Isnin, 20 Januari 2020

𝙒𝙖𝙣𝙞𝙩𝙖 𝙃𝙚𝙗𝙖𝙩

𝙒𝙖𝙣𝙞𝙩𝙖 𝙃𝙚𝙗𝙖𝙩 

𝘜𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘸𝘢𝘯𝘪𝘵𝘢 𝘩𝘦𝘣𝘢𝘵......
𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 ﷻ 𝘣𝘦𝘳𝘪𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘬𝘪𝘵𝘢,
𝘶𝘫𝘪𝘢𝘯 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘣𝘦𝘳𝘵𝘶𝘣𝘪-𝘵𝘶𝘣𝘪......
𝘚𝘦𝘳𝘪𝘯𝘨𝘬𝘢𝘭𝘪 𝘮𝘦𝘳𝘢𝘴𝘢 𝘵𝘢𝘬 𝘬𝘶𝘢𝘵,
𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘭𝘢𝘯𝘪 𝘵𝘢𝘱𝘪 𝘪𝘯𝘪𝘭𝘢𝘩,
𝘛𝘢𝘬𝘥𝘪𝘳 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 ﷻ 𝘩𝘢𝘳𝘶𝘴 𝘥𝘪𝘭𝘢𝘭𝘶𝘪.......
𝘛𝘢𝘯𝘨𝘪𝘴 𝘢𝘪𝘳 𝘮𝘢𝘵𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘩𝘢𝘯𝘺𝘢,
𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘴𝘢𝘬𝘴𝘪 𝘱𝘦𝘳𝘫𝘢𝘭𝘢𝘯𝘢𝘯 𝘩𝘪𝘥𝘶𝘱 𝘪𝘯𝘪....

𝘛𝘦𝘳𝘪𝘯𝘨𝘢𝘵 𝘬𝘪𝘴𝘢𝘩 𝘱𝘢𝘳𝘢 𝘜𝘮𝘮𝘶𝘭 𝘔𝘶𝘬𝘮𝘪𝘯𝘪𝘯,
𝘚𝘢𝘺𝘺𝘪𝘥𝘢𝘩 𝘈𝘴𝘪𝘺𝘢𝘩 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘢𝘫𝘢𝘳𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘴𝘢𝘣𝘢𝘳𝘢𝘯...
𝘚𝘢𝘺𝘺𝘪𝘥𝘢𝘩 𝘒𝘩𝘢𝘥𝘪𝘫𝘢𝘩 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘢𝘫𝘢𝘳𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘴𝘦𝘵𝘪𝘢𝘢𝘯...
𝘚𝘢𝘺𝘺𝘪𝘥𝘢𝘩 𝘔𝘢𝘳𝘺𝘢𝘮 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘢𝘫𝘢𝘳𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘴𝘶𝘤𝘪𝘢𝘯...
𝘚𝘢𝘺𝘺𝘪𝘥𝘢𝘩 𝘈𝘪𝘴𝘺𝘢𝘩 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘢𝘫𝘢𝘳𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘵𝘶𝘭𝘶𝘴𝘢𝘯...
𝘚𝘢𝘺𝘺𝘪𝘥𝘢𝘩 𝘍𝘢𝘵𝘪𝘮𝘢𝘩 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘢𝘫𝘢𝘳𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘵𝘢𝘣𝘢𝘩𝘢𝘯...

𝘉𝘦𝘨𝘪𝘵𝘶𝘱𝘶𝘯 𝘢𝘬𝘶...
𝘚𝘦𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘸𝘢𝘯𝘪𝘵𝘢 𝘣𝘪𝘢𝘴𝘢.
𝘠𝘢𝘯𝘨 𝘪𝘯𝘨𝘪𝘯 𝘣𝘦𝘭𝘢𝘫𝘢𝘳 𝘮𝘦𝘯𝘶𝘫𝘶 𝘵𝘢𝘢𝘵.....
𝘠𝘢𝘯𝘨 𝘪𝘯𝘨𝘪𝘯 𝘮𝘦𝘳𝘢𝘪𝘩 𝘙𝘪𝘥𝘩𝘰 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 ﷻ 
𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘤𝘢𝘳𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘵𝘦𝘱𝘢𝘵.....
𝘠𝘢𝘯𝘨 𝘪𝘯𝘨𝘪𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘪𝘳𝘶 𝘫𝘦𝘫𝘢𝘬 𝘱𝘢𝘳𝘢,
𝘜𝘮𝘮𝘶𝘭 𝘔𝘶𝘬𝘮𝘪𝘯𝘪𝘯 
𝘈𝘬𝘶 𝘱𝘦𝘳𝘤𝘢𝘺𝘢 𝘵𝘪𝘢𝘥𝘢,
𝘱𝘦𝘳𝘫𝘶𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘩𝘪𝘥𝘶𝘱 𝘴𝘪𝘢-𝘴𝘪𝘢.......
𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 ﷻ 𝘣𝘦𝘳𝘪𝘬𝘢𝘯 𝘶𝘫𝘪𝘢𝘯,
𝘴𝘦𝘴𝘶𝘢𝘪 𝘬𝘦𝘮𝘢𝘮𝘱𝘶𝘢𝘯 𝘩𝘢𝘮𝘣𝘢𝘕𝘺𝘢.....
𝘋𝘢𝘯 𝘣𝘦𝘳𝘩𝘢𝘥𝘪𝘢𝘩𝘬𝘢𝘯 𝘚𝘶𝘳𝘨𝘢....

𝘈𝘱𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘤𝘢𝘳𝘪 𝘥𝘪 𝘥𝘶𝘯𝘪𝘢 𝘪𝘯𝘪,
𝘸𝘢𝘩𝘢𝘪 𝘮𝘶𝘴𝘭𝘪𝘮𝘢𝘩?........
𝘒𝘦𝘤𝘢𝘯𝘵𝘪𝘬𝘢𝘯?.....
𝘒𝘦𝘵𝘦𝘯𝘢𝘳𝘢𝘯?.....
𝘒𝘦𝘬𝘢𝘺𝘢𝘢𝘯?......
𝘗𝘰𝘱𝘶𝘭𝘢𝘳𝘪𝘵𝘢𝘴?......

𝘐𝘯𝘨𝘢𝘵𝘭𝘢𝘩 𝘱𝘦𝘴𝘢𝘯𝘬𝘶.....
𝘑𝘪𝘬𝘢 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘮𝘦𝘯𝘤𝘢𝘳𝘪 𝘪𝘵𝘶 𝘴𝘦𝘮𝘶𝘢,
𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘩𝘢𝘭 𝘺𝘨 𝘴𝘪𝘢-𝘴𝘪𝘢..
𝘌𝘯𝘨𝘬𝘢𝘶 𝘸𝘢𝘯𝘪𝘵𝘢 𝘥𝘪𝘤𝘪𝘱𝘵𝘢𝘬𝘢𝘯,
𝘣𝘶𝘬𝘢𝘯 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘤𝘢𝘳𝘪 𝘥𝘶𝘯𝘪𝘢𝘸𝘪,
𝘵𝘢𝘱𝘪 𝘦𝘯𝘨𝘬𝘢𝘶 𝘥𝘪𝘤𝘪𝘱𝘵𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘦𝘮𝘢𝘯𝘪 𝘱𝘦𝘫𝘶𝘢𝘯𝘨 𝘴𝘦𝘫𝘢𝘵𝘪 (𝘴𝘶𝘢𝘮𝘪) 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘢𝘬𝘢𝘯,
𝘣𝘦𝘳𝘫𝘶𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪 𝘫𝘢𝘭𝘢𝘯 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 ﷻ 𝘥𝘪 𝘣𝘶𝘮𝘪 𝘪𝘯𝘪....

#𝘜𝘮𝘮𝘶𝘭_𝘔𝘶𝘬𝘮𝘪𝘯𝘪𝘯 

Jin ular

Rasulullah SAW menggolongkan Jin itu ada tiga. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abi Tsa’labah al-Khusyaniy R.A, Rasulullah SAW bersabda: .

Maksudnya: Jin terdiri daripada tiga golongan. Satu golongan mempunyai sayap dan terbang di udara, satu golongan berbentuk ular dan anjing, manakala satu golongan lagi mendiami sesuatu tempat dan berpindah-randah seperti Arab Badwi.

Riwayat Al Hakim dalam Al Mustadrak & Al Tabrani

Jin jenis ular ini sangat suka masuk rumah manusia. Anehnya, jin berbentuk ular tidak masuk melalui pintu tapi tiba-tiba muncul di dalam rumah.

Jin berbentuk ular tidak melingkar seperti ular ketika saat diam. Tetapi ia selalu memanjangkan tubuhnya. Ia juga tidak mengerdipkan matanya. Kadang-kadang jin berbentuk ular ditemukan sedang bersembunyi di dalam almari dan sebagainya.

Rasulullah SAW bersabda jika nampak ular jangan lantas cepat-cepat dibunuh. Sebaiknya ucapkan salam terlebih dahulu seperti, "salamun ala nuhin fil alamin, salamun ala sulaiman fil alamin". Hal ini dijelaskan dalam Sahih Muslim.

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW mengecualikan jenis ular tertentu. "Dari Abu Lubabah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Janganlah kalian (langsung) membunuh ular (di dalam rumah), kecuali setiap ular yang terpotong (pendek) ekornya dan memiliki dua garis di bawah badannya, kerana ular jenis ini dapat menggugurkan kandungan dan membutakan mata. Maka bunuhlah ia."

Biasanya, jika ia adalah jin, maka akan hilang seketika. Jadi, pastikan dulu apakah itu ular sebenar atau jadi-jadian.

Kalau kita membunuh ular jadi-jadian, maka ia boleh mendatangkan masalah. Seperti kita tahu, jin adalah makhluk yang punya sifat mendendam. .
Wallahualam.

Isnin, 16 September 2019

Sabar Dimanakah kita?

"Setiap manusia pastinya tidak dapat untuk mengelak daripada menempuhi pelbagai ranjau dan onak duri dalam kehidupan seharian. Cabaran yang dihadapi adakalanya dapat meningkatkan motivasi diri tetapi adakalanya juga mampu membawa manusia ke lembah kehancuran. Inilah tujuan ujian dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi selaku makluk istimewa yang diciptakan Allah, juga sebagai khalifah di bumi. Ironinya, kehidupan ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Sesungguhnya, seseorang itu tidak layak digolongkan ke dalam golongan manusia sekiranya ia tidak langsung diuji oleh Tuhannya.

Pelbagai persoalan merempuh benak hati kita berkaitan keperitan musibah yang dihadapi. Hakikatnya, cabran dan dugaan ini tidak lebih sekadar untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran dalam diri manusia itu sendiri. Sabar tidak boleh ditakrifkan sekadar pada perlakuan sebaliknya perlu difahami secara terperinci mengikut metodologi pemerhatian dan pengkajian tentang pengertian sabar kepada hati nurani manusia. Sesungguhnya, Sabar itu memerlukan ilmu pengetahuan untuk kita memahami keperluannya terutama untuk kita aplikasikan dalam konteks diri kita sendiri, keluarga, dan masyarakat. Imam Al-Ghazali dalam kitab karangannya Ihya 'Ulumuddin menjelaskan maksud sabar iaitu menanggung segala kesukaran fizikal. Sabar juga membawa maksud menahan segala kehendak nafsu syahwat yang ada dalam diri seseorang yang sering menyuruh kita melakukan kemaksiatan kepada Allah. Sesungguhnya sifat sabar itu memerlukan penghayatan secara berterusan, bukan boleh diaplikasi kepada cara perlaksanaan semata-mata.

Sabar itu banyak jenisnya dan yang berada dalam konsep yang berlaku pada dirinya sekarang adalah konsep sabar dalam menghadapi musibah. Rasulullah s.a.w sendiri pernah ditimpa musibah ketika mana kematian puteranya Ibrahim, sehingga mengalir titisan air mata baginda kerana terlalu sedih. Pun begitu, baginda sendiri berkata: "Itulah tandanya rahmat ke atas hamba-hambaNya yang bersifat belas kasihan..

Hakikatnya, kecelakaan dan musibah serta malapetaka yang berlaku ke atas diri kita adalah bertujuan untuk menguji kesabaran manusia. Seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam seharusnya bertenang walaupun gelojak jiwanya mengarah ke arah mengikut hawa nafsu seperti mana yang berlaku ke atas orang arab jahiliyah yang mengoyak-ngoyak baju, menampar pipi, tidak makan dan sebagainya akibat terlalu sedih. Jelas perbuatan tersebut lebih menjurus ke arah emosi semata-mata sedangkan sesuatu yang sudah berlaku itu tidak mungkin kembali kepada keadaan yang asalnya.

Kita harus menyedari bahawa segala musibah yang berlaku itu adalah ujian dari Allah, seterusnya yakin dan redha akan ketentuan qadha dan qadar Allah. Firman Allah:
mereka itulah yang diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka bersabar - al-Qasas:54

Firman Allah lagi: Hanya orang yang sabar akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan - Az-zumar:10

Sebagai mukmin, kita tidak harus cepat putus asa, atau lemah semangat tetapi sentiasa mengharapkan rahmat dan redha Allah. Rasulullah pernah bersabda bahawa sesungguhnya setiap musibah yang berlaku itu tidaklah dijadikan oleh Allah secara sia-sia melainkan untuk menebus dengannya akan dosa-dosanya yang lalu. Saidina Ali ada bermadah: Jika engkau sabar, takdir itu akan berlaku juga pada dirimu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Akan tetapi, jika engkau tidak sabar sekalipun, takdir tetap berlaku juga cuma pada kali ini engkau berdosa.

Sesungguhnya di sebalik kesusahan ada rahmatNya. Sikap cepat melatah boleh memudaratkan diri kita sendiri kerana kita akan lebih mengutamakan emosi berbanding pemikiran yang waras. Tambahan pula, sikap seorang mukmin ialah mengutamakan metod ilmiah atau mudahnya memikirkan secara terperinci akan sesuatu hal sebelum tindakan diambil. Kita mesti bertindak atas dasar pemikiran yang waras. Kerana tindakan melulu tanpa berlandaskan akal fikiran, bisa mengundang bahaya dan kesusahan kepada diri kita sendiri.

Khamis, 12 September 2019

Belajar Berfikir



“Learning without thinking is useless. Thinking without learning is dangerous.” - Confucius

Benar sekali kata-kata Confucius itu.

Bahawa belajar tanpa berfikir adalah sia-sia, berfikir tanpa belajar adalah merbahaya!
Dua dimensi yang sama buruk ini harus kita renungkan bersama. Mungkin ia menjawab beberapa teka teki yang menghantui fikiran saya, tatkala hampir saban hari menerima soalan-soalan dari pembaca yang menunjukkan bahawa pembelajarannya tiada disertai dengan proses berfikir!

Amat lurus bendul fikirannya menadah maklumat hingga tahunya yang banyak itu, tidak berhasil membantu diri menjawab soalan kehidupan, di luar kertas peperiksaan.

Belajar tanpa berfikir adalah suatu kesia-siaan. Justeru tiada faedah pelajar lulus peperiksaan tetapi tidak menyertai latihan berfikir di sepanjang pembelajaran itu. Beliau lulus dengan hafalan, bukan dengan kefahaman. Tanda kelulusan dengan hafalan dan bukan kefahaman, ialah apabila hafalannya tidak dapat menguruskan realiti. Tafsirannya di awangan, terjemahannya berterbangan. Ideanya sangat tekstual, hingga teks berpisah dari konteks.

“Agama tidak tertegak dengan logik akal”, tegasnya.
“Agama juga tidak tertegak dengan membunuh akal”, itu jawabnya.
Lalu agama dibentangkan secara yang sungguh tidak masuk akal, demi memenangkan teks yang tidak diprosesnya melalui disiplin fikir.

Muktazilah yang meletakkan akal mengatasi naqal (nas periwayatan), telah diuruskan nasib mereka oleh sejarah. Tetapi membuang Muktazilah, tidak harus sampai membuang akal. Proses berfikir harus diteruskan, kerana tanpa berfikir, taqlid jadi parah, perjuangan membunuh taqlid juga menghasilkan taqlid yang kedua.

Terimalah teguran-teguran Allah, kepada manusia yang enggan berfikir. Hakikatnya kemalasan berfikir adalah suatu dosa.

BERFIKIR TANPA BELAJAR

Berfikir menggerakkan diri mencari kebenaran, mengenal pasti kebaikan. Justeru berfikir mesti segera bertemu bekal, agar jangan sudahnya bebal.
Banyak sungguh soalan yang mahu ditanya. Tetapi sedikit sekali usaha untuk menjawabnya.
Bersoal jawab adalah proses belajar yang penting. Tetapi tasawwur sukar dibina hanya dengan soal jawab. Bertanya kepada google.com  atau Ustaz Haji Google.Com, kedua-duanya akan membekalkan kita dengan jawapan, tetapi tidak membantu membina gambaran.
Kita menyoal dan bertanya…

“Kenapa Islam menegah homoseksualiti? Sedangkan 1/10 penguin adalah gay!”, tanya satu soalan.
“Kenapa Allah berkata bahawa bumi dicipta selama enam hari sedangkan Sains membuktikan sebaliknya?”, tanya soalan kedua.

Soalan ini boleh berterusan dan tidak berkesudahan. Tetapi memperolehi jawapan secara pasang siap, tanpa diketahui proses untuk menghasilkan jawapan itu, akan menyebabkan soalan yang dijawab bersambung dengan soalan yang seterusnya. Dan selepas siri soalan itu terjawab, banyak soalan sudah selesai tetapi lebih banyak lagi soalan lain yang datang.
Ia adalah kepingan-kepingan puzzle yang tidak bercantum.

Justeru orang yang banyak bertanya, kerana banyak berfikir, harus banyak belajar. Belajar dalam erti kata bukan setakat bergantung kepada jawapan hasil soalan, tetapi harus belajar mengenal proses menghasilkan jawapan itu.

Misalnya, sebutan 6 hari, adalah sebutan yang bergantung kepada terjemahan al-Quran. Sedangkan di dalam bahasa asal al-Quran, sebutannya ialah sittah ayyaam. Perkataan ayyaam di dalam Bahasa Arab, tidak terikat hanya kepada apa yang diterjemahkan sebagai HARI iaitu himpunan satu unit masa yang terbentuk dari 24 jam. Kalimah ayyaam boleh diertikan sebagai peringkat atau marhalah… justeru keterangan al-Quran tentang cara Allah mencipta bumi, tidak harus difahami dengan hanya bergantung kepada terjemahan, sebaliknya harus kembali kepada Bahasa Arab.
Adakah sittah ayyam itu enam hari, enam marhalah (stages) atau enam apa?
Sudikah anda belajar Bahasa Arab?

Kata Confucius, “berfikir tanpa belajar itu merbahaya”. Merbahayanya ia adalah pada terjun ke laut tanpa pelampung, berenang di lautan tanpa diketahui pantainya. Selepas segala maklumat diperolehi dari capaian internet di hujung jari, apa yang terus menjadi beban ke atas golongan ini, adalah kegagalannya melihat rupa bentuk agama.
Mana hujung, mana pangkalnya.
Mana pintu, mana tingkapnya.

Menyoal pelbagai isu tentang al-Quran tetapi tiada kesudian untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan asas untuk berinteraksi dengan al-Quran. Bahasa Arabnya, asbab al-nuzul, ghara’ib lafaznya, nasakh mansukhnya, sudikah manusia yang banyak berfikir ini belajar?
Atau banyak berfikir dan banyak bertanya, tetapi apa yang diinginkan hanya keputusan akhir semata. Boleh atau tidak, halal atau haram… tetapi enggan berusaha memahami prosesnya.

Pelajar bukan pemikir sia-sia.
Pemikir bukan pelajar  merbahaya.



Selasa, 10 September 2019

MARI MENGENAL ANTIBODI

#vaksinlahbeb

Antibodi adalah salah satu cara tubuh mengenal dan melawan jangkitan. Antibodi atau immunoglobulin dirembes oleh sem-sel B.

Antibodi boleh jadi molekul yang bebas dirembes keluar dari sel kedalam plasma darah, atau melekat pada permukaan sel B sebagai reseptor sel B (BCR).

Fungsi antibodi adalah untuk mengenal patogen atau antigen asing. Antibodi akan melekat pada antigen tersebut dan mengaruh aktiviti mengenyahkan antigen tersebut dari tubuh. Sama ada mengaruh pematian antigen itu sendiri atau mengaruh sel imun melakukan fagositosis.

BAGAIMANA ANTIBODI MENGENAL ANTIGEN?

Antibodi adalah molekul glikoprotein berbentuk Y. Dihujung dua tangan (arm) yang membentuk Y tersebut terdapat bahagian ‘paratope’ yang unik.

Kenapa ia unik?

Paratop tersebut adalah ‘memori’ yang mengenal antigen pada bakteria atau virus. Unik terhadap bakteria atau virus tersebut.

Macam mesin pengenalan cap cari yang telah tersimpan data kita. Kita sua saja jari kita, sekaligus ia akan mengenal identiti dan mengakses data kita.

Seperti cap jari kita, paratop tersebut adalah unik dan identikal dengan bahagian unik bakteria atau virus (digelar epitop).

JADI BAGAIMANA PULA TUBUH KITA BOLEH MEMPUNYAI PELBAGAI DATABASE BAKTERIA, VIRUS DAN PATOGEN LAIN?

Pengenalan unik tersebut diperoleh apabila sel imun kita ‘bertemu’ dengan patogen. Bagi patogen unik, ia tersimpan dalam sel T dan sel B memori yang merembes antibodi.

Apabila sel-sel imun kita bertemu, mengenal dan membina pertahanan terhadap patogen, barulah maklumat tersebut tersimpan dalam sel-sel imun memori kita. Sel-sel tersebut berfungsi sebagai database virus bakteria tubuh kita lah.

Kalau tak pernah jumpa? Mungkin kawan atau lawan tak akan dapat dikenal. Hanya apabila dijangkiti barulah kita mengenal patogen tersebut.

FUNGSI VAKSIN

Fungsi vaksin adalah bagi mengenalkan tubuh kita terhadap bakteria atau virus khusus dalam vaksin tersebut.

Kalau vaksin terhadap polio, kita mengenalkan tubuh kita dengan virus polio. Kalau vaksin measles, kita kenalkan sel imun tubuh kita dengan virus measles. Kalau vaksin meningococcal, kita kenalkan tubuh kita dengan bakteria Meningococcal meningitidis melalui epitop polisakaridanya.

Lain vaksin, lain mekanisma pengenalan epitopnya terhadap tubuh. Namun, setiap vaksin unik untuk membina imuniti terhadap bakteria atau virus khusus.

Macam kita beli antivirus komputer, mesti ada database pengenalan terhadap virus kan? Kalau virus baru yang tidak dikenal... mahal macam mana pun antivirus korup lah juga komputer 🙈

Tak bahayakah kenalkan tubuh dengan patogen bahaya, virus? Bakteria?

Fungsi vaksin adalah untuk

(1) mengaruh tubuh mengenal patogen khusus dan membina imuniti terhadapnya dengan memberi pengenalan terhadap epitop unik bakteria atau virus tersebut.

(2) Aruhan imun tersebut tidak akan mendatangkan jangkitan. Kerana sediaan vaksin menggunakan hanya sebahagian bakteria (seperti vaksin meningococcal hanya polisakarida kapsul luar bakteria sahaja), atau mengunakan patogen mati (polio) atau dilemahkan (MMR).

PENGAMBILAN VITAMIN MENINGKATKAN PARAS ANTIBODI?

Ya benar. Pengambilan sesetengah vitamin meningkatkan paras antibodi. Tetapi yang paling utama sekarang, jika antibodi tersebut tidak mempunyai paratop pengenalan terhadap bakteria dan virus khusus... ia tidak bermakna juga.

Sebab? Maklumat virus dan bakteria khusus tersebut tidak ada dalam ‘database’ tubuh kita. Yang ada cuma antibodi yang mengenal patogen umum. Jadi yang meningkat tinggi dengan pengambilan vitamin adalah antibodi terhadap patogen umum.

Bagaimana mahu melawan ketenteraan US sedangkan maklumat kita hanya pada ketenteraan negara Gabon?

Togoklah, telanlah megadose vitamin. Tubuh kita perlu mengenal patogen baru dapat melawan dan membina pertahanan terhadap patogen tersebut.

Haaa... dah kenal konsep antibodi kan?
Nanti slow slowww kita bincang pasal IgA, IgG, IgM, IgE pula ya. Semua adalah jenis2 antibodi imunoglobulin. Mesti ada paratop pengenalan juga. Cuma beza asal, lokaliti dan fungsinya.

RUJUKAN

Janeway C (2001). Immunobiology (5th ed.). Garland Publishing.

Wahl A, van den Akker E, Klaric L, Štambuk J, Benedetti E, Plomp R, Razdorov G, Trbojević-Akmačić I, Deelen J, Van Heemst D, Slagboom PE. Genome-wide association study on immunoglobulin G glycosylation patterns. Frontiers in immunology. 2018 Feb 26;9:277.

Isnin, 15 Julai 2019

INOVASI KEUSAHAWAN ISRAEL

INOVASI KEUSAHAWAN ISRAEL
.
1. Kuasa sebenar bukan pada jerit laung. Ia pada kuasa ekonomi. Ia akan serlahkan genius potensi diri sebenarnya. Inovasi keusahawanan.
.
2. Dunia telah berubah. Pada tahun 2006, antara 10 syarikat terbesar, 5 darinya syarikat berasaskan tenaga dan minyak. Hanya satu syrikat berasasakan teknologi maklumat iaitu Microsoft.
.
3. Sepuluh tahun kemudian, 2016, lima (5) syarikat IT dalam senarai dan hanya satu syarikat tenaga dan minyak yang tinggal. Tiga yang teratas adalah Apple, Alphabet (Google) dan Microsoft.
.
5. Kuncinya inovasi. Apple, Microsoft, Google, Amazon, Facebook - semuanya ada pusat penyelidikan di Israel. Big Data, Connectivity and Artificial Intelligence. Industri lama ditambah baik dengan industri baru.
.
6. Dulu pertanian. Sekarang Precision Agriculture. Mereka guna tiga (BD, C, AI) yang tersebut diatas dan dengan drone setiap baja akan sampai tepat pada tanaman yang ditarget. Bukan lagi menabur baja atau sekadar menyembur racun tapi dengan "precision agriculture" setiap tanaman dapat bahagian mereka secukupnya dan pada masanya (timing). Produktiviti  bertambah.
.
7. 90% dari air yang terbuang dikitar semula dengan bijak melalui teknologi di Israel. Inovasi mereka mengubah dunia. Di sebilangan negara Afrika,  rakyat terpaksa berjalan 8 KM untuk dapatkan air. Dengan teknologi Israel, air diperolehi mudah depan rumah.
.
8. Di India, 65% dari rakyat mereka petani. Teknologi Israel meningkatkan penghasilan 5 kali ganda. Mereka kuasai macam macam termasuk sebagai world leader dalam cyber security.
.
9. Penduduk Israel hanya 9 juta orang . 1% penduduk dunia adalah 90 juta. Ini bermakna ia hanya 1/10 dari 1%. Sedikit. Dan ... dan mereka dapat 20% dari pelaburan dalam cyber security. Mereka "mengangkat 200 kali lebih dari kekuatan diri".
.
10. Netanyahu kata, dulu Israel dipencilkan. Sekarang mereka ada hubungan diplomatik dengan 160 buah negara. Mereka sedang "birukan" dunia. Mana mana negara yang tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel lah yang akan terpencil nanti.
.
11. Memdalami ini - apakah kita mahu sekadar menjerit dan melaung. Berpecah dan bergocoh sesama kita? Di manakah kita 10 tahun akan datang. Di manakah kita duhai bangsa ku?
.
12. Kita selalu rasa hebat berkompang, pukul "gendang tali kecapi". Hakikatnya kita bangsa yang "pukul orang tak pernah mati".

Jumaat, 5 April 2019

Fanatik menutup fikiran

FANATIK MENUTUP FIKIRAN

1. Sama ada dahulu atau sekarang, seseorang tidak akan dapat menjadi insan yang adil terhadap sesuatu hakikat dan maju ke hadapan jika dia bersifat jumud dan menutup pemikirannya dari mendengar dalil dan fakta disebabkan sesuatu sentimen. Sikap yang seperti itu dinamakan dengan fanatik atau taksub. Mereka yang taksub kepada pendapat seseorang, enggan mendengar pendapat orang lain sekalipun pihak yang lain itu telah memberikan hujah dan dalil yang kukuh. Sesuatu pendapat itu sepatutnya diterima bukan atas nama individu tetapi atas alasan atau fakta yang diberikan.

2. Fanatik ini telah berlaku di kalangan sesetengah umat Islam sejak dahulu. Ia sehingga membawa kepada permusuhan sesama Islam dek perbezaan pendapat dalam hukum syarak. Sehingga dalam era ketaksuban dahulu, di Masjidil Haram, Mekah umat Islam bersolat dengan empat imam dan setiap imam mewakili mazhab masing-masing. Setiap makmum akan memilih imam yang sesuai dengan mazhabnya. Seakan-akan solat di belakang imam lain tidak sah. Hal ini berterusan, sehinggalah gerakan pembaharuan pemikiran agama berjaya menghapuskan kekarutan tersebut. Bayangkanlah jika hal tersebut berterusan sehingga hari, di kala umat Islam begitu lemah dan berpecah.

3. Selepas Rasulullah s.a.w wafat, baginda meninggalkan ramai para sahabah yang merupakan ilmuwan besar bagi umat ini. Namun, tiada seorang di kalangan para sahabah yang agung itu menyatakan sesiapa yang mengambil pendapat saya maka dia tidak boleh mengambil pendapat orang lain. Perkara yang seperti itu tidak pernah dilakukan oleh khalifah yang empat Abu Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali. Tidak juga ‘Abd Allah bin Masud, ‘Abd Allah bin ‘Umar, atau ‘Abd Allah bin ‘Abbas atau selain mereka. Padahal mereka jauh lebih memahami syariat RasululLah s.a.w dibandingkan orang selapas mereka.

4. Malangnya, apabila zaman imam-imam mazhab yang utama seperti al-Imam Abu Hanifah (80H-150H), al-Imam Malik bin Anas (93H-179H), al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (164H-241H) dan lain-lain tokoh lagi, tiba-tiba ada dalam kalangan pengikut mereka yang taksub lalu mendakwa bahawa sesiapa yang mengambil pendapat dari salah seorang imam ini tidak boleh lagi mengambil pendapat dari imam yang lain. Ini seperti pengikut fanatik Mazhab Hanafi yang membantah orang Pakistan mengambil pendapat  selain dari Mazhab Hanafi. Atau pengikut fanatik Mazhab Malik yang menghalang membantah orang Morocco mengambil pendapat selain dari Mazhab Malik. Atau pengikut fanatik Mazhab al-Syafi’i yang membantah orang Malaysia mengambil selain dari Mazhab al-Syafi’i. Atau fanatik Mazhab Hanbali di Saudi yang membantah selain dari pendapat dalam Mazhab Hanbali.

5.  Kontradiknya, dalam masa yang sama mereka mengakui bahawa imam-imam tersebut kesemuanya adalah tokoh-tokoh sarjana Ahli Sunnah, tetapi menolak keilmuan mereka hanya kerana faktor daerah atau negara. Pada hal, para imam itu sendiri tidak pernah mengajar demikian dan kebanyakan negara-negara yang wujud ini belum pun terbentuk pada zaman mereka apatah lagi pada Rasul s.a.w.

6. Tokoh ulama dan fekah yang terkenal, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan berkata: “Pendapat mazhab-mazhab yang muktabar diterima oleh pengikut mereka di atas andaian benar dan menyampaikan seseorang kepada hukum Allah. Hendaklah difahami bahawa andaian benar ini dikongsi oleh semua mazhab islamiah yang muktabar, bukan hanya terkumpul pada satu mazhab. Maka tidak harus untuk pengikut salah satu mazhab ini menganggap bahawa telah terhimpun dalam mazhabnya kebenaran dalam setiap pandangan. Lalu menganggap salah sesiapa yang menyanggahi mazhabnya. Ini perkara yang tidak pernah diucapkan oleh mana-mana mazhab, tidak pernah mereka menyandarkan hal seperti ini kepada diri mereka dan tidak pernah menganggap kebenaran hanya terkumpul dalam ijtihad mereka. Bagaimana mungkin pengikut mereka pula mendakwa perkara yang seperti ini?!! (Dr Abd al-Karim Zaidan, Al-Sunan al-Ilahiyyah,  m.s. 147, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Feature Post

Perjalanan tentang jarak

Aku pernah menyangka bahawa perjalanan paling jauh adalah tentang jarak. Tentang kota‑kota yang belum sempat aku kunjungi. Tenta...

Popular Post