Jumaat, 10 April 2015

KITA BERGOLAK, MEREKA DUA KALI LEBIH BERGOLAK

KITA BERGOLAK, MEREKA DUA KALI LEBIH BERGOLAK

Dalam Buletin Utama TV3 tadi, penuh berita tentang sokongan penuh pimpinan BN terhadap Najib. Daripada Menteri, pimpinan UMNO hinggalah komponen-komponen kerajaan yang lain. Bersungguh-sungguh semua memuji jasa dan kredubiliti majikannya.

Kalau tengok TV3, semestinya kena faham sebaliknya. Tak boleh lurus bendul. TV3 memberi isyarat bahawa UMNO sedang berkocak teruk. Serangan Mahathir cukup kuat untuk menggoncang parti itu dari akar hingga pucuknya. Pengaruh orang tua itu masih kuat terutama terhadap orang-orang lama UMNO. Sebab itulah orang-orang kanan beliau berhempas pulas membelanya.

Kenyataan TPM dalam Buletin tadi pula menggambarkan sabotaj orang no.2 itu terhadap PM. Katanya, "beri peluang PM memerintah" menunjukkan tiads penafian terhadap tuduhan dan pendedahan Dr M, sebaliknya hanya sebagai kata simpati dan ingin menjadi hero seolah-olah beliau berada di tengah-tengah.

Sebenarnya sudah lama TPM bersikap sinis terhadap majikannya. Tentunya kita hairan bila pula TPM bersikap demokratik sebegini. Sebelum ini UMNO terkenal dengan sikap mengampunya. Semuanya kerana TPM telah melihat masadepan yang cerah untuknya andai Najib mengundur diri.

Keadaan ini sedikit melegakan kita. Selain PAS sendiri yang dimaklumi 'berkelahi' antara pihak yang fundamental dengan dasar Islam dan pembawa revolusi yang lebih liberal, parti lain juga menghadapi saat-saat sukar yang sama. PKR terlebih dahulu berkocak sebelum Langkah Kajang diumum. DAP pula tegang sejurus keputusan terbaru Mesyuarat Tertinggi mereka. Ramai orang cina bawahan marah dengan kepimpinan emosional LGE. Untung di Penang dan Sarawak, rugi di seluruh Malaysia. Parti-parti lain pula samada dalam BN mahupun bersendirian, bagaikan hidup segan mati tak mahu.

Saya melihat ini antara bantuan Allah kepada perjuangan Islam. Kocakan yang dibimbangi ramai mampu membuka lubang buat musuh mencari kelemahan PAS, ditutup oleh Allah dengan merobek lubang pada parti mereka sendiri.

Oleh itu kita perlu yakin, sedikit pergolakan ini bukan untuk melemahkan Islam, tapi sebagai  sunnatullah untuk mengukuhkan lagi tapak jemaah kesayangan semua ini. Anggaplah ia umpama goncangan air ketika dibancuh bersama teh dan gula. Jika tidak berkocak, takkan terhasil teh yang enak. Ataupun seperti kocakan menampi beras. Tanpa kocakan, beras yang bebas dari kotoran dan bendasing tidak tidak akan terhasil.

Kepimpinan mana yang tidak berkocak. Semua berkocak termasuk jemaah Islam. Hatta jemaah pertama dibawah kepimpinan Nabi sendiri pun berkocak angkara, musyrikin, munafiqin dan yahudi. Namun kocakan itulah yang menyebabkan orang-orang Islam semakin matang mendahului tamadun dan pegangan lain hingga mampu merajai dunia.

Kocakan ini adalah kocakan kemenangan!

Teringat sebuah dokumentari yang mendedahkan penghasilan berlian dari perut bumi. Berlian asli terhasil setelah melalui proses tekanan yang cukup kuat dengan suhu melebihi 4000 darjah celcius di bawah tanah. Tanpa tekanan sebegitu, takkan terhasil berlian yang sangat indah, bersih dari kotoran tanah dan amat bernilai harganya. Itulah resmi alam.

Kenanglah firman Allah SWT sebagai motivasi diri:
وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh itu; kerana kalau kamu menderita sakit maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[An-Nisa:104]

(Alang Ibn Shukrimun)

Tiada ulasan:

Feature Post

al Rahman

Harini saya belajar sesuatu yang betul-betul buat saya diam dan termenung... Daripada Ustaz Nouman Ali Khan tentang hubungan ant...

Popular Post