Arak, Babi, Zina dan Riba: Semuanya Dosa Besar, Tapi Sensiviti Berbeza
Jarang kita dengar non-muslim di Malaysia apabila berkenalan dengan muslim, mereka akan hidangkan arak, atau babi. Ini kerana orang Islam sangat sensitif dengan babi dan arak. Pesta Arak yang cuba diadakan di Malaysia pun terpaksa dibatalkan atas alasan menjaga sensitiviti umat Islam. Kalau boleh botol arak pun nak dijauhkan.
Begitulah juga sensitifnya umat Islam dengan babi. Apabila timbul isu coklat ada sedikit DNA Babi (belum lagi lemak babi), maka sudah kecoh sampai ada yang nak cuci darah walaupun tak tahu daripada mazhab mana yang suruh dia cuci darah yang termakan coklat itu. Kasut kulit babi pun, kalau nak dijual di Malaysia, wajib diasingkan dan diletakkan notis, walaupun kulit babi yang dijadikan kasut, masih ada khilaf tentang sama ada boleh dipakai atau tidak. Baguslah, sensitiviti terhadap babi ini bagus.
Umat Islam juga sangat sensitif dengan zina, walaupun perzinaan di Malaysia boleh dikatakan agak meluas juga. Sensitifnya masyarakat terhadap zina ini terbukti dengan banyaknya bayi dibuang kerana takut menanggung malu keluarga. Bahkan sensitifnya umat Islam dengan zina, tangkap khalwat pun sudah memalukan, walaupun khalwat itu bukan lagi zina, tapi mukaddimah kepada zina.
Tapi bagaimana dengan riba? Masyarakat kita belum lagi sensitif dengan riba sebagaimana sensitifnya dengan zina, arak dan babi. Walaupun dosa riba sangatlah berat.
- Ada hadis yang menganggap dosa riba paling ringan adalah seperti berzina dengan ibu sendiri.
- Ada hadis yang menyatakan bahawa satu dirham riba lebih besar dosanya daripada 30 kali berzina.
- Paling jelas, ayat al-Quran yang mengisytiharkan perang oleh Allah dan Rasul kepada mereka yang degil dan masih terlibat dengan riba walaupun diberi peringatan dan amaran.
Bukti kita tidak sensitif:
- Masih banyak organisasi yang majoriti muslim contohnya sekolah-sekolah, dan instutusi kerajaan yang melanggan insurans konvensional, hanya kerana harga yang ditawarkan murah berbanding takaful, sedangkan ada produk takaful. Padahal pengurusan mereka adalah muslim, dan majoriti ahlinya muslim.
- Masih ramai yang tidak kisah dengan skim MLM yang mereka ceburi sama ada patuh Syariah atau tidak. Mereka cuma anggap, selagi ada ustaz yang sertai, selagi itu ia harus. Perlu diingatkan banyak MLM mengandungi riba yang tersembunyi, yang bertopengkan produk-produk pseudoscience tetapi motifnya ialah rekrut ahli yang menjadi ciri utama skim piramid. Skim piramid pula mengandungi unsur riba dan gharar. Produk cuma topeng sahaja. Kalau DNA Babi yang begitu tersembunyi dalam Coklat pun kita sensitif, tapi DNA riba dalam MLM Piramid tidak pula kita jauhi.
- Masih ramai yang tidak kisah dengan kad kredit mereka daripada bank konvensional, insurans kereta mereka konvensional, pinjaman mereka konvensional.
- Apabila diingatkan tentang isu kepatuhan Syariah dalam sesuatu skim pemasaran MLM atau pelaburan ponzi, ada yang kata, "Kalau was-was, kami tak paksa, tak payah join". Padahal mereka sepatutnya menjauhkan diri daripada skim-skim pemasaran / pelaburan mereka.
- Apabila ada banyak fatwa dan kajian daripada hampir seluruh dunia mengharamkan forex, masih ada yang tercari-cari fatwa yang cuba membenarkan, walaupun datangnya daripada ustaz yang bukan bidangnya, asalkan boleh pakai. Skim-skim berasaskan forex pun tumbuh dengan begitu marak, tak kurang juga di saat ini menggunakan nama crypto dan sebagainya. Riba dosa besar, bukan main-main. Lebih besar daripada zina dan lebih besar daripada minum arak.
Memang zaman ini kita takan terkena juga dengan riba tanpa boleh dielakkan, tapi part yang boleh elak itu, cuba-cubalah elakkan. Jika sudah terjebak, kembali ke pangkal jalan secepat mungkin, seboleh mungkin.
Benarlah sabda Rasulullah SAW:
Akan datang satu zaman kepada kamu yang mana seseorang itu tidak lagi peduli daripada mana harta mereka perolehi, sama ada daripada sumber halal, atau haram (Sahih Bukhari)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan