Jumaat, 30 September 2011

HUDUD


BERSAMA DATO` HARUN DIN.
SOALAN: Ada ulama mengatakan bahawa pemerintah Islam hari ini, dibolehkan memilih undang-undang selain undang-undang Allah dan menggantikannya dengan undang-undang ciptaan manusia kerana perubahan zaman, boleh membawa perubahan hukum berdasarkan kepada kaedah ilmu fikah yang berbunyi antara lain bahawa 'hukum Islam berubah mengikut perubahan tempat dan masa'. Betulkah pandangan ulama itu? Adakah kaedah fikah tersebut terpakai? Mohon Dato' jelaskan. - MOHD FIRDAUS AHMAD, Bandar Country Homes, Rawang
JAWAPAN: Permasalahan anda kemukakan ini besar yang melibatkan hukum-hukum Allah.
Saya ingin mengingatkan, jangan sampai kita mempermain-mainkan hukum Allah dengan memberi alasan remeh bagi membolehkan manusia menggunakan alasan agama untuk menolak hukum agama.
Hukum Allah SWT ada dua cabang yang terbesar. Pertamanya, hukum-hukum qat'ie dan keduanya, hukum-hukum yang tidak qat'ie.
Yang qat'ie bermaksud hukum-hukum tetap yang tidak berubah. Yang tidak qat'ie adalah hukum tidak 'rigid' dan boleh berubah.
Yang tidak berubah sabit seperti hukum-hukum kesalahan jenayah dan hudud. Sedangkan hukum-hukum yang sabit dengan ijtihad, ia boleh berubah.
Hukum-hukum haram halal sesuatu pemakanan yang sabit dengan ayat-ayat yang muhkamat, demikian juga dalam minuman serta dalam haram halal bergaul dengan perempuan.
Yang diharamkan dalam perkahwinan seperti yang disebutkan muhramat, yang diharamkan berkahwin selama-lamanya.
Begitu juga haram memakan babi, bangkai, darah, meminum arak dan yang seumpama dengannya, hukum haramnya kekal sampai sehingga bila-bila.
Sebenarnya tidak ada pilihan. Allah juga tidak pernah memberi pilihan dalam melaksanakan hukum-hukum qat'ie, seperti haramnya riba, mencuri atau merompak, berzina dan sebagainya sudah sabit pengharaman dalam al-Quran.
Hukumnya sabit, maka ia tidak lagi menjadi pilihan.
Firman Allah (mafhumnya): "Dan tidak harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu perkara, tidak harus mereka membuat pilihan sendiri. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)
Daripada ayat ini dan hadis-hadis Nabi yang sahih, jelas menunjukkan bahawa hukum-hukum Allah tidak boleh dipermain-mainkan.
Adapun kaedah yang disebutkan itu, memang ia suatu kaedah fikah yang termasuk dalam istilah al-qawa'id al-fiqhiyyah.
Kaedah seperti ini tidak boleh dilaksanakan kepada kesemua hukum. Ia dibuat oleh ulama terdahulu, bagi mengkhususkan kepada perkara-perkara penggunaan akal yang disebut sebagai ijtihad.
Ijtihad bererti, ulama mengeluarkan hukum-hukum baru yang diasaskan kepada nas-nas syarak berdasarkan kepada i'llah dan sebab-sebab khusus yang membolehkan hukum baru dikeluarkan.
Hukum-hukum ini adalah hukum akal. Akal manusia berbeza. Seperti berbezanya hukum-hukum ijtihad pada perkara-perkara furui'yyat (perkara cabang) dalam hukum fikah.
Perkara cabang inilah yang memungkinkan ijtihad dan berlaku perubahannya yang mengikuti perubahan zaman.
Namun demikian, bukan kesemua hukum ijtihad boleh berubah mengikut perubahan zaman atau mengikut selera manusia.
Jika ijtihad bertentang dengan hukum asal yang qat'ie dalam al-Quranul Karim, maka ijtihad tersebut tidak boleh dipakai.
Seperti kaedah lain yang disebutkan, ijtihad tidak boleh menyalahi hukum syarak.
Sepatutnya para ulama mencari jalan untuk memudah atau membolehkan hukum Allah dilaksanakan. Bukan mencari justifikasi untuk menghalang perlaksanaan hukum tersebut.
Antara sebab bagi manusia hari ini menolak hukum Allah SWT, adalah kerana ingin mempertahankan status-quo yang ada.
Jangan sesekali menyokong pemerintah, dengan tidak memberi perhatian serius daripada akibat penolakan hukum-hukum Allah SWT.
Oleh sebab itu, menukar hukum Allah dengan hukum ciptaan manusia adalah kesalahan yang amat besar.
Perhalusilah sebaik-baiknya sebarang tindakan kita, bagi mengelak kerugian besar di akhirat nanti. Wallahua'lam.

Pelaburan matawang- Jalan mudah kedalam RIBA


Islam tidak menjadikan matawang sebagai komoditi. Matawang merupakan satu medium pertukaran yang penting untuk semua kegiatan bisnes manusia. Ini ditunjukkan melalui hadis Ubadah bin Samit (hadis riba dalam pertukaran / riba in exchange) yang sangat ketat syaratnya dalam pertukaran sesuatu aset yang dapat menjadi asas matawang sesebuah negara.

Pada 1972, pasaran hadapan (futures) matawang telah diperkenalkan tidak lama selepas emas tidak lagi menjadi asas sandaran matawang di seluruh dunia. Sedangkan pasaran hadapan ini asalnya untuk keperluan dagangan komoditi sahaja. Dalam Islam, konsep yang hampir sama dengan pasaran hadapan ini dikenali sebagai kontrak salam dan semua urusniaga dapat berlaku penangguhan melainkan urusniaga tertentu yang berkaitan barang ribawi. Justeru, apabila matawang telah mula mempunyai pasaran hadapan sendiri maka ini telah lari dari prinsip urusniaga yang halal.

Pelaburan urusniaga matawang (juga popular sebagai pelaburan forex) ini memang merupakan satu pasar yang paling besar di dunia malangnya kebanyakan urusniaganya dilakukan dengan cara tidak patuh Shariah. Kita perlu maklum, riba bukan sahaja pada pinjam duit tetapi riba dapat berlaku dalam pertukaran duit. Justeru, kita perlu berhati-hati mencari bidang pelaburan kita.

Selasa, 20 September 2011

Cinta Bukan Mainan

Air mata bagai senjata
Sentuhan bagai pelurunya
Pelukan memadam api menyala
Akhirnya tertewas di medan cinta
Dari benci bertukar simpati
Simpati merubah seluruh emosi
Semangat bertahan kini hanyut
mencorak wajah yang dulu berkerut
Menanti benci datang bertaut
Yang hadir sayang bersama kabut
Tidakkah berbual tanpa tiupan
Angin menghembus menyusup kedasar
Akhirnya patah pohon di dahan
Melayukan benci sayang pun mekar
Hadirlah kembali bersama kekuatan
Sebelum fikiran diselaputi kekuatan
Akhirnya iman jadi taruhan
Nafsu terus menjadi teman
Teruskanlah bertahan wahai insan
Kerna cinta bukan mainan
cinta itu milik tuhan..

Jumaat, 16 September 2011

Success


There are no secrets to success, It is the result of preparation, hardwork learning from failure.


You can increase your success by knowing your current skill competency level, working hard, and continually using your experience to take you to the next level. 


Luck is the place where preparation and opportunity meet. 


Skills come from learning, practice, and
mastery.

Cintaku Ya Allah


Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim…
Allah Rabbi aku minta izin
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Jangan biarkan cintaku untuk-Mu berkurang
Hingga membuatkanku lalai akan adanya Engkau
Allahu Rabbi aku punya pinta
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Penuhilah hatiku dengan bilangan cinta-Mu yang tidak terbatas
Biar rasaku pada-Mu tetap utuh
Allah Rabbi
Izinkan bila suatu saat aku jatuh hati
Pertemukanlah kami
Berikanlah kami kesempatan untuk lebih mendekati cinta-Mu
Allah Rabbi
Pintaku yang terakhir adalah seandainya aku jatuh hati
Jangan pernah kau palingkan wajah-Mu dariku
Anugerahkanlah aku cinta-Mu
Cinta yang tak pernah pupus oleh waktu.

Motivasi diri



Ketika aku mohon kekuatan,
ALLAH memberikan aku kesusahan sehingga aku kuat.

Ketika aku mohon kebijaksanaan,
ALLAH memberikan aku masalah untuk aku pecahkan.

Ketika aku mohon kesejahteraan,
ALLAH memberikan aku akal untuk berfikir.

Ketika aku mohon keberanian,
ALLAH memberikan aku bahaya untuk aku atasi.

Ketika aku memerlukan cinta,
ALLAH memberikanku orang memerlukan untuk aku tolong.

Ketika aku mohon bantuan,
ALLAH memberikan aku kesempatan.

Ketika aku tidak pernah menerima apa yang aku minta,
ALLAH memberikanku apa yang amat aku perlukan.

Hukum ASB ASN antara dua fatwa


Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan seumpamanya adalah tidak halal.
Hal ini kerana ia masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:
  1. Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.
  2. Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
  3. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu ini boleh berhubung terus dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor seperti di bawah:
Jabatan Mufti Negeri SelangorTingkat 7 & 8, Menara Utara,Bangunan Sultan Idris Shah,
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Tel: 603-5514 3400Mufti: 603-5514 3738Timb. Mufti: 603-5514 3730Fax: 603-55197584Email: mufti_sel@selangor.gov.my
Web: www.muftiselangor.gov.my
FATWA kedua
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.
Keterangan/Hujah: 
  1. Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.
     
  2. Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Dalam hal ini, Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik. Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas
     
  3. Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.
     
  4. Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.
     
  5. Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan di mana 70% pelaburan menepati syariah, hanya 30% sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak comply dengan syariah. Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. Ini kerana fuqaha’ muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.
     
  6. PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan penguasaan umat Islam. Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudharatan yang lebih besar perlu dielakkan.
Anda mungkin berkata,"SAYA TIDAK PEDULI, ASALKAN MAJLIS FATWA LULUSKAN, SAYA AKAN BERPEGANG DENGANNYA KERANA MEREKA YANG TANGGUNG DI AKHIRAT"

Ulasan, Allah swt memberikan kita akal untuk memerhati dan meneliti pandangan ini setakat kemampuan yang ada, berfikirlah. Jika benar-benar setelah membaca hujjah kedua-dua pihak, lalu anda yakin dengan salah satu antaranya. Anda telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik. Namun jika, sambil malas dan ingin mengambil mudah, lalu terus berpegang dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, individu tersebut tidak berada dalam situasi yang sepatutnya. 


Feature Post

Perjalanan tentang jarak

Aku pernah menyangka bahawa perjalanan paling jauh adalah tentang jarak. Tentang kota‑kota yang belum sempat aku kunjungi. Tenta...

Popular Post