Jauh di utara China, satu sejarah telah tercipta. Bukan tentang peperangan, bukan tentang penaklukan — tetapi tentang tenaga. Negara itu kini menjadi yang pertama di dunia berjaya mengoperasikan reaktor nuklear jenis baharu yang tidak menggunakan uranium — sebaliknya menggunakan elemen yang jarang diberi perhatian: torium.
Reaktor ini dikenali sebagai TMSR-LF1 dan terletak di Wuwei, pinggir Gurun Gobi. Ia bukan sahaja beroperasi dengan stabil, malah telah berjaya ditambah bahan api baru semasa masih berjalan, tanpa perlu dimatikan. Ini bukan perkara kecil. Dalam dunia nuklear, menukar bahan api secara langsung dalam operasi adalah satu lompatan teknologi besar — dan China kini berada di hadapan.
Torium bukan benda baru. Ia pernah dipertimbangkan sejak zaman awal pembangunan tenaga nuklear, termasuk oleh Amerika Syarikat. Tapi disebabkan kekangan politik dan industri uranium yang sudah mendominasi, idea reaktor torium dilupakan. China mengambil keputusan berbeza. Mereka menghidupkan semula penyelidikan yang ditinggalkan Amerika, dan kini, hasilnya sedang berjalan — betul-betul — di atas gurun padang pasir.
Kenapa torium penting? Banyak sebab. Pertama, torium jauh lebih abundant berbanding uranium — banyak ditemui bersama unsur nadir bumi dalam pelbagai jenis batuan. Kedua, ia lebih selamat: reaktor garam cair torium beroperasi pada tekanan rendah, jadi risiko meletup sangat rendah. Kalau sistem gagal, bahan api membeku, bukan meledak. Ketiga, torium menghasilkan kurang sisa radioaktif, dan sisa itu pula kurang berbahaya dan lebih cepat stabil berbanding uranium.
TMSR-LF1 buat masa ini hanya menghasilkan 2 megawatt tenaga haba — cukup untuk membekalkan tenaga kepada kira-kira seribu rumah. Tapi ini cuma permulaan. Ia adalah prototaip. Jika berjaya dimodenkan dan ditingkatkan, torium berpotensi menjadi sumber tenaga bersih untuk bandar, industri, malah seluruh negara. Dan yang lebih penting, ia boleh dilakukan dengan risiko yang jauh lebih rendah berbanding loji nuklear konvensional.
China tidak hanya mengejar gelaran pencetus teknologi. Mereka melihat ini sebagai masa depan tenaga bersih, khususnya dalam era perubahan iklim yang mendesak. Dalam dunia yang mencari alternatif kepada arang batu, gas, dan minyak, torium muncul sebagai calon baru — dan sekarang, calon itu sudah mula berjalan. Saya harap ia akan "berlari" di bumi Malaysia.
Apa yang menarik ialah — di saat banyak negara maju ragu-ragu, China berani mengambil risiko. Mereka bukan sahaja membina sesuatu yang baru, tetapi membina semula harapan terhadap teknologi nuklear yang lebih selamat, lebih mampan, dan lebih bertanggungjawab.
MasyaAllah, betapa hebatnya ilmu dan ciptaan Tuhan yang memberi manusia kemampuan memahami atom, mengawal tenaga dari dalam unsur kecil, dan menggunakannya untuk membina masa depan. Dari gurun yang sunyi, kini muncul cahaya baru yang mungkin mengubah cara dunia menjana tenaga — bukan dengan letupan, tetapi dengan kebijaksanaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan