Khamis, 28 Julai 2011

Ramadhan


Ramadan adalah simbol perjuangan membebaskan diri seorang Muslim daripada belenggu penjajahan musuh ketatnya iaitu syaitan yang dilaknati Allah SWT.

Kejayaan seorang muslim boleh dilihat daripada cara dia mengendalikan perjuangan berpuasanya sama ada secara optimum mahupun minimum. Seperti solat Jumaat untuk mingguan dan solat lima waktu untuk harian.
Rasulullah bersabda maksudnya:

"Solat lima waktu, dan solat Jumaat ke solat Jumaat berikutnya, dan Ramadan ke Ramadan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

Banyak batasan agama yang wajib dipatuhi setiap orang berpuasa supaya puasanya bermanfaat bagi dirinya di dunia dan di akhirat. Antara batasannya seperti disabdakan Baginda maksudnya:

"Barang siapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya." (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis lain maksudnya:

"Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri daripada percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji." (Hadis riwayat Muslim)

Di samping memelihara kewajipan lahiriah seperti tidak makan dan minum, orang yang berpuasa juga mesti memelihara kewajipan batiniah supaya puasanya sempurna.
Imam al-Ghazali (w. 505H) menggariskan kewajipan batiniah puasa itu antaranya:

Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara tercela dan dibenci agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT.

Memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak.

Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan.

Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa.

Menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).

Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas paling dibenci Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan halal.

Dan hendaklah hati berasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima Allah SWT, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT.

Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT.

wallahhu alam

Tiada ulasan:

Feature Post

al Rahman

Harini saya belajar sesuatu yang betul-betul buat saya diam dan termenung... Daripada Ustaz Nouman Ali Khan tentang hubungan ant...

Popular Post