السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
TAZKIRAH PAGI
(SABTU,05 SYA'ABAN 1436H)
DUGAAN DAN UJIAN...!!!
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Ertinya:
"Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya".
(QS. Al-Baqarah: 286)
Allah S.W.T Maha Adil dan tidak akan menzalimi hamba-Nya. Biasanya hamba-Nya lah yang menzalimi diri mereka sendiri. Dari ayat di atas dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Berbeza tahap-tahap tanggungannya.
PENCERAHAN :
Sebenarnya, beruntunglah orang yang telah diuji oleh Allah S.W.T. Sebab ia merupakan Sunnah orang berjuang !!! Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : Kami beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta." (QS. Al-Ankabut: 2-3)
Rasulullah S.A.W menyifat kan bahawa ujian yang diberikan kepada hamba Allah, adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Bahkan, semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia, menandakan semakin besar juga pahala yang diperolehi nya. Ini bersesuaian dengan Hadis dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah S.A.W bersabda :
إن عظم الجزاء مع عظم البلاء ، وإن الله تعالى إذا أحب قوما ابتلاهم ، فمن رضي فله الرضا ، ومن سخط فله السخط
"Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang Redha dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah." (HR : Al-Tirmidzi)
Kerana, ia berkaitan dengan Bab Sabar (الصبر) yang ditulis oleh Imam Al-Nawawi dalam Kitabnya Riyadh Al-Salihin. Di sini dapat dijelaskan bahawa, bagi orang-orang yang beriman dengan Allah adalah bersabar dengan segala dugaan serta mehnah yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Di dalam Al-Quran, ada disebutkan ujian-ujian yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya. Antaranya adalah :
1. Ketakutan, kelaparan, kekurangan harta kebun buah-buahan.
2. Anak-anak dan harta benda.
3. Jihad bagi orang yang beriman
4. Nikmat duniawi buat para manusia.
5. Kekayaan dan kemiskinan.
6. Kehidupan serta kematian.
Para Nabi juga diuji dan pastinya ujian yang dikenakan kepada mereka adalah lebih berat berbanding manusia biasa. Seperti :
1. Nabi Adam diuji dengan pohon yang terdapat dalam Syurga Allah.
2. Nabi Ibrahim adalah antara Rasul Allah yang menerima banyak ujian, antaranya penyembelihan anaknya, Ismail.
3. Nabi Yusuf diuji dengan Zulaikha.
4. Nabi Musa diuji dengan Fira’un yang angkuh.
5. Nabi Sulaiman diuji dengan kerajaan yang besar dan mewah.
6. Nabi Muhammad S.A.W juga Rasul yang mendapat ujian yang banyak, antaranya diuji dengan Abu Talib iaitu bapa saudaranya.
KESIMPULAN :
Jangan dukacita jika diuji Allah S.W.T, tetapi berdukacitalah sekiranya kita cuba nak uji Kekuasaan dan Balasan Allah melalui kemungkaran yang kita lakukan.
Wallahu A'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan