Sabtu, 19 November 2016
55 AMALAN SUNNAH RASULULLAH
*1. PANDANGAN MATA*
Pandangan mata adalah anak panah iblis. Lihat bukan muhrim sekali saja. Lihat kali kedua akan hilang nikmat ibadah 40 hari. Tiada kusyuk.
*2 MAKAN GARAM*
Celup jari kelingking dalam garam, menghisapnya sebelum dan selepas makan. Garam adalah penawar paling mujarab keracunan dan boleh menghalang sihir.
*3. MINUM TANGAN KANAN*
Sentiasa minum memegang gelas dengan tangan kanan. Iblis minum dengan tangan kiri.
*4. SESAAT DI JALAN ALLAH*
Sesaat berdiri di jalan Allah lebih baik dari solat di depan hajarul aswad pada malam Qadar walaupun hanya sekadar "hai kawan ayuhlah kita solat"
*5. LANGKAH KANAN*
Masuk masjid kaki kanan, keluar kaki kiri. Masuk rumah kaki kanan, keluar rumah kaki kiri. Masuk tandas kaki kiri, keluar kaki kanan.
*6. MAKAN TIGA JARI*
Nabi s.a.w makan kurma dengan 3 jari iatu jari ibu, telunjuk dan tengah. Kita makan nasi kalau susah bolehlah dengan 3 suapan pertama ikut sunnah.
*7. JAMINAN ALLAH*
3 orang mendapat jaminan Allah iaitu orang yang memberi salam sebelum masuk rumah, orang yang keluar ke masjid dan orang yang keluar ke jalan Allah.
*8. GUNTING BULU*
Apabila lelaki dan perempuan tidak menggunting, mengemas bulu kemaluan dan ketiak selama 40 hari, maka iblis akan bersarang dan berbuai di situ.
*9. JANGAN BERSIUL*
Jangan bersiul kerana sewaktu mula-mula dibuang ke dunia, iblis mengembara sambil bersiul-siul dan orang yang bersiul itu adalah penghibur iblis.
*10. CARA POTONG KUKU TANGAN*
Mula dari jari telunjuk yang kanan terus ke kanan sampai kelingking kanan, disambung dari kelingking kiri ke ibu jari kiri hingga ibu jari kanan.
*11. CARA POTONG KUKU KAKI*
Mula dari kelingking kanan ke sebelah kiri sampai kelingking sebelah kiri.
*12. PANJANG LENGAN BAJU*
Panjang lengan baju Rasulullah SAW adalah hanya sampai pergelangan tangan sahaja.
*13. PAKAIAN KESUKAAN*
Pakaian kesukaan Rasulullah SAW adalah gamis iaitu baju labuh atau kurta.
*14. BERSIWAK*
Jika didahului dengan bersiwak (bersugi), satu kali anda bertasbih maka Allah hitung 70 kali bertasbih. Jika bersolat akan dihitung 70 kali solat.
*15. DOA DALAM SUJUD*
Saat yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya.
*16. ADAB DI TANDAS*
Masuk tandas kaki kiri, pakai alas kaki dan tutup kepala.
*17. ADAB MAKAN*
Hendaknya menghindarkan diri dari kenyang yang melampaui batas. Sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk bernafas.
*18. TIGA JENIS ORANG*
3 jenis orang yang tidak akan dipandang oleh Allah SWT pada hari kiamat iaitu orang tua penzina, Raja yang berdusta, orang miskin yang sombong.
*19. PAKAI MINYAK WANGI*
Memakai minyak wangi adalah Sunnah maka pakailah terutama ketika hendak bersolat, ke masjid atau ke mana sahaja.
*20. AMBIL WUDUK SEBELUM* TIDUR
Gosok gigi dan ambil wuduk sebelum tidur malam kerana menjadi amalan yang sangat dirahmati dan menghindar gangguan iblis dan syaitan.
*21. CINCIN PERAK*
Pakai cincin perak di kelingking kanan atau kiri. Akan mendapat pahala Sunnah berterusan selama memakainya.
*22. SOLAT FARDHU DI MASJID*
Nabi SAW tidak pernah solat fardhu di rumah. Setiap langkah kanan ke masjid akan diangkat satu darjat dan langkah kiri akan dihapus satu dosa.
*23. PAKAI CELAK*
Gunakan celak ismid (dari galian) kerana ia menguatkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata. Setiap malam dicalit tiga kali pada mata kanan dan kiri.
*24. PANJANG PAKAIAN*
Panjang pakaian , jubah atau seluar seorang muslim adalah antara setengah betis dan tidak melebihi buku lali .
*25. SOLAT FARDHU BERJEMAAH*
Solat fardhu berjemaah di masjid dibayar 27 kali lipat dari solat sendirian di rumah. Jika anda waras dan sempurna akal, di manakah anda akan solat?
*26. MENGUAP*
Menguap adalah dari syaitan. Bila rasa hendak menguap, tahanlah atau tutuplah mulut dengan belakang tangan kerana syaitan akan masuk melalui mulut.
*27. MENYIMPAN JANGGUT*
Memotong misai dan menyimpan janggut. Lebih afdal dengan jambang sekali. Diberi pahala amal berterusan selama menyimpannya.
28. JANGAN Me
ngadap
KIBLAT KETIKA BUANG AIR*
Jangan menghadap / membelakang Kiblat ketika buang air kecil / besar. Dibolehkan bila dalam bangunan, itupun kalau terpaksa.
*29. WARNA PAKAIAN RASULULLAH*
Disunatkan memakai pakaian berwarna putih kerana Rasulullah SAW menyukai pakaian berwarna putih.
*30. POSISI TIDUR*
Posisi tidur yang dianjurkan ialah mengereng di atas rusuk kanan, muka dan badan mengadap kiblat dan tapak tangan kanan di bawah pipi.
*31. MINUM LEPAS MAKAN*
Lepas makan nasi jangan terus minum. Tunggu sebentar anggaran selama berjalan 40 langkah barulah minum.
*32. TIDUR SEBELUM ZOHOR*
Tidur sebentar sebelum Zohor kerana ianya membantu ibadah di malam hari dan bangun sebelum gelincir matahari untuk solat Zohor.
*33. BERDIRI HORMAT*
Rasulullah SAW membenci perbuatan orang bangun dari tempat duduk dan berdiri memberi hormat apabila baginda lalu atau masuk ke suatu majlis.
*34. PAKAIAN BERWARNA*
Dilarang memakai pakaian warna kuning kemerahan seperti yang dipakai oleh sami Hindu / Buddha khususnya bagi lelaki.
*35. MAKAN DENGAN ORANG MISKIN*
Rasulullah SAW suka memberi makan atau makan bersama orang miskin. Jika kita makan bersama orang miskin, hendaklah kita mendahulukan mereka.
*36. MENU RASULULLAH*
Rasulullah SAW membuka menu sarapannya dengan segelas air sejuk yang dicampur dengan sesendok madu asli.
*37. PEMBERIAN YANG TIDAK BOLEH DITOLAK*
Ada 3 pemberian yang tidak boleh ditolak iaitu bantal, minyak wangi dan susu.
*38. KETAWA RASULULLAH*
Ketawa Rasulullah SAW hanyalah senyuman.
*39. MINUMAN RASULULLAH*
Minuman yang paling disukai oleh Rasulullah SAW adalah minuman yang manis dan dingin.
*40. HISAP AIR DALAM HIDUNG*
Ketika membersihkan diri setelah bangun tidur jangan lupa menghisap air ke dalam hidung 3x kerana syaitan bermalam dalam lubang hidung.
*41. BERI MAKAN ANAK YATIM*
Nabi SAW suka memberi makan anak yatim. Sesiapa yang duduk makan bersama anak yatim dalam satu bekas, syaitan tidak akan menghampiri bekas tersebut.
*42. LARANGAN PAKAI CINCIN*
Dilarang memakai cincin di jari telunjuk dan jari tengah.
*43. BANGUN TIDUR*
Nabi SAW bangun tidur lalu duduk seraya mengusap muka dengan telapak tangan agar hilang ngantuknya dan membaca doa bangun tidur.
*44. KONGSI MAKANAN*
Jangan kedekut berkongsi makanan. Nabi SAW suka makan makanan yang banyak tangan memakannya.
*45. 4 RAKAAT SEBELUM ZOHOR*
Solat 4 rakaat setelah gelincir matahari sebelum zohor. Saat itu pintu langit dibuka untuk menerima amal soleh dan tertutup ketika solat zohor.
*46. ISTIGHFAR*
Nabi SAW beristighfar kepada Allah mohon keampunan dosa dan bertaubat setiap hari lebih dari 70 kali.
*47. JANGAN MENCACI MAKANAN*
Jangan mencaci makanan. Jika suka, makanlah , jika tidak suka biarkan sahaja.
*48. APABILA BERTAMU*
Apabila bertamu, jangan berdiri memberi salam di depan muka pintu tetapi dari sisi agar terpelihara pandangan dari melihat terus ke dalam rumah.
*49. JAWAB SALAM DALAM TANDAS*
Tidak diperkenan menjawab salam ketika di dalam tandas kerana ada lafaz Allah dalam kalimah jawab salam. Cukup dengan berdehem atau isyarat suara.
*50. MAKANAN PANAS*
Rasulullah SAW melarang meniup makanan panas. Hendaklah biarkan sejuk sedikit hingga mudah untuk dimakan.
*51. GILIRAN MINUM*
Jika berkongsi minum dalam satu bekas atau botol, hendaklah memberi giliran minum yang berikut kepada orang yang di sebelah kanan.
*52. 3 AMAL*
Nabi SAW menasihati jangan meninggalkan 3 amal iaitu puasa 3 hari sebulan (afdal 13,14,15 hb Hijrah), solat Dhuha dan solat sunat Witir.
*53. JANGAN TIDUR MENIARAP*
Jangan tidur meniarap kerana ia adalah posisi tidur ahli neraka dan yang dibenci Allah.
*54. CARA PEGANG MISWAK*
Miswak dipegang dalam keadaan jari kelingking dan ibu jari di bawah miswak dan jari lain di bahagian atas.
*55. DUA RAKAAT SEBELUM SUBUH*
Dua rakaat sunat sebelum solat fardhu Subuh itu adalah lebih baik dari dunia dan segala isinya....
Selasa, 15 November 2016
Putera yang Soleh
Satu kisah yang terkenal mengenai seorang putera. Putera Ahmad, dia adalah salah seorang putera Khalifah Harun Ar-Rasyid yang sangat berbeza pendiriannya daripada putera-putera yang lain. Dia lebih suka berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى daripada membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan melalaikan.
Di antara kata-kata masyhur yang pernah diluahkannya; “Wahai ahli kubur! Engkau adalah orang yang telah mendahului kami menghadap Allah سبحانه وتعالى. Aku tahu bahawa engkau adalah orang yang pernah memiliki dan menakluki dunia ini semasa hidupmu, tapi aku tidak nampak dunia ini dapat menyelamatkan engkau daripada ajal."
"Dan akhirnya engkau dihalau juga ke kubur, begitulah juga nasibku, sama seperti engkau.”
Pada suatu hari Ahmad datang kepada ayahandanya yang sedang berada di majlis rasmi bersama para menteri. Seperti biasa dia memakai jubah sufi daripada kain kasar dan di kepalanya pula terlilit serban yang sudah lusuh."
Beberapa orang menteri merasa tidak senang dengan kehadirannya dan melaporkan perkara itu kepada khalifah. Khalifah pada mulanya tidak begitu mengambil kisah akan keadaan anaknya itu tetapi bila laporan dibuat. Maka khalifah terpaksa bertindak dan berkata; “Wahai anakku! Pakaian dan keadaan dirimu itu menyinggung perasaanku di hadapan pembesar negara, pakailah pakaian yang elok-elok dan bersopan.”
Putera Ahmad yang memang terdidik sejak kecil lagi tidak menjawab dan membangkang perkataan ayahandanya, sebaliknya memandang ke bumbung istana, melihat seekor burung sedang bertenggek di atas salah satu palang istana. Dia berkata; “Wahai burung, demi Allah yang menjadikan engkau, sila ke mari!”
Kata Ahmad sambil menghulurkan tapak tangannya. Burung itu pun terbang dan hinggap di tangannya.
Kemudian putera Ahmad berkata kepada burung itu; “Wahai burung, sila engkau balik semula ke tempatmu.”
Ketika itu juga burung tersebut terbang semula ke atas palang bumbung istana.
Kejadian yang dianggap ajaib ini membuatkan orang yang hadir termasuk khalifah menjadi hairan. Namun beliau sedar bahawa puteranya yang satu ini, memang mempunyai maqam yang tinggi di sisi Allah سبحانه وتعالى.
"Selepas itu putera Ahmad berkata kepada khalifah;
“Wahai ayahanda! Hulurkan tangan ayahanda.”
Khalifah Harun ar-Rasyid terkejut mendengar pemintaan anaknya itu. Bagaimanapun Khalifah Harun ar-Rasyid menghulurkan tangannya.
Kemudian putera Ahmad berkata;
“Wahai burung! Demi Allah yang telah menjadikan engkau, silalah engkau hinggap di tangan khalifah.”
Burung itu tidak mahu menurut perintahnya. Khalifah menjadi gelisah dan serba salah apatah lagi semua mata tertumpu ke arahnya. Para hadirin berbisik sesama sendiri membuat pelbagai andaian mengapa burung itu tidak mahu hinggap di tangan Khalifah Harun ar-Rasyid.
Kemudian putera Ahmad berkata lagi kepada ayahandanya;
“Ayahanda, jangan sampai ayahanda mati di dalam kealpaan dan keseronokan dunia sehingga burung pun tak mahu mendekati ayahanda. Kalau ayahanda merasa malu disebabkan saya berada di sini, baiklah saya akan keluar dari istana ini.”
Khalifah menghalang anaknya, namun putera Ahmad tetap dengan pendiriannya. Khalifah pasrah dengan keputusan anaknya itu. Maka keluarlah putera ini meninggalkan bapanya dan segala kemewahan menuju ke Basrah.
Dia tidak membawa apa-apa bekalan selain daripada sebuah Mushaf Al-Qur’an dan sebentuk cincin di jari pemberian ibunya. Cincin itu asalnya adalah milik Khalifah Harun ar-Rasyid yang dihadiahkan kepada isterinya.
Setibanya di Basrah, sedang Ahmad mundar-mandir di tempat kerja mengorek tanah, tiba-tiba beliau disapa oleh Syeikh Abdullah Ibnu Farad, seorang bangsawan di situ. Syeikh berkata;
“Wahai anak muda, adakah engkau mencari kerja?” “Ya, saya sedang mencari kerja untuk menampung keperluan hidup”, sahut Putera Ahmad."
“Kalau begitu, kerjalah dengan saya kerana kebetulan saya sangat memerlukan pekerja untuk menyiapkan pembinaan rumah dan parit.”
“Wahai orang kaya, saya setuju tetapi ada dua syarat sebelum saya memulakan kerja"; Jawab putera Ahmad.
“Apa syaratnya?”; tanya Syeikh Abdullah. “Pertama, saya mahu diupah hanya untuk keperluan makan saja, dan yang kedua, tuan mengizinkan saya solat setiap kali masuk waktu.”; Kata Putera Ahmad. Setelah keduanya bersetuju maka bekerjalah anak muda ini dengan rajin dan tidak mencuri tulang.
Apabila masuk waktu solat, dia berhenti dan menunaikan solat, kemudian menyambung kerjanya semula. Pada hari itu apabila Syeikh Abdullah datang kembali ke tempat kerjanya, alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati hasil kerja putera Ahmad ini sama dengan kerja yang dibuat oleh sepuluh orang.
Oleh kerana itu Syeikh Abdullah merasa tidak patut upahnya dibayar seperti yang dimintanya. Maka beliau pun menghulurkan dua dirham kepada Ahmad; “Tuan, mengapa upah saya ditambah menjadi dua dirham?”; Tanya Putera Ahmad.
“Engkau seorang yang rajin, hasil kerjamu sama seperti pekerjaan yang dibuat oleh sepuluh orang, adalah zalim sekiranya saya membayar upahmu hanya untuk keperluan makanmu saja.”; Jawab Sheikh Abdullah.
“Tidak boleh tuan, kita sudah berjanji dengan upah satu perpuluhan enam dirham, tidak boleh lebih, sila ambil bakinya”, Jawabnya tegas. Syeikh Abdullah bertambah hairan, baru sekarang dia berjumpa dengan pekerja yang tidak mahu dibayar lebih, walaupun kerjanya sangat banyak.
Beliau merasakan rezekinya semakin bertambah dengan adanya pekerja seperti anak muda ini yang tidak tahu penat lelah. Setiap pekerjaan yang diamanahkannya dapat diselesaikan dalam jangka waktu yang singkat. Pada suatu hari, Syeikh Abdullah cuba mengintai bagaimana Ahmad melakukan pekerjaannya.
Syeikh Abdullah bersembunyi-sembunyi mengintip, apa yang dilihatnya amat memeranjatkan. Putera Ahmad hanya duduk disatu tempat membaca Al-Quran dan batu-batu sendiri berterbangan tersusun ditempatnya sehingga terbina bangunan.
Baru Syeikh Abdullah mengetahui mengapa hasil pekerjaannya begitu pantas sekali. Dan fahamlah Syeikh Abdullah bahawa anak muda ini adalah seorang wali Allah سبحانه وتعالى. Sehinggalah setelah beberapa lama bekerja, tiba-tiba pada suatu hari Putera Ahmad tidak datang bekerja menyebabkan Syeikh Abdullah tertanya-tanya, mungkinkah beliau berhalangan atau sakit.
Setelah masuk hari kedua, Putera Ahmad masih juga tidak muncul. Maka Syeikh Abdullah mengambil keputusan mencarinya sendiri.
Setelah mendapat maklumat daripada orang ramai, akhirnya beliau dapati anak muda itu sedang sakit terlantar di pondok buruknya.
Syeikh Abdullah sangat terkejut kerana tempat tinggalnya hanyalah pondok yang tidak berpintu serta beliau tidur hanya beralaskan pecahan batu bata. Beliau kelihatannya sangat lemah tidak bermaya dan tenat.
Setelah memberi salam, Syeikh Abdullah mengangkat kepala anak muda itu dan diletakkan ke ribanya. Apabila mengetahui bahawa yang datang itu adalah Syeikh Abdullah iaitu majikannya, Putera Ahmad kuatkan dirinya dan berkata;
“Tuan sungguh baik hati! Tuan mengambil berat tentang diri saya. Ketahuilah, tuan akan ditanya di akhirat nanti, apa tanggungjawab tuan kepada saya."
"Tuan, janganlah mudah tertipu oleh nikmat dunia, ingatlah nikmat itu akan habis, umur pun akan berakhir. Jika tuan mengusung mayat saudara tuan ke kubur, ingatlah tuan juga akan diusung ke sana suatu hari nanti.”
Suasana sedih itu membuatkan Syeikh Abdullah menitiskan air mata. Nasihat daripada anak muda ini sedikit sebanyak menyedarkan dirinya bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui mati. Putera Ahmad berkata lagi;
“Tuan, mahukah tuan berjanji jika roh saya telah berpisah daripada tubuh, hendaklah tuan sendiri yang memandikannya, tuan kafankan mayat saya dengan jubah yang saya pakai ini?” Sambungnya lagi.
“Ya, saya berjanji, tapi kenapa aku tidak boleh kafan mayatmu dengan kain kafan yang baru?” Ujar Syeikh Abdullah yang tidak dapat menahan air matanya. Jawab putera;
“Tuan, ketahuilah, orang yang masih hidup lebih memerlukan pada yang baru daripada orang yang sudah mati."
"Pakaian akan hancur sedangkan amal akan kekal selamanya”, katanya yang semakin tenat.
Di dalam suanana pilu itu anak muda ini sempat berkata; “Tuan, ambillah bungkusan dan serban ini untuk diberikan kepada tukang gali kubur."
"Dan Mushaf dan cincin ini tolong sampaikan kepada pemerintah, Khalifah Harun ar-Rasyid.”
Sampai di sini airmata Syeikh Abdullah tidak dapat dibendung lagi, kerana sangat terharu mendengar wasiat anak muda ini yang sudah hampir ajalnya menghadap Allah سبحانه وتعالى."
Namun untuk memudahkan beliau menerima wasiat itu, ditunjukkan wajahnya yang gembira.
Anak muda itu melanjutkan wasiatnya; “Saya mohon disampaikan barang ini tuan dengan tanganmu sendiri, jangan melalui perantaraan orang lain. Katakan kepada Amirul Mukminin;
“Wahai Amirul Mukminin, ini ada amanah daripada seorang lelaki muda yang tidak saya kenali dan disuruh sampaikan kepada tuan."
Anak muda itu berpesan kepada Amirul Mukminin; “Jangan sampai engkau mati di dalam kealpaan dan keseronokan dunia.” Sebaik saja anak muda ini berkata sedemikian, rohnya pun melayang dicabut malaikat dan pergilah anak muda ini menemui Tuhannya yang dirindui selama ini.
Setelah menyempurnakan mayat Putera Ahmad sebagaimana yang diwasiatkan, maka Syeikh Abdullah pun bersiap untuk menyampaikan wasiat yang kedua iaitu menyerahkan barang anak muda ini kepada Khalifah Harun ar-Rasyid.
Setelah sampai berjumpa dihadapan khalifah, syeikh abdullah berkata; “Wahai Amirul Mukminin! Saya Abdullah ibnu Farad. Saya ada menerima wasiat daripada seorang anak muda yang tidak dikenali untuk diserahkan barang ini kepada tuan dengan pesanannya agar jangan sampai tuan mati di dalam keadaan kealpaan dan keseronokan dunia."
Sebaik saja Amirul Mukminin melihat Mushaf dan cincin takhta kerajaan, tiba-tiba badan baginda gementar dan mukanya berubah teringatkan anaknya yang pergi tanpa berita itu. Apa lagi kata-kata itu pernah didengarnya suatu waktu dulu. Khalifah berkata; “Dekatlah diri engkau denganku, ceritakan apa yang berlaku”, kata Amirul Mukminin.
Terjadilah perbualan yang sangat mengharukan antara Khalifah Harun ar-Rasyid dengan Syeikh Abdullah yang pernah menjadi majikan kepada puteranya;
“Wahai Syeikh Abdullah! Semasa hayatnya pekerjaan apa yang engkau bagi kepadanya?” Soal Amirul Mukminin.
“Mengorek tanah dan mengecat rumah”; jawab Syeikh Abdullah jujur. “Wahai Abdullah, adakah sampainya hati engkau menjadikan orang yang bersambung nasab dengan nasab Rasulullah ﷺ sebagai pekerja yang sedemikian?” Tanya Khalifah.
“Saya mohon maaf wahai Amirul Mukminin. Sebenarnya saya tidak mengetahui putera itu anak tuan”; kata Syeikh Abdullah. Khalifah tidak dapat menahan sebak mengenangkan kisah perjalanan anaknya yang menempuh jalan zuhud itu dan akhirnya menemui Allah.
Khalifah berkata; “Wahai Abdullah, dia adalah anakku yang dilahirkan sebelum aku menaiki takhta sebagai khalifah. Dan dia tumbuh menjadi anak yang soleh. Dia menghafal Al-Qur’an dan mempelajari ilmu syari'at. Ketika aku diangkat menjadi khalifah dia meninggalkan aku dan tidak mahu menikmati harta dunia yang aku miliki walaupun sedikit."
"Maka aku menyerahkan cincin ini kepada ibunya, ia adalah permata yang sangat mahal harganya.
Aku berkata kepada ibunya;
"Kamu serahkan cincin ini kepada anak kita dan mintalah agar dia membawanya agar dia boleh memanfaatkannya suatu hari kelak."
"Dia adalah seorang anak yang sangat berbakti kepada ibunya. Semenjak ibunya meninggalkan aku tidak pernah lagi mendengar beritanya kecuali khabar yang telah engkau sampaikan kepadaku"
Sambung Khalifah lagi. Setelah pertemuan antara khalifah dan syeikh abdullah selesai. Syeikh abdullah pun pulang.
Sehingga, pada suatu malam Syeikh Abdullah bermimpi bertemu sekelompok benda putih seakan-akan awan. Dan di bawahnya ada sebuah kubah yang dibuat daripada cahaya. Seketika kemudian awan itu pecah dan muncul seorang anak muda dari dalam tersebut.
Dia berkata;
“Wahai Syeikh Abdullah! Semoga Allah سبحانه وتعال membalas jasa-jasa baik tuan yang telah mengambil berat terhadap diri saya dengan mengurniakan kebaikan yang banyak sekali.” “Wahai Ahmad, engkau di mana sekarang?” Tanya Syeikh Abdullah.
“Saya telah pergi menemui Tuhan Yang Maha Mulia, Allah سبحانه وتعالى telah meredhai saya, Dia telah memberikan saya pemberian yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, tidak pernah terlintas di hati manusia”; jawab putera itu.
Kemudian anak muda itu menasihatkan Syeikh Abdullah;
"Janganlah manusia keluar dari dunia yang fana ini kecuali di dalam keadaan keredhaan Allah سبحانه وتعالى. Kemudian Syeikh Abdullah terjaga daripada tidurnya lalu tersenyum dan beliau menceritakannya kepada Khalifah Harun ar-Rashid. Maka terubatlah sedikit hati khalifah bila mendengarnya.
Guru mulia. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.
(Raudhatul Muhibbin)
Jumaat, 4 November 2016
ALLAH YANG NAIKKAN HARGA BARANG?!
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Apabila artikel ‘Kenaikan Harga Barang Ketetapan Allah’ muncul di saat rakyat sedang merasai ancaman kenaikan harga barang akibat potongan subsidi minyak oleh pihak kerajaan, majoriti rakyat memang tidak puas hati. Saya tidak tahu, apakah hasrat sebenar penulis berkenaan.
Mungkin niatnya hendak meredakan perasaan rakyat terhadap kerajaan ataupun meredhakan kerajaan terhadapnya, itu tidak pasti. Kata penulis, dia bercakap dalam konteks sabar. Mungkin itu maksudnya.
Menariknya saya terbaca satu komen yang menyebut: ‘Kalau begitu pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang ketetapan Allah lah?!’ Ringkas, tapi penuh makna.
Akidah
Sebelum kita pergi kepada hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu ini, saya suka menyebut bahawa dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan. Jabariah tidak termasuk dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian.
Nabi s.a.w mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama.
Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu. Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izinNYA. Namun, apa yang DIA izinkan, bukan semestinya DIA redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan semestinya DIA izinkan. DIA tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang diciptaNYA. DIA redha hamba-hambaNYA bersedekah, tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta yang banyak, atas sistem alam ciptaanNYA. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk membalas kebaikan dan keburukan.
Usaha
Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabiNYA dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran.
Firman Allah: (maksudnya)
“(ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).
Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.
Takdir
Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi s.a.w menyebut:
“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap ‘ini semua takdir’ lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit. Sabda Nabi:
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh yang menyebut:
Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”. Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka.” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).
Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri.
Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu. Allah telah ingatkan (maksudnya)
“Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195).
Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh bagitau mahkamah ‘jangan salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan mematikan’.
Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah’. Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem keadilan yang wajib ditegakkan.
Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab “Allah menaikkan harga barang”. Apakah anda akan berkata: ‘masyaAllah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman’. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!’.
Dalam negara ini, ada berbillion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga berbillion ringgit.
Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai alasan berbillion harganya. Apakah jawapannya: ‘semua itu takdir Allah?!’. Saya juga lebih tertarik dengan kerajaan sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan itu cara berhujah yang betul untuk membela.
Maksud Hadis
Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia berkata:
“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki.
Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semulajadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.
Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi.
Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak. Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut:
“Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli).
Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).
Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.
Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat.
Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij:
“Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).
Adapun saya, tidak tahu apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan mengemukakannya. Saya serahkan urusannya kepada Allah.
http://drmaza.com/home/?p=2493
Khamis, 3 November 2016
Kepentingan Ilmu
Di dalam menghiasi anugerah Allah ini, ketinggian ilmulah merupakan sebaik-baik perhiasannya . Jika setiap sesuatu perkara mempunyai kunci, maka kunci bagi akal adalah ilmu. Tanpa ilmu manusia tidak mampu mengenal dan mengetahui tujuan sebenar ia diciptakan. Tanpa ilmu juga manusia tidak dapat mengenal siapakah Pencipta mereka. Maka manusia memerlukan ilmu untuk mengenal Allah dan untuk beribadat kepadaNya.
Banyak ayat-ayat Al-Quran yang mengaitkan orang-orang yang mempunyai ilmu dengan mereka yang mendapat petunjuk. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 7:
Ertinya: Dan tidaklah mengingati Allah kecuali mereka yang mempunyai akal.
Begitu juga banyak hadith-hadith Rasulullah mengenai keutamaan ilmu dan ulama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Keutamaan orang alim keatas seorang abid seperti keutamaanku ke atas orang-orang yang dekat diantara kamu".
Ini adalah kerana ilmu itu jika disaingkan dengan keimanan, akan membawa seseorang kepada tahap ketaqwaan dan keimanaan yang lebih tinggi lagi. Renungkanlah firman Allah s.w.t yang berbunyi:
Yang bermaksud: "Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.". (Surah Faathir ayat 28.)
Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa ulama lah yang paling tunduk dan taat kepada Allah. Mereka dapat melihat dan memahami kebesaran Allah s.w.t melalui ilmu mereka. Dengan pemahaman dan penghayatan terhadap kebesaran Allah s.w.t itulah akan membuatkan mereka lebih takut kepada Allah dan secara langsung meningkatkan ketaqwaan mereka.
Di dalam Islam, tidak ada ibadah yang lebih baik dari menuntut ilmu. Kerana ibadah dengan ilmu adalah lebih baik dari ibadah tanpa ilmu. Mereka yang menuntut ilmu dianggap berjuang dalam jalan Allah. Mereka yang menuntut ilmu dihormati oleh sekelian makhluk. Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam sebuah hadith yang berbunyi :
Ertinya: Kelebihan orang mukmin yang alim atas mukmin yang rajin beribadah adalah tujuh puluh kali ganda.
Keutamaan ulama bukan hanya setakat ketika mereka hidup di dunia ini, malah setelah mereka pergi meninggalkan dunia ini jasa mereka tetap dikenang. Jika kita lihat peristiwa pengebumian para shuhada Uhud, apabila mereka dikebumikan secara berdua-dua, Rasulullah mengutamakan orang yang paling berilmu di antara mereka . Rasulullah s.a.w. bertanya kepada para sahabat : "Siapakah orang yang lebih mengetahui kitab Allah? Sahabat menjawab : "Ini ya Rasulullah". Maka mayat tersebut didahulukan daripada yang lain, kemudian diletakkan ke dalam liang lahad.
Begitu juga, selepas berlalunya abad lebih dari seribu tahun , manusia masih lagi menyebut tentang ulama-ulama besar yang telah pun menghabiskan masa mereka mengarang ratusan buku di dalam kehidupan mereka . Walaupun mereka sudah lama meninggalkan dunia ini, namun begitu nama-nama mereka tetap terpahat sehingga hari ini kerana ilmu yang mereka tinggalkan. Ulama lah yang membangkitkan tamadun ilmu Islam.
Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11 yang berbunyi :
Yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman apabila dikatakan kepadamu: Berlapang-lapanglah dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan (tempat) untukmu. Dan apabila dikatakan: Berdirilah kamu, maka berdirilah nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi Ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Sekian, Wassalam..
Rabu, 2 November 2016
Keutamaan Ilmu Pengetahuan
“Allah telah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia juga, begitu pula para Malaikat dan para ahli ilmu pengetahuan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan." (surah ali-‘Imran, ayat 18)
Perhatikanlah pada ayat yang tersebut di atas itu, bagaimana Allah subhanahu wa ta’ala telah memulakan penyaksian itu dengan diriNya sendiri, keduanya dengan para Malaikat dan sesudah itu dengan para ahli ilmu pengetahuan. Itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan betapa tingginya keutamaan ilmu pengetahuan dan kelebihannya.
“Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan begitu pula orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (surah al-Mujadalah, ayat 11)
“Katakanlah: Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada ilmu pengetahuan.” (surah az-Zumar, ayat 9)
“Hanyasanya orang yang takut kepada Allah dari golongan hamba-hambaNya itu ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan.” (surah Fatir, ayat 28)
“Andaikata mereka mengembalikannya (berita itu) kepada Rasul dan kepada orang-orang yang memegang urusan pemerintahan di antara mereka, tentulah halnya telah dimengerti oleh orang-orang yang menelitinya dalam golongan mereka itu.” (surah an-Nisa’, ayat 83)
Jadi hukum mengenai perkara-perkara yang berlaku itu harus dikembalikan kepada kebijaksanaan orang-orang yang berilmu pengetahuan, kerana martabat mereka ditingkatkan dengan martabat para Nabi dalam menyingkap hukum-hukum Allah subhanahu wa ta’ala.
Adapun hadith-hadith yang berkenaan dengan keutamaan ilmu pengetahuan ada banyak juga, seperti:
“Siapa yang dikehendaki baik oleh Allah, maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hakam agama dan akan diilhamkanNya petunjuk dalamnya.”
“Para ulama itu adalah warisan para Nabi.”
Tentulah tiada martabat yang lebih tinggi dari martabat kenabian, dan tiada kemuliaan yang lebih utama dari kemuliaan mewarisi martabat itu.
Rasulullah sollallhu ‘alayhi wasallaam bersabda:
“Apabila datang kepada satu hari, sedang pada hari itu aku tiada bertambah ilmu pengetahuan untuk mendekatkan diriku kepada Allah azza wajalla, maka tiada akan diberkati bagiku terbitnya matahari hari itu.”
Sabda Rasulullah sollallahu ‘alayhi wasallaam dalam menentukan kelebihan ilmu pengetahuan atas segala rupa ibadah dan penyaksian, katanya:
“Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadahnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan sahabatku.”
Cubalah perhatikan, betapa ilmu pengetahuan itu dipersamakan seiring dengan darjat kenabian, dan betapa pula direndahkan martabat sesuatu amalan yang sunyi dari ilmu pengetahuan, sekalipun orang yang beribadah itu cukup mengetahui dengan ibadah yang ia lakukan itu sehari-harian, kerana kiranya ibadah itu ditunaikan tanpa ilmu pengetahuan, tentulah ianya tidak boleh dinamakan ibadah.
Rasulullah sollallahu ‘alayhi wasallaam bersabda lagi:
“Kelebihan seorang ‘alim atas seorang ‘abid, laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang-bintang.”
Antara wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya ialah: “Wahai anakku! Pergauilah para ‘alim ulama dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, sebab Allah subhanahu wa ta’ala menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmah, sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit.
Tukilan dari buku:
Bimbingan Mu’minin - pada mencari redha Rabbil-‘alamin (Imam Ghazali)
Penterjemah: Ustaz Syed Ahmad Semait
Penerbit: Pustaka Nasional Pte Ltd
Ketahui alat-alat yang mempunyai sumber radiasi di hospital
Bahagian yang melibatkan penggunaan sumber radiasi dihospital untuk tujuan diagnos dan merawat sebenarnya terbahagi kepada 3 bahagian.
Radiologi (Radiology); untuk tujuan diagnostik atau mengenalpasti punca penyakit
Radioterapi (Radiotherapy): untuk tujuan merawat pesakit kanser
Perubatan Nuklear (Nuclear Medicine); untuk tujuan diagnostik
Alat-alat seperti CT-scan, General radiography atau mesin x-ray, Angioram, Floroskopi, Bone Densitometer merupakan alat yang menggunakan sinar-X (Sinaran mengion) di bahagian radiologi. Alat seperti MRI(Magnetic Resonance Imaging) dan ultrasound pula merupakan alat yang menggunakan sinaran tak mengion dibahagian radiologi sesebuah hospital. Anda tidak perlu risau kerana sinaran tak mengion tidak akan memberi kesan bahaya kepada tubuh badan kita.
CT-Scan X-ray Angiogram

Fluoroscopy MRI Ultrasound
Bahagian perubatan nuklear pula terdapat mesin yang mengesan sinar gamma daripada isotop yang diberi kepada pesakit. Alat ini dipanggil kamera gamma (gamma camera).

kamera gamma (gamma camera)
Linear Accelerator (Linac) ataupun dipanggil pemecut linear digunakan di bahagian radioterapi untuk merawat sel kanser dengan menembak sinar-x bervoltan tinggi ke kawasan sel kanser. Sinar-x yang mempunyai tenaga tinggi tersebut akan membakar dan membunuh sel-sel kanser.

LINAC
Diharap penerangan kali ini dapat memberi maklumat kepada anda tentang penggunaan alat radiasi untuk tujuan perubatan di hospital.
Feature Post
Perjalanan tentang jarak
Aku pernah menyangka bahawa perjalanan paling jauh adalah tentang jarak. Tentang kota‑kota yang belum sempat aku kunjungi. Tenta...
Popular Post
-
Orang yang tidak menganggap dirinya bahagia adalah orang yang tidak akan hidup dengan bahagia. Orang berjaya tidak pernah putus asa. Sebalik...
-
DIL dan DNR/NAR Penulisan kali ini saya menyentuh tentang isu yang amat sensitif, iaitu DIL (Death in Line), atau bahasa kasarnya "men...
-
👉KWSP atau PENCEN? Bagi penjawat awam, pasti anda melalui dilemma memilih skim persaraan di antara skim pencen dan tabungan KWS...
-
Marilah berkongsi beberapa tips tentang cara menyihatkan payudara anda. Di antara beberapa rahsia dan petua untuk menjaga kesihatan dan kec...
-
Dalam proses pembuatan senjata warisan melayu terdapat satu kaedah pembuatan unik yang menggunakan besi-besi (alatan) yang bermula dengan se...
