Isnin, 23 Mei 2016

Minda kelas pertama

Saya memetik kata-kata mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi “Masyarakat berminda kelas pertama adalah masyarakat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral. Mereka juga tahu menghayati dan menghargai budaya, kesenian dan warisan serta sejarah negara, bangsa dan agamanya. Identiti nasionalnya kekal terserlah melalui pembinaan jati diri yang kukuh dan tidak mudah dihanyutkan oleh arus globalisasi. Prinsip-prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan kesetiaan kepada Raja dan Negara senantiasa dijunjung.


Apabila kita menyebut meningkatkan ilmu pengetahuan, sudah tentu perkara yang paling penting adalah dengan mengamalkan pembacaan, penulisan dan berdiskusi. Ketiga-tiga perkara inilah yang akan merangsang minda kita untuk berfikir.


Saya ingin meminjam kata-kata penulis dan ahli falsafah British, Francis Bacon ( 1561-1626), "Membaca menjadikan seseorang itu lengkap dengan ilmu, berdiskusi menjadikan seseorang itu bersedia, dan menulis menjadikan seseorang itu tepat".

Membaca membolehkan kita mengetahui pendapat dan pengalaman orang lain yang boleh dimanfaatkan dalam menjana idea, membentuk pendapat kita sendiri selain daripada manambah ilmu. Rajin berbincang dan bertukar pendapat pula melatih kita bersedia mengutarakan idea, berkongsi pengetahuan dan pengalaman, secara berhadapan dan interaktif. Manakala, menulis pula melatih kita mencapai ketepatan dalam menyampaikan pendapat dan idea dengan menggunakan perkataan dan ayat yang paling sesuai.

Selain daripada itu, kita perlu mempunyai pemikiran yang kritikal, konstruktif dan kreatif. kritikal bermaksud kita harus mencari ruang penambahbaikkan. Bagaimana baik sekali pun apa yang dilakukan, kita tidak boleh mudah berpuas hati. 

Untuk membentuk minda kritikal, kita mesti banyak bertanya iaitu bertanya diri sendiri dan orang lain. Soalan yang betul akan memberikan jawapan yang betul. Kita mesti bertanya ‘mengapa’ kita melakukan sesuatu bagi mengetahui adakah ‘apa’ yang dilakukan itu betul. Orang yang berfikiran kritikal tidak menerima sesuatu secara sewenang-wenangnya tanpa bertanya. 

Rudyard Kipling, seorang penyajak Inggeris pernah mengarang sajak berkenaan faedah bertanya.

“I keep six honest serving-men

They taught me all I knew

Their names are What and Why and When

And How and Where and Who”.

Teknik bertanya soalan-soalan yang bijak dan pandai ini akan menghasilkan idea-idea yang baru.

Kritikal saja tidak mencukupi. Sewajarnya kritikal itu disertai dengan konstruktif. Kita harus berpegang dengan falsafah bahawa ‘mencari jalan membetulkan sesuatu kesalahan itu lebih penting daripada mencari siapa yang membuat kesalahan’. Kita tidak perlu menjadi hebat dengan merendah-rendahkan orang lain. Biarlah kita menjadi hebat kerana kita bukan saja mampu kritikal tetapi juga konstruktif. 

Untuk konstruktif, kita perlu kreatif. Kita mesti kreatif dalam memberi idea membina, kreatif dalam menyelesaikan masalah dan juga kreatif dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Kreatif menuntut kita berfikir di luar kotak pemikiran biasa. Kita tidak harus terperangkap dalam pemikiran dan kaedah lama bagi menyelesaikan masalah baru. 

Seseorang boleh menjadi kreatif sekiranya kita menyediakan suasana kondusif untuk itu. Antara yang boleh dilakukan ialah memberikan ruang untuk perbezaan pendapat. Sekiranya seseorang dihukum setiap kali idea barunya gagal, dia tidak akan menjadi kreatif. Dalam sesebuah masyarakat kreatif, hasil adalah penting. Namun, yang lebih penting ialah kesediaan seseorang mencuba idea baru.

Tiada ulasan:

Feature Post

al Rahman

Harini saya belajar sesuatu yang betul-betul buat saya diam dan termenung... Daripada Ustaz Nouman Ali Khan tentang hubungan ant...

Popular Post