan jumlah yang banyak, maka badan tidak mampu menghasilkan sel pengganti. Situasi seperti ini akan mengundang situasi buruk kepada sistem badan manusia. Orang awam sepatutnya menerima had dos tahunan tidak melebihi 1mSv setahun.


Pekerja sinaran

Umumnya radiasi lebih sensitif kepada sel-sel yang giat membahagi dan mengalami pertumbuhan. Dalam tubuh manusia, organ yang paling banyak sel-sel aktif membahagi adalah bahagian organ pembiakan. Oleh sebab itulah kita disaran melindungi organ pembiakan kita semasa melakukan pemeriksaan yang melibatkan radiasi sepeti imbasan sinar x, ct-scan. dan lain-lain Pekerja-pekerja yang terlibat dengan radiasi seperti mengendalikan bahan radioaktif juga perlu menjaga organ pembiakan khususnya serta organ-organ lain. Bagi pekerja yang terlibat dalam bidang radiasi, had dos tahunan mestilah tidak melebihi 50mSv setahun.


Ibu mengandung

Bayi dan kanak-kanak juga mempunyai sel-sel yang giat membahagi disebabkan mereka sedang dalam proses pertumbuhan dan tumbesaran. Golongan ini perlu dielakkan dari terkena radiasi yang tidak perlu kerana badan mereka cukup sensitif. Begitu juga dengan fetus dalam kandungan. Sel-sel fetus juga giat membahagi dan sebab itulah ibu mengandung dielakkan dari sebarang radiasi dan jika terpaksa mesti mendapatkan nasihat doktor atau pakar untuk terus melakukan pemeriksaan yang melibatkan radiasi. Penerimaan radiasi berlebihan boleh membawa kecacatan kepada fetus selepas dilahirkan. Had dos yang disarankan kepada fetus adalah tidak melebihi 1mSv.


Fetus

Radiasi menyebabkan kanser?

Badan yang terdedah kepada radiasi sebenarnya akan menerima kesan dalam jangka masa singkat dan jangka masa panjang. Bagaimanapun ia bergantung sebanyak manakah anda terdedah kepada radiasi tersebut. Hakikatnya, terdapat 2 kesan apabila anda terdedah kepada radiasi iaitu stochastic effect dan deterministic effect.

Stochastic effect biasanya berlaku dikalangan mereka yang terdedah kepada amaun radiasi yang sedikit dan tidak ada had. Tetapi kemungkinan mendapat kesan ini akan meningkat dengan meningkatnya amaun radiasi yang diterima. Kesan stokastik ini tidak dapat dilihat dalam masa terdekat, tetapi akan dapat dikesan dalam jangkamasa panjang seperti pertumbuhan sel kanser dalam badan.



Kanser

Deterministic effect merupakan kesan yang boleh dilihat serta merta atau dalam masa singkat selepas terdedah kepada radiasi. Biasanya amaun radiasi yang terdedah adalah tinggi untuk memberi kesan deterministic ini kepada seseorang. Sebagai contoh kepada mereka yang menerima kesan ini adalah kulit terbakar. Tetapi deterministic effect ini mempunyai tahap dipanggil threshold level yang mana kesannya tidak dapat dilihat di bawah dos 0.5 Sv (sievert).




Kulit terbakar disebabkan radiasi


Secara jelasnya, sukar untuk menyatakan anda tidak akan menerima kesan jika terdedah kepada radiasi walaupun dengan amaun yang sedikit. Ini kerana anda mungkin akan mendapat stochastic effect yang membawa kepada pembentukan sel kanser dalam badan. Kesan ini tidak dapat dilihat sekarang tetapi mungkin dalam masa yang akan datang.

Feature Post

Perjalanan tentang jarak

Aku pernah menyangka bahawa perjalanan paling jauh adalah tentang jarak. Tentang kota‑kota yang belum sempat aku kunjungi. Tenta...

Popular Post