Dalam kesempatan yang singkat ini, saya mengambil beberapa kisah yang sering diceritakan dan disebarkan ketika Israk dan Mikraj. Tetapi sandarannya sangat lemah, atau tiada sandaran langsung.
Saya jadikan kisah-kisah yang didapati dari sebaran internet sebagai panduan.
1. Jibril Tidak boleh Menemani Rasulullah
“… Akhirnya Rasulullah Saw sampai di satu tempat yang tidak pernah seorang pun manusia sampai ke situ walaupun dia seorang Rasul dan Nabi. Kemudian Rasululah Saw melalui kawasan yang Malaikat pun tidak pernah sampai kesitu kecuali Jibril. Sampai d satu tempat Jibril meminta Rasulullah Saw bergerak ke hadapan dan dia berkata: "Kalau aku ke hadapan walaupun selangkah, aku akan terbakar”
Apabila dikaji, kisah ini terdapat dalam rekod Ibnu Hibban dalam kitab beliau “Al-Majruhin – pengkelasan orang yang ditolak dalam periwayatan.” (11/3).
Dalam hadis tersebut dinyatakan sanad hadis di atas: - Disampaikan kepadaku oleh Muhammad bin Badwisat an-Nasawi bahawa Humaid bin Zinjawaih meriwayatkan daripada Muhammad bin Abi Khidasy al-Musily, daripada Ali bin Qutaibah daripada Maisarah bin Abdur Rabbihi, daripada Umar bin Sulaiman ad-Dimasyqi, daripada Adh-Dhahaq, daripada Ibnu Abbas berkata…
Imam Ibnu Hibban berkata : Kecacatan hadis ini adalah Maisarah bin Abdur Rabbihi al-Farisi adalah salah seorang dari penduduk Dauraq. Dia sering menyampaikan hadis yang palsu yang disandar kepada orang yang kukuh periwayatannya. Dia memalsukan hadis lalu disandarkan kepada orang yang dipercayai bagi menggalakkan orang untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Tidak halal menulis hadis daripada melainkan untuk mengambil iktibar akan perbuatannya..
Imam al-Bukhari menyebutkan tentang Maisarah bin Abdur Rabbihi dalam kitabnya A
d-Dhu`afa as-Shoghir : Maisarah dihujani dengan label penipu.
Imam an-Nasaie pula berkata dalam bukunya Ad-Dhu`afa’ al-Matrukin: Maisarah bin Abdur Rabbihi adalah seorang yang ditinggalkan penyampaian hadisnya.
Justeru itu, kisah ini tertolak kerana wujud pemalsuan. Pemalsu kisah ini juga dengan sengaja memalsukan hadis dengan tujuan baik. Bahkan itulah kebiasaan manusia yang baik tapi tiada ilmu, maka mereka menghalalkan sesuatu yang diharamkan Allah untuk mencapai kebaikan yang lain.
Kisah-kisah yang dibawah ini juga berada di dalam hadis yang sama, cumanya saya pecahkan kerana mahu memecahkan kepada perbahasan yang boleh memberi manfaat. insyaAllah.
2. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada bulan 27 Rejab.
Tarikh kalender Hijrah tidak pernah ada pada zaman Nabi saw. Ia dicipta selepas Nabi saw wafat. Bahkan, orang Arab dahulu sangat suka bermain-main dengan tarikh. Seandainya tarikh 27 Rejab itu adalah tarikh mulia bagi umat Islam, nescaya para sahabat telah mengingatinya. Apa yang penting dalam kisah Israk Mikraj ialah peristiwa yang berlaku, bukanlah waktu dan tarikhnya.
Justeru itu tidak ada satu ketetapan bahawa peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab. Para Ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktu berlakunya Israk dan Mikraj.
1. Dikatakan peristiwa ini berlaku semasa tahun Allah SWT mengurniakan kenabian kepada Nabi saw. Ini adalah pendapat Imam at-Tobari.
2. Dikatakan peristiwa ini berlaku selepas 5 tahun Nabi SAW diutuskan sebagai Rasul. Ini adalah pendapat yang dirajehkan oleh Imam an-Nawawi dan al-Qurtubi..
3. Dikatakan peristiwa ini berlaku semasa malam ke dua puluh tujuh daripada bulan Rejab, iaitu dalam tahun ke sepuluh kenabian.
4. Dikatakan berlaku pada 16 bulan sebelum tempoh berlakunya hijrah, iaitu dalam bulan Ramadan pada tahun ke dua belas kenabian.
5. Dikatakan berlaku pada setahun dua bulan sebelum tempoh berlakunya hijrah, iaitu dalam bulan Muharram pada tahun ke 13 kenabian.
6. Dikatakan juga berlaku pada setahun sebelum tempoh berlakunya hijrah, iaitu dalam bulan Rabi’ al-Awwal pada tahun ke sepuluh kenabian.
Tiga pendapat pertama di atas ditolak. Ini kerana, isteri Nabi SAW iaitu Saidatina Khadijah wafat dalam bulan Ramadan pada tahun ke sepuluh kenabian. Sedangkan para ulama hadis telah bersepakat bahawa ibadah solat difardukan selepas daripada kewafatan Saidatina Khadijah iaitu semasa peristiwa Israk dan Mikraj.
3. Melihat dunia dalam keadan wanita yang telah tua.
Cerita ini direkodkan dalam Tafsir at-Tobari (6/15), al-Baihaqi dalam Dalail, dan Ibnu Kathir dalam Tafsirnya (5/3). Lalu mereka berkata, ‘Dalam sebahagian lafaznya terdapat sesuatu yang tidak dapat diterima dan pelik.
Hadis ini dikategori sebagai lemah yang tiada penguat kerana penyampai cerita ini iaitu Abdul Rahman bin Hashim adalah seorang yang tidak dikenali biografinya dalam dunia hadis. Ia tidak boleh dibuat hujah.
4. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka.
Menurut cerita, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
Ibnu Kathir mengulas hadis ini dalam kitab Tafsirnya, “Hadis ini sebahagian lafaznya sangat ganjil dan pelik… seolah-olah ia adalah kumpulan hadis yang berbeza-beza atau berlaku ketika mimpi dan tidak berlaku ketika peristiwa Israk Mikraj.”
5. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka.
Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
Cerita ini tidak berlaku ketika peristiwa Mikraj, tetapi ia diperlihatkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad dalam mimpi baginda. Ia boleh dirujuk dalam Sahih al-Bukhari, no 7074.
Hadisnya berbunyi, “..semalam aku bermimpi ba
hawa telah datang kepadaku dua tetamu, mereka mengajakku keluar dan berkata kepadaku: “mari jalan”, lalu akupun pergi bersama keduanya, lalu kami mendatangi seorang yang lagi berbaring terlentang dan seorang lagi berdiri sambil memegang sebongkah batu, ia melemparkan batu tersebut ke kepalanya (orang yang berbaring terlentang tadi), batu tadi akhirnya memecahkan kepalanya…… Adapun orang yang memecahkan kepalanya dengan batu ialah orang yang mengambil al-Quran kemudian membuangnya lalu tidur dari mengerjakan solat yang wajib.”
6. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain.
Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
Cerita ini juga tidak berlaku ketika Mikraj, tetapi berlaku di dalam mimpi Nabi saw sepertimana yang direkod oleh al-Bukhari, no. 7074.
7. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.
Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
- Lihat penjelasan di bawah.
8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali.
Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
Ibnu Kathir mengulas hadis ke 7 dan 8 ini dalam kitab Tafsirnya, “Hadis ini sebahagian lafaznya sangat ganjil dan pelik… seolah-olah ia adalah kumpulan hadis yang berbeza-za atau berlaku ketika mimpi dan tidak berlaku ketika peristiwa Israk Mikraj.”
Kata Adz-Dzahabi, “Hadis ini munkar (palsu) yang menyerupai cerita-cerita dari panglipulara. Ia diberitahu untuk disampaikan cerita (yang menarik), bukan untuk dijadikan hujah.”
9. Melihat kaum bibirnya laksana unta.
Kisahnya berbunyi, Rasulullah SAW bersabda: Pada malam aku di-Israkkan oleh Allah, aku melihat kaum yang bibirnya laksana bibir unta. Dan sesungguhnya ada malaikat yang diserahi tugas menarik bibir mereka. Kemudian mulut mereka itu diisi dengan batu yang besar dan nanti akan keluar dari punggung mereka. Lalu aku (Muhammad) bertanya: “Wahai Jibril, siapakah itu?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan zalim.”
Cerita ini direkod dalam beberapa kitab tafsir. Malangnya ia adalah suatu hadis yang sangat lemah menurut penilaian Syeikh al-Albani sekalipun azab tersebut disebut dalam surah an-Nisa` ayat 10. Apa yang nyata adalah azab tersebut tidak dilihat oleh Rasulullah ketika Mikraj, tetapi ia adalah peringatan al-Quran yang sangat jelas.
Pembohongan Atas Nama agama dengan ‘sengaja’
Apabila meneliti sebahagian hadis-hadis yang telah saya nyatakan di dalam penulisan ini, saya dapati ramai penceramah dan pendakwah suka menyebarkan sesuatu yang tidak dikaji kesahihannya terlebih dahulu. Akhirnya mereka menyebarkan penipuan demi penipuan atas nama Rasulullah saw.
Berhati-hatilah dengan sebarang kata-kata kita, kerana Nabi saw pernah mengingatkan,
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
(HR al-Bukhari: 1291)
Apa yang terbaik buat kita ialah kita cuma berbicara pada perkara yang kita tahu kesahihannya sahaja. Manakala sesuatu yang menarik tetapi tidak diketahui kesahihannya sangatlah berbehaya untuk disebarkan.
Dr. Muhammad Asri berkata, “Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak patut dipersalahkan. Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada men
erusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi saw, sedang ia bukan seperti yang disangkakan.”
👤 Ustaz Haji Alam Shah Gaib
Tiada ulasan:
Catat Ulasan