Isnin, 6 Mei 2013

Keluar dari kemiskinan


Pada suatu hari seorang lelaki Ansar datang kepada Nabi Muhammad saw meminta bantuan.
Baginda saw pun bertanya, “Apakah kamu mempunyai sesuatu di rumah?”
Lelaki Ansar menjawab,”Ya ada. iaitu pakaian kasar yang dapat mengalas punggung unta. Sehelai kami guna dan ada yang sehelai hamparkan. Dan juga bekas minum.”
Rasulullah saw pun terus berkata, “Bawa kedua-duanya  kepada aku.”
Maka lelaki Ansar itu tadi pun membawa kedua-duanya kepada Rasulullah saw lantas Baginda mengambilnya lantas berkata kepada orang ramai, “Siapa yang mahu membeli dua barang ini?”
Seorang lelaki menjawab, “Aku akan membelinya dengan 1 dirham,”
Rasulullah saw pun berkata & mengulanginya 2, 3 kali, “Siapa yang mahu menawarkan 2 dirham?”
Seseorang pun menjawab, “Saya mahu membelinya dengan 2 dirham,”
Rasulullah saw pun mengambil 2 dirham tersebut dan diberikan kepada lelaki Ansar tadi lalu berkata, “Belilah makanan 1 dirham untuk keluargamu dan 1 dirham lagi gunakan untuk membeli (mata) kapak dan bawa kepadaku.”
Lelaki Ansar tadi pun melaksanakan arahan Rasulullah saw dan memberikan (mata) kapak tersebut kepada Baginda. Rasulullah saw memasangkannya dengan kayu lalu berkata, “Nah (kapak) dan sila pergi mencari kayu. Aku tak mahu melihat kamu di sini selama 15 hari ini.”
Lelaki Ansar itu pun beredar, mencari kayu dan menjualnya. Selepas 15 hari lelaki Ansar itu datang kepada Rasulullah saw bersama 15 dirham. Rasulullah saw pun berkata, “Beli makanan dan bakinya beli pakaian. Sesungguhnya ini adalah lebih baik dari dari kamu datang meminta-minta kerana perbuatan meminta-minta itu akan merosakkan wajah kamu pada hari Akhirat. Sesungguhnya meminta-minta itu hanya untuk yang sangat miskin, orang yang kerugian teruk atau darah yang menyakitkan.”
Nota:
1. Hadis ini direkodkan oleh Imam Ibn Majah, No hadis 2198.
2. Rantaian hadis ini bermula dari Anas bin Malik r.a.

Selasa, 30 April 2013

Cinta Tuhan


Berkata Ibnu 'Abbas radhiAllahu 'anhu bahawasanya Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

Allah Ta'ala berfirman:

"Berkata Daud tatkala dia berkata-kata kepada Tuhannya: Ya Tuhanku! Siapakah di antara hamba-hambaMu yang paling Engkau cintai, supaya aku mencintainya dengan sebab cintaMu itu? Berfirman Tuhan: Wahai Daud! Orang yang paling Kucintai di antara hamba-hambaku ialah yang paling bertaqwa hatinya, suci kedua belah tangannya, tiada menyusahkan orang lain, dan tidak membuat fitnah ke sana ke mari. Gunung-ganang akan berubah, namun dia tetap begitu juga. Dia mencintaiku dan mencintai orang yang mencintaiKu serta menarik hamba-hambaKu untuk mencintaiKu.

"Berkata Daud: Ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawasanya aku ini mencintaiMu, dan mencintai orang yang mencintaiMu, tetapi bagaimana dapat aku menarik hamba-hambaMu untuk mencintaiMu? Berfirman Tuhan: Ingatkanlah mereka kepada segala macam nikmatKu, segala macam ujianKu, dan segala macam seksaanKu.

"Wahai Daud! Sesungguhnya tiada seseorang hamba yang menolong orang yang teraniaya, atau berusaha untuk melepaskannya dari penganiayaannya, melainkan Allah akan menetapkan kedua tapak kakinya pada hari semua tapak kaki akan tergelincir."

(Riwayat Baihaqi dan Ibnu Asakir)

Hikmah Bukan Bermakna Lemau

Abdul Mu’izz bin Muhammad 

Sebuah gerakan Islam bertindak sebagai pengganti sementara kepada khilafah yang telah diruntuhkan oleh Mustafa Kamal Attarturk sejak 3 Mac 1924. Ia bukan muncul sekadar melepas batuk ditangga, sebaliknya sebuah gerakan Islam membawa agenda besar iaitu tarbiyyah, da’wah dan politik.

Dalam memastikan misi tersebut berjaya, gerakan perjuangan umat ini mesti memiliki sifat yang telah dianjurkan oleh al-Quran. Antaranya ialah ‘Hikmah’.

Definisi

Hikmah merupakan sifat utama bagi penyambung-penyambung tugas Rasulullah S.A.W. Tugas yang dimaksudkan ialah menegakkan Islam, memelihara Islam dan mentadbir dunia dengan Islam. Konsep hikmah telah dikemukan oleh al-Quran di dalam ayat berikut;


“Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik. Dan bantahlah mereka dengan cara terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat pentunjuk” al-Nahl 125.

Hikmah selalunya dikaitkan dengan makna bijaksana. Imam Nawawi telah membahaskan maksud hikmah antaranya ialah melaksanakan kebenaran. Pada masa yang sama menyekat kebatilan.

Adapaun Imam Malik dan Imam Mujahid menegaskan bahawa hikmah tidak akan dapat dilaksanakan melainkan dengan kefahaman al-Quran dan syariat Islam yang menterjemahkan erti iman.

Manakala Ustaz Hamdi Hasan mendakwa bahawa para ulama’ telah bersepakat mendefinisikan hikmah dengan pengertian tindakan yang tepat pada masa dan ketikanya. Hikmah adalah tindakan yang berkesan.

Hikmah Bukan Lemau

Antara istilah Islam yang menjadi mangsa penyelewengan makna adalah ‘hikmah’. Sehingga ramai yang beranggapan bahawa tindakan hikmah itu sentiasa dengan lemah lembut tidak kena tempat.

Islam tidak pernah mengajar kita menjadi umat yang lemau. Islam tidak pernah mengasuh kita menjadi umat yang melakukan usaha sia-sia yang tidak berbekas kesan. Begitu juga Islam tidak pernah mensyariatkan kita menjadi umat yang tunduk memberikan laluan kepada kebatilan bermaharajalela, sedangkan kita selesa berzikir dan bertapa.

Jika dikaji, ajaran ‘melemaukan umat’ merupakan hasil penyerapan ajaran Kristian melalui kitab suntingan mereka, Bible. Di dalam Matthew 5:39 direkodkan ajaran:

“Janganlah kamu melawan orang yang berbuat jahat kepadamu, melainkan siapa pun menampar pipi kananmu, berilah juga pipi kirimu”

Begitu juga di dalam Luke 6:29 menyebutkan;

“Barangsiapa menampar pipimu yang satu, berilah juga kepadanya pipimu yang lain. Dan barangsiapa yang mengambil jubahmu, biarkan juga ia mengambil bajumu”

Rupa-rupanya budaya tidak kisah dengan kezaliman dan pencabulan hak atas nama budi dan akhlak merupakan penyerapan ajaran songsang Kristian. Doktrin ini merupakan ajaran yang bercanggah dengan fitrah manusia. Mana mungkin manusia tidak mengendahkan hak mereka sendiri. Sebaliknya hanya mampu tersenyum membiarkan pengkhianatan melata. Ternyata hikmah yang diterjemahkan dengan lemah lembut tanpa batas merupakan satu ajaran Kristian yang telah tersebar luas di kalangan umat Islam.

Begitu juga ajaran Qadiani yang diasaskan oleh agen British yang bernama Ghulam Ahmad al-Qadiani. Selain mendakwa dirinya sebagai rasul akhir zaman, Ghulam Ahmad amat tekun menyesatkan umat Islam dengan memansuhkan syariat jihad kerana dakwanya jihad merupakan amalan yang bercanggah dengan nilai hikmah dan akhlak. Kesan daripada ajaran yang memandulkan umat itu, maka British dengan mudah terus menjajah India tanpa pertentangan berskala besar dari umat Islam.

Justeru kita perlu berhati-hati mengesan pencemaran fikrah dalam memahami konsep-konsep yang asalnya dikemukakan oleh Islam, namun giat diselewengkan maknanya oleh penjajah pemikiran.

Hikmah Adalah Tindakan Efektif

Islam merupakan agama yang menyediakan saluran kepada seluruh manusia melunaskan fitrah mereka. Antara fitrah manusia, pandai berkira berkenanan hak mereka. Oleh kerana itu, para ulama’ telah mendefiniskan hikmah dengan makna :
  1. Tindakan yang tepat pada masa dan ketikanya demi mempertahankan kebenaran serta menidakkan kebatilan.
  2. Bertindak balas ke atas kezaliman dan pengkhianatan.

Selepas ayat 125 Surah al-Nahl yang mengemukakan tentang konsep hikmah, Allah Taala terus menterjemahkan makna hikmah dengan ayat seterusnya :


“Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan apa yang telah mereka kenakan ke atas kamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang bersabar” al-Nahl 126.

Bukan setakat hikmah itu difahami dengan sikap lemah lembut, bahkan Allah mengkaitkan juga hikmah dengan tindakan mengenakan balasan yang setimpal. Ini bermakna lembut pada tempatnya hikmah. Begitu juga keras pada keadaannya pun hikmah. Soal utama hikmah adalah keberkesanaan sesuatu tindakan. Yang paling berkesan itulah hikmah.

Realiti

Kini umat Islam sedang berada di dalam zon perang pemikiran yang amat mencabar. Jika penentangan terhadap Islam dengan senjata, ramai yang akan mengenali pihak yang batil. Adapun realiti yang berlaku, umat Islam berdepan dengan tentangan halimunan yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Wujud sebuah kuasa yang mencengkam. Kuasa itu yang menjadi tangan ghaib yang merosakkan manusia dan bumi. Demi berhadapan dengan ancaman penentangan terhadap Islam, Allah Taala telah berfirman;


“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” al-Anfal 60

Di dalam ayat di atas, Allah berfirman soal kekuatan. Kekuatan sifatnya menguasai, mampu mempengaruhi keadaan serta berupaya mengenakan tekanan. Allah menggesa umat Islam agar mengenal pasti kekuatan yang ampuh sesuai untuk cabaran zaman yang dilalui. Seterusnya Allah memerintahkan agar bersiap siaga memperkasa kekuatan tersebut. Apabila umat Islam berjaya menyempurnakan perintah ayat ini, barulah gerakan mendaulatkan Islam dapat dilaksanakan dengan berhikmah.

Ada yang mengatakan kekuatan utama umat Islam adalah akademik. Namun jika dilihat berapa ramai ahli akademik yang ditipu oleh kuasa politik.

Ada yang mendakwa kekuatan utama umat Islam adalah ekonomi. Namun jika dilihat berapa ramai ahli perniagaan yang dikawal oleh kuasa politik.

Ada yang mendakwa kekuatan utama umat Islam adalah persenjataan. Namun jika dilihat setiap peperangan diatur percaturannya oleh kuasa politik. 

Secara ringkas, bolehlah penulis menyimpulkan kekuatan yang perlu dibangunkan oleh umat Islam kini adalah kekuatan politik. Itulah senjata ghaib musuh Islam yang mencengkam manusia di zaman sekarang. Hal ini kerana segala onar yang berlaku ketika zaman perang pemikiran kini semuanya berpunca dari salah laku politik.

Di sini, bukanlah penulis menafikan kekuatan-kekuatan lain yang perlu disiap-siagakan. Sebaliknya penulis ingin mengajak pembaca sedar bahawa kekuatan utama yang menentukan percaturan gerakan kebatilan adalah politik. Oleh kerana itu apabila Allah Taala berfirman berkenaan hikmah seperti yang terkandung dalam ayat 125 surah al Nahl, Allah Taala turut menyatakan :

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat.Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” Fussilat 34

Al-Quran menggesa kita memilih jalan yang terbaik dengan makna cara yang paling memberi impak memenangkan Islam dan menundukkan kebathilan. Di zaman sekarang semua kebejatan berpunca dari politik. Maka umat Islam juga mesti memiliki kuasa politik untuk menyaingi kuasa politik bathil. Itulah jalan yang paling berkesan.

PAS Memilih Hikmah

PAS menegaskan di dalam perlembagaannya (fasal 6) bahawa antara usaha yang perlu digerakkan adalah memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.

Pengisytiharan PAS memilih wadah politik membuktikan bahawa gerakan Islam ini sebagai organisasi yang matang berpijak di alam nyata. Bijak mengenal pasti kekuatan yang valid pada zaman ini. Realiti yang perlu difahami semua, untuk menidakkan segala bentuk kebathilan mestilah dengan kuasa politik. Politik adalah punca kebathilan, bahkan ia merupakan senjata utama yang digunakan oleh musuh di era perang pemikiran untuk melaksanakan segala agenda jahat.

Pendirian ini sesuai dengan penegasan Saidina Ali dan turut ditekankan oleh Imam Ghazali di dalam kitabnya berjudul al-Iqtisad Fi al-I’tiqad :

“Islam merupakan asas, manakala kekuasaan (politik) merupakan penjaga Islam. Apa-apa yang tiada asas akan runtuh. Dan apa-apa asas yang tiada penjaga akan hilang.”

Solusi

Umat Islam perlu kembali dengan serius mengamalkan sunnah Rasulullah SAW mendapatkan kuasa politik dengan mendirikan negara Islam yang menjamin kebajikan dan keadilan untuk semua. Gerakan ini bermula dari usaha melenyapkan kuasa pemerintah yang angkuh melakukan kezaliman dan penafian hak. Allah Taala berfirman;


“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” al-Maidah 8

Rasulullah S.A.W mengajar kita bahawasanya Islam dipelihara dengan adanya kuasa pemerintahan. Bahkan keadilan syariat Islam hanya dapat dibuktikan setelah adanya kuasa. Itulah yang difahami dari penubuhan sejarah Negara Islam Madinah.

Justeru kita perlu memupuk akhlak Rasulullah S.A.W yang kian ditinggalkan iaitu apabila bertindak, memilih jalan yang paling berkesan. Apabila berjuang menegakkan Islam, perlu mengenal pasti kekuatan yang menggerunkan musuh. Maka yang paling berkesan itulah hikmah.

Ahad, 28 April 2013

SIYASAH PERUBAHAN DENGAN MASLAHAH


SIYASAH PERUBAHAN DENGAN MASLAHAHProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Nabi s.a.w tidak meninggalkan perincian dalam masalah politik. Politik bukanlah ibadah khusus seperti solat, puasa yang seumpamanya yang tidak boleh diubah. Politik itu sesuatu yang bergerak berdasarkan kemaslahatan hidup manusia. Justeru itu, Nabi s.a.w tidak meninggalkan pendetilan tentang politik, sebaliknya hanyalah prinsip-prinsip umum untuk dipegang oleh manusia. Jika ada pendetilan, ia mempunyai faktor tempat dan masa yang terdedah kepada perubahan. Apatahlagi, pentadbiran kerajaan Nabi s.a.w tidaklah sistematik seperti zaman selepas itu. Ini kerana keperluan politik sudah memadai dengan bentuk pengurusan yang lebih menjurus kepada tribal system ketika itu. Maka pengurusan Nabi s.a.w berdasarkan kepada keperluan rakyat. Kemudian politik itu berkembang dan pengurusannya lebih rumit dan terperinci. Tidak sama pula antara satu tempat dengan yang lain, antara negeri dengan negeri, antara negara dengan negara.

Maka, kita dapati banyak perubahan politik yang dilakukan selepas kewafatan Nabi s.a.w, khususnya bermula pada zaman Saidina ‘Umar al-Khattab. Ijtihad dalam politik lebih luas dan terbuka. Terasnya, kemaslahatan rakyat. Islam bersifat luas dalam hal politik. Ini kerana syariat itu dibina atas dasar kemaslahatan manusia. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):
“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).
Ertinya, apa yang penting dalam penegakan syariat adalah tujuan atau maqsad utama syariat itu iaitu kemaslahatan manusia. Bukan soal nama yang penting tetapi matlamat dari perlaksanaan sesuatu perkara yang dikaitkan dengan nama syariah itulah yang paling penting. Jika kita memberikan nama yang ‘islamik’sekalipun, tetapi tidak mencapai tujuan syariah iaitu keadilan untuk manusia, maka ia tidak boleh dianggap islamik. Nama bukan penentu, isi dan pencapaian maqsad itulah yang paling penting. Sebab itu, jika menamakan negara dengan ‘daulah islamiyyah’ tetapi tidak mencapai maqsad keadilan, maka nama itu tidak bererti, bahkan memberikan salahfaham umum terhadap agama yang suci ini.
Realiti Semasa
Untuk mencapai keadilan dan tujuan perlaksanaan syariah, ia memerlukan kefahaman terhadap nas dan penelitian terhadap realiti semasa. Kefahaman yang literal terhadap hadis-hadis siyasah akan menjadikan perlaksanaan Islam dalam bidang tersebut gagal mencapai tujuan sebenar syariat. Sebab itu dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:
“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan”. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani)
Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:
“Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.
Dalam riwayat Abu Daud:
“Jangan dipotong tangan ketika pemusafiran” (Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani.)
Dalam hadis di atas, Nabi s.a.w mengambil kira persoalan realiti tempat, masa dan kesan terhadap sesuatu perlaksanaan hukum. Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapuhan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati. Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam. Maka perjuangan mengujudkan suasana yang kondusif itu mendahului usaha perlaksanaan hudud. Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.
Demikian juga dalam hadis Anas bin Malik, dia berkata:
“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Dalam hadis ini, Nabi s.a.w enggan menetapkan atau mengawal harga barang (price control policy). Baginda bimbang itu akan menzalimi peniaga. Ini sangat relevan dengan keadaan para peniaga pada zaman baginda, keadaan barangan yang diniagakan dan juga bentuk perdagangan yang ada ketika itu. Namun, apabila zaman berubah, sikap peniaga, keadaan pasaran (market situation) pun berubah. Jika price control policy tidak diwujudkan, para pembeli pula mungkin menjadi mangsa. Untuk itu kita dapati para sarjana fekah sejak dahulu ada yang memboleh penetapan harga oleh pihak berkuasa apabila melihat kepada perubahan keadaan.
Kata al-Munawi (meninggal 1031H) :
“Rabiah (bin ‘Abd al-Rahman) telah mengharuskan penetapan harga. Ini sebenarnya Mazhab ‘Umar, kerana itu akan memelihara sistem harga. Kata Ibn al-‘Arabi al-Maliki: sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).
Hal yang sama disebut oleh Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa.
Kefahaman yang sebegini bukan menolak hadis, sebaliknya berusaha melihat nas dari segi teks dan konteks. Maka, pemimpin muslim yang hendak memimpin umat dalam era ini, tidak boleh terlalu literal dalam memahami nas, tetapi hendaklah melihat Maqasid al-Syariah (The higher objectives of Islamic Law) bagi setiap nas-nas yang berkaitan politik islami.

UBAH, UBAH DAN UBAH LAGI


UBAH, UBAH DAN UBAH LAGIProf Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya suka dengan perkataan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz kepada ‘setiausaha politiknya’ Rajak bin Haiwah. Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz:
“Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).
Manusia yang normal sentiasa berkehendak kepada perubahan. Berubah kepada yang lebih baik. Sekalipun kadang-kala dalam proses perubahan manusia terpaksa mengalami kesusahan. Persis seperti orang yang berpindah rumah dari yang kecil kepada yang lebih besar, selesa dan baik. Dalam proses pemindahan mungkin ada banyak kesusahan di peringkat awal. Mungkin terpaksa berjimat terlebih dahulu sebelum mampu membeli rumah baru yang besar. Terpaksa mengangkat barang-barang yang berat. Mungkin juga ada barang kesayangan yang terjatuh dan rosak. Terpaksa tinggalkan jiran-jiran lama yang disayangi. Terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan pelbagai lagi.
Namun jika dia tidak pindah, taraf hidupnya tidak berkembang. Anak-anak akan susah hidup dalam rumah yang sempit. Di tempat baru, dia menikmati kemudahan hidup yang lebih selesa dan persekitaran yang lebih nyaman.
Esok Lebih Baik
Manusia yang normal sentiasa cuba memastikan hari esok lebih baik dari hari ini. Mengubah persekitaran hidup ke arah yang lebih baik adalah tabiat manusia bertamadun. Hanya yang kita tidak ubah ialah prinsip-prinsip kebenaran yang merentasi masa dan tempat. Pun begitu, cara melaksanakan prinsip-prinsip kebenaran itu juga kadang-kadang berubah. Cara menegakkan keadilan dalam masyarakat berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Pendekatan mencegah kezaliman juga berubah mengikut keadaan masa dan tempat. Namun tanggungjawab menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman itu kekal sehingga kiamat.
Manusia yang enggan berubah dan takut hendak berubah kerana satu risiko yang tidak pasti asas ialah manusia yang dungu. Seseorang yang takut hendak belajar ke peringkat tinggi kerana bimbang dianggap sombong adalah orang yang membodohkan dirinya. Lebih bodoh lagi, jika seseorang yang sanggup hidup dalam keadaan berpenyakit dan bimbang sembuh kerana takut jika terlalu sihat nanti dia akan makan nasi lebih banyak lalu kos hidup akan jadi lebih tinggi. Dia lupa bahawa kos ubat yang dia ambil setiap hari melebihi kos nasi yang mungkin dia tambah jika dia sihat. Demikian dalam politik.
Pindah
Air yang bertakung akan rosak. Air yang mengalir lebih baik untuk digunakan. Air yang mengalir juga lebih indah bau dan bunyi iramanya. Air yang bertakung kadang-kala ada kegerunan pada bunyi senyapnya itu. Kuasa politik juga demikian. Jika ia terlalu berada dalam genggaman seseorang, banyak keburukannya. Ketamakan, salahguna, keegoan, kesombongan dan sebagainya akan berlaku. Jika hal itu mula kelihatan pada seseorang atau sesuatu pentadbiran maka hendaklah kuasa itu dialirkan ke pihak lain agar dapat mengelakkan keadaan yang seperti itu. Di situ datangnya peranan pilihanraya dalam sistem demokrasi. Dalam konteks Malaysia, perkara ini terpakai untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh BN ataupun PR.
Kata syair ‘Arab yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafii:
‘Seorang yang berakal dan beradab tidak akan kekal berehat di satu tempat. Tinggalkanlah tanahair dan mengembaralah. Bermusafirlah, nescaya engkau dapati ganti orang yang engkau tinggalkan. Berletihanlah, kerana kelazatan hidup pada keletihan (untuk mendapat kebaikan). Aku melihat terhentinya air itu merosakkannya. Jika ia mengalir maka baik, jika ia tidak mengalir tidak baik’.
Hijrah dalam Islam mempunyai perlambangan yang tersendiri. Ia adalah perlambangan betapa perlunya kita berpindah kepada yang lebih baik. Negara kita tidak boleh berpolitik dengan tahap lama lagi. Kita perlukan politik masa depan yang lebih matang dan berkualiti. Kita tidak wajar membandingkan kehidupan kita dengan zaman Jepun makan ubi kayu. Mengapa kita tidak bandingkan kualiti integriti kepimpinan kita dengan Negara Jepun?! Media tidak wajar memperbodohkan akal rakyat dengan menemubual pakcik-pakcik kampung yang bercakap tentang zaman Jepun. Pemimpin sepatutnya berusaha mendidik rakyat maju ke hadapan, bukan melihat ke belakang. Ibn Hamdun dalam al-Tazkirah al-Hamduniyyah memetik kata-kata Plato:
“Jangan kamu paksa anak-anak kamu dengan cara kamu kerana mereka diciptakan bukan untuk zaman kamu”.
Dalam kerangka politik, saya tidak menaruh penuh kepercayaan kepada BN ataupun PR. Saya tidak beriman kepada parti-parti itu bahawa mereka akan memenuhi segala maksud kebaikan untuk sebuah negara yang bernama Malaysia ini. Saya rasa tabiat politik antara keduanya masih banyak yang sama. Walaupun masing-masing ada kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Mungkin ada beberapa tokoh dalam parti-parti itu yang berkualiti tinggi, namun kedua gabungan politik itu masih banyak yang terikat dengan ‘order lama’ politik. Lihat sahaja cara Dr Haron Din dan Karpal Singh membincangkan tentang isu hudud di waktu sepatutnya fokus rakyat kepada perkara-perkara yang lebih praktikal untuk masa ini. Lihat pula bagaimana BN mengendalikan media massa semasa pilihanraya ini. Namun, saya percaya satu perkara; perubahan, pengaliran kuasa, penggiliran, menghadkan tempoh kekuasaan, memberi peluang kepada tawaran-tawaran baru untuk rakyat adalah satu cara untuk mematangkan politik dan membawanya ke arah yang lebih baik.
Saya percaya tukar, tukar dan tukar lagi sehingga kita dapat yang terbaik, dapat membawa negara ke arah yang lebih matang dan baik. Kita hendaklah bersedia untuk menukar BN kepada PR, ataupun PR kepada BN ataupun membuang keduanya sekali pada masa depan dan memunculkan politik baru sehingga kita menemui yang terbaik. Apabila yang terbaik itu mula ‘merepek’, kita akan tukar lagi. Kita tidak pentingkan nama parti, tetapi kualiti servis yang mampu diberikan! Kita sanggup menukar jika perlu tanpa mengira BN ataupun PR. Ubah, ubah dan ubah lagi sehingga yang baik diperolehi.

Isnin, 4 Mac 2013

3 MAC 1924 - SEJARAH HITAM UMAT ISLAM

3 Mac 1924 

Merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam yang tidak harus dilupakan oleh kaum Muslimin. Pada tarikh inilah umat Islam secara rasmi telah kehilangan perisai dan tonggak tempat mereka berlindung - Khilafah Islamiyyah. Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Majid telah diusir meninggalkan pusat pentadbiran Daulah Khilafah di Turki pada subuh hari tersebut hasil daripada persidangan Majlis Nasional yang diketuai oleh La'natullah Mustafa Kamal melalui konspirasi jahat kafir Barat. Konspirasi ini dapat dilihat dengan jelas daripada ungkapan Menteri Luar Inggeris, Lord Curzon berikutan runtuhnya Daulah Khilafah;


"Persoalan utamanya adalah bahawa Turki telah dihancurkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan spiritual mereka, iaitu Khilafah dan Islam" .

Pada hakikatnya, keruntuhan Daulah Khilafah bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Pertentangan antara dua peradaban ini (Islam dan Kufur) telahpun berlaku sejak awal Rasulullah diangkat sebagai Rasul lagi. Daulah Khilafah yang dirobohkan ini merupakan kesinambungan Negara Islam yang didirikan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam di Madinah selepas berlakunya peristiwa Hijrah.



Khalifah Abu Bakar As Siddiq merupakan orang pertama yang memulakan diari Negara Khilafah diikuti oleh Khalifah 'Umar Al Khattab, Khalifah Osman bin 'Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib di mana zaman pemerintahan mereka dikenali juga sebagai era Khilafah Rasyidah. Selepas itu kekhilafah diteruskan oleh Bani Umaiyyah diikuti kekhilafahan Bani Abbasiyah dan terakhir, kekhilafahan Bani Uthmaniyyah yang semuanya berlarutan lebih 1300 tahun. Benarlah sabda Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hazim yang berkata:

"Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun dan pernah aku mendengarnya menyampaikan hadits dari Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam yang bersabda:

"Dahulu Bani Israil dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seseorang nabi wafat, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku. (Tetapi) nanti akan ada banyak khalifah.' Para sahabat bertanya: 'Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?' Baginda menjawab: 'Penuhilah bai'at yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban dari mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka"

Sepanjang tempoh tersebut Islam telah menjangkau dan meliputi 2/3 dunia dari Timur ke Barat. Sehingga itu juga banyak kejayaan yang telah dicapai dan rahmat melimpah ke atas umat manusia sepertimana Firman Allah:

"Dan tidak kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam"
[TMQ al-Anbiya' 21:107]

Malapetaka ketiadaan Khilafah

Kehinaan yang menimpa umat Islam secara bertali arus sehingga ke hari ini adalah merupakan kesan dari tiadanya kekuatan politik di dalam tubuh umat Islam – tiadanya sebuah kepimpinan umum umat Islam (Al-Khilafah) yang menerapkan hukum-hukum Islam di dalam Negara Islam dan menyebarkan Islam ke luar Negara melalui dakwah dan jihad. Malapetaka yang terus menerus menimpa kaum Muslimin merupakan rentetan dari tiadanya perlaksanaan keatas perintah Allah secara menyeluruh. Dari firman Allah di atas, adalah merupakan suatu kepastian bahawa dengan terlaksananya hukum-hukum syara' secara menyeluruh, alam ini pasti akan dipenuhi rahmat Allah.

Namun apa yang kita perhatikan hari ini adalah perintah dan larangan Allah hanya tinggal sebagai tulisan-tulisan di dalam kitab sebagai rujukan akademik dan bukannya sesuatu yang diterapkan sebagai penyelesaian bagi masalah umat manusia. Rentetan dari itu, masalah gejala sosial, murtad, seks bebas, Aids, dadah dan sebagainya kini menjadi lumrah dan keluhan di bibir umat. Hakikatnya, penyelesaian bagi semua masalah-masalah ini telahpun dijelaskan oleh Allah dan RasulNya dengan penyelesaian yang hakiki. Apa yang perlu dilakukan adalah menerapkannya secara menyeluruh.

Salah satu malapetaka yang cukup menyedihkan yang menimpa umat Islam akibat dari kelalaian umat dalam menerapkan hukum Allah secara menyeluruh adalah dari segi ekonomi. Lihat sahajalah di negeri-negeri umat Islam, hasil bumi mereka seperti petroleum, emas dan perak yang sepatutnya menjadi milik umat telah dimonopoli oleh kapitalis Barat dan juga menjadi milik peribadi penguasa mereka.

Akibatnya, umat Islam hidup dengan penuh kemiskinan dan menagih simpati di bumi sendiri. Di Iraq, sebagai contoh, akibat dari ketamakan Barat, 120,000 orang terbunuh di sepanjang 2003-2005, 5 juta kehilangan nyawa akibat embargo, 5000 kanak-kanak meninggal setiap bulan dan 100,000 meninggal akibat radiasi nuklear [Perang Iraq-AS, COMES: 2003]. 

Dominasi ideologi kapitalis yang kufur pada hari bukan sahaja membawa pelbagai kesengsaraan kepada umat Islam, malah kepada lebih 60% umat manusia di dunia. Kemiskinan, kehinaan dan kesengsaraan termanifestasi di seluruh dunia. Di dalam dunia yang serba canggih ini, masih terdapat 1.214 billion orang miskin, 78% kanak-kanak kekurangan zat, 11 ribu kanak-kanak mati kelaparan setiap hari dan lebih dari 800 juta orang kelaparan di seluruh dunia di mana 70% di antara mereka adalah wanita dan anak-anak. [Shukor Rahman, World Food Program, New Staits of Malaysia Times, 2001. 

Semua ini berlaku dalam keadaan 20% dari penduduk dunia menerima lebih dari 60% dari kekayaannya!!!

Di Malaysia sendiri, individu terkaya di negara ini memiliki harta melebihi RM 11 bilion sedangkan pendapatan per kapita rakyatnya hanya sekitar RM 1700; malah masih ramai lagi rakyat termiskin yang tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga mereka. sudah pasti bebanan rakyat akan bertambah dan bagi yang sudahpun berada di dalam keadaan yang sempit,  mereka ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga...

Soalan yang pasti akan bermain di minda adalah kemanakah perginya segala kekayaan hasil bumi anugerah Allah yang menjadi milik umat Islam keseluruhannya? Kemanakah perginya kekayaan dari petroleum, gas,hasil balak dan lain-lain sumber asli yang begitu banyak dikurniakan Allah kepada kaum Muslimin??

Dalam dunia kapitalis hari ini, kekayaan yang sewajarnya menjadi milik umat, kini diraut oleh para kapitalis yang tidak pernah kenyang dari ketamakan mereka. Akibatnya merintihlah umat untuk mendapatkan bantuan perubatan, pendidikan dan keperluan asas kehidupannya kerana negara telah melepaskan tanggungjawab utamanya – menjaga urusan umat.

Dalam aspek pendidikan pula, cengkaman ideologi kapitalisme yang berasaskan aqidah sekular secara langsung memainkan peranan besar dalam perkembangan kurikulum di semua negeri umat Islam. Barat mengetahui bahawa dengan mengawal pemikiran umat melalui pengaruh yang mendasar ke atas kurikulum pendidikan, arah tuju umat dapat dialihkan kepada apa yang mereka inginkan. Realiti, dan bukan wahyu dijadikan sebagai sumber pemikiran. 

Akibatnya, realitilah yang menentukan jalan pemikiran dan bukannya berfungsi sebagai objek pemikiran. Akhirnya, akan lahirlah manusia yang pragmatik dan liberal – manusia yang langsung tidak merasa perlu untuk kembali kepada perintah Allah dalam menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. 

Hari ini, dengan dominasi sistem pendidikan Barat, pengajian ilmu dan tsaqafah Islam menjadi sekadar proses pemindahan ilmu untuk 'dipelajari' bukan untuk diterapkan dan diamalkan.
Akhirnya agama diambil hanya dalam konteks hubungan makhluk dengan Tuhannya sahaja
('ibadah khusus), tidak lebih dari itu. Akibatnya lahirlah masyarakat sekular yang memegang aqidah Islam namun tidak mengambil Islam sebagai penyelesai bagi masalah-masalah kehidupan mereka. Mereka hidup semata-mata ingin meraih dunia tanpa komitmen yang kuat terhadap Islam. Mereka merasa cukup selesa meletakkan Islam hanya sebagai isu peribadi tanpa kesedaran bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab menerapkannya.

Malapetaka yang menimpa kaum Muslimin akibat dari tiadanya Islam dalam kehidupan juga dapat dilihat dalam aspek politik. Satu persatu negeri umat Islam dijajah secara ketenteraan; Iraq, Palestin dan Afghanistan merupakan contoh yang amat jelas. Manakala di negeri kafir umat Islam turut dibunuh dan dihina seperti di Thailand, Filiphina, Rusia serta Perancis. Di negeri-negeri lain, penguasa umat Islam tidak dapat memboloskan diri dari cengkaman negara 'super power' AS seolah-olah akan berlaku bencana yang amat besar sekiranya telunjuknya tidak dipatuhi. 

Dalam keadaan ini, kaum kafir begitu bermaharajalela sehinggakan penghinaan ke atas Rasulullah melalui karikaturnya terus dipandang sepi oleh penguasa-penguasa umat Islam. Mereka (penguasa muslim) ini nampaknya sehingga hari ini tidak pernah mengambil pendirian yang tegas dalam menyelesaikan masalah tersebut. Dengan nada penuh kehinaan mereka hanya mampu menyeru kepada penyelesaian melalui dialog dan kompromi dengan kuffar, suatu yang mereka, kaum kafir, sambut dengan tangan terbuka. Dan pada waktu yang sama
penguasa-penguasa ini menekan kebangkitan umat yang mahukan penyelesaian yang lebih tegas.

Di manakah pendirian kita sebagai umat yang mulia?

Rabu, 13 Februari 2013

Wife

Bila SUAMI balik rumah.... Dia jadi heran giler halaman umah berselerak, surat kat peti pos tak berambil, anak-anak tengah main korek-korek tanah kotor, baju compang-camping, penuh dengan tanah dan kotoran, rambut tak bersikat, tak bermandi.. Masuk ke pintu rumah lagi lelaki tu terkejut.

waaa... mana isteri ku...

Ruang tamu lagi teruk berselerak. Lelaki tu melaung nama isterinya.. Sepi tiada jawapan. Masuk ke dapur, sinki penuh dengan pinggan mangkuk tak berbasuh, periuk tak bercuci, mencari apa yang boleh dimakan tetapi tiada makanan yang dimasak. Masuk ke bilik air, baju belum berbasuh apatah lagi berendam. Lelaki itu cemas mencari isterinya. Dia bergegas ke tingkat atas melihat isterinya terbaring di atas katil sedang membaca buku.

fuuu.. lega..

“Awak sakit ke?” tanya lelaki itu. “Tak lah”, jawab isterinya ringkas. “Kenapa teruk sangat rumah kita hari ni?” Tanya si suami lagi sambil meletakkan tangan di dahi isterinya, kot-kot isterinya demam.“Wahai suamiku, semalam semasa kita bertengkar, abg mengatakan yang saya ini hanyalah suri rumah, duduk di rumah tak sepenat diri abg yang duduk di pejabat, dan abg sering menanyakan apa kerja yang saya lakukan di rumah yang menyebabkan saya merungut kepenatan kadang-kadang..

lelaki tu pun berfikir...

Kalau madam takde kat umah, alangkah tenteramnya hidup ini. Boleh buat ape yang kita suka. Boleh belengkar kat depan TV tanpa sebarang gangguan mental dan fizkal. Pendek kata, FreeDoMmmmmlah!! But hairan bin ajaib, when dia betul-betul pergi meaning “She’s Gone”’ aku plak trasa separuh mati. Sehari dua memanglah shiokkk, no one shouting from the kitchen for help, no ne to komen this and that, no one to criticize. Everything will be smooth…

hahaha... takde yg nak marah ku...

Tp masuk hari ketige, I felt something missing. Lebih-lebih lagi bila tuala mandi dah berbau ‘asshemmmm’, tak tau la mana nak cari yang baru. Colgate da nak abis, tak tau kat mana dia stock up. Air suam da habis, malas nk boil… Masuk hari keempat, rindu mula terasa...

Apabila rindu mencengkam, semuanya jadi tak tentu arah. Tengok TV citer best pon jadi tak best. Nasik bungkus feberite jadik tak feberite. Makan kat 5 star hotel jadik rasa macam makan kat kedai AA. Lebih-lebih lagi bila laundry basket da makin bertimbun ngan baju kotor. Toilet dah mula licin berdaki.. Lantai dah berbelak, tak dimop.. Every nite, very the lonely, baring atas katil nengok ceiling blindly.. bila lonely gini, baru lah rasa benar kesepian.

Jangan kata sebulan atau setahun, belum seminggu isteri takde kat umah, aku dah rasa separuh pengsan. Masa ni barulah sedar netapa pentingnya seorang wanita bernama isteri… So guys out there.. jgn buli isteri kite. Kalau boleh, tolong dia buat kerja rumah. Bukan dok depan TV every weekend baca paper. Apa ingat dia tu kuli ker?! Maid ker?!! Kan dia tu bini kita, best fren kita, sweetheart kita.. Ingat duit hantaran yang kita kasik dia masa nikah dulu cukup ker nak bayar gaji dia ..................................................................seumur hidup ???

ingat balik..

And furthermore, kan sama2 kerja carik rezeki, sama jugak lah buat kerja rumah. Kadang2 bila poket kita sesak, tak ingat ker dialah orang yang paling dekat terdekat kita nak kenyeng-kenyeng duit. Tak kesian ker nengok bini kita? Dah la satu hari keja kat office, balik pulak kena buat kerja rumah lagi… penat tau! Kalaulah aku diberi peluang jadik seorang wanita,… tak rela!!! So to all mums and wives out there, live will be meaningless without You mothers. Uwaaaaaaa!!

SAYANGI LA KAUM PEREMPUAN KERANA TANPA MEREKA ANDA KEHILANGAN SESUATU..

HARGAI MEREKA!!!!!

Dari ilham seorang lelaki.. “ Wanita adalah insan istimewa, biarkan mereka terus membebel, merengek atau mengilai seperti Pontianak. Seburukburuk perangai wanita, ia akan terus melekat di hati kita selagi hayat di kandung badan”

Feature Post

Perjalanan tentang jarak

Aku pernah menyangka bahawa perjalanan paling jauh adalah tentang jarak. Tentang kota‑kota yang belum sempat aku kunjungi. Tenta...

Popular Post