Pada 13 Februari 2017, seorang lelaki warga asing yang kelihatan cemas berjalan menuju ke kaunter pendafataran Lapangan Terbang KLIA2.
Apabila sampai di kaunter, dia memberitahu petugas kaunter bahawa "ada orang telah menarik saya dari belakang dan menyembur cecair di muka".
Dia memberitahu lagi bahawa ada seorang wanita "menutup muka saya dengan kain yang dibasahkan dengan cecair". [11] [4]
Beliau dimaklumkan oleh petugas kaunter bahawa ada klinik berdekatan dalam lapangan terbang untuk beliau mendapatkan khidmat perubatan.
Lelaki tersebut berjalan ke klinik 'Menara Medical Centre'. Dia masih dapat berjalan sendiri ke klinik. Pada ketika ini, beliau mulai berpeluh dan tekaknya terasa loya.
Apabila tiba di klinik, dia muntah dan kemudiannya tidak sedarkan diri. Dr. Nik Mohd Adzrul Ariff Raja Azlan, seorang pegawai perubatan yang bertugas dan jururawat yang berkhidmat, Rabiatul Adawiyah Mohd Sofi segera bertindak dan memberikan bantuan CPR. Dia telah diberikan ubatan Atropine, dan juga adrenaline. [1]
Pesakit seterusnya dimasukkan tiub pernafasan dan didapati banyak rembesan dalam bentuk air liur bercampur, muntah dan darah berkumpul di dalam mulut lalu disedut keluar. [1]
Beliau kemudian dipindahkan ke atas pengusung dan diangkut menggunakan ambulans persendirian ke Hospital Putrajaya. Hospital ini adalah hospital yang terdekat dengan lapangan terbang dengan jarak kira-kira 20 kilometer dari situ.[2]
CPR diteruskan dalam ambulans. [3] [4] [5] Semasa tiba, pesakit masih tidak bernafas dan jantungnya juga telah berhenti. Petugas di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya meneruskan resusitasi.
Petugas merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana diberikan maklumat dari petugas ambulans bahawa 'sesuatu telah disapu pada muka' sebelum pesakit mengalami masalah. Khuatir jika bahan toksik telah digunakan untuk menyerang pesakit, petugas-petugas mengenakan pakaian perlindungan diri.
Untuk perlindungan tambahan, mesin CPR automatik (Autopulse) telah digunakan untuk memberikan tekanan dada di zon resusitasi. Lebih ubatan atropine dan adrenalin diberikan. Malangnya, pesakit tidak memberikan respon kepada semua ubatan yang diberikan. Pesakit disahkan meninggal dunia setelah semua usaha untuk memulihkan beliau tidak berhasil.
RM400,000 DALAM BEG
Petugas Jabatan Kecemasan memeriksa beg milik simati untuk mendapatkan identiti beliau. . Mereka terkejut apabila menjumpai wang tunai kira-kira US 100,000 (bersamaan RM 400,000) dalam pelbagai matawang di dalam beg yang dibawa oleh mendiang.
Beliau mempunyai empat pasport Korea Utara dan kesemuanya bertulis nama 'Kim Chol'. [6] [7] Bagi mengikuti prosedur, laporan polis dibuat oleh Jabatan Kecemasan manakala mayat si mati ditempatkan di dalam bilik mayat hospital.
Pasukan Perubatan Forensik dimaklumkan tentan situasi. Semua wang tunai dan barang-barang milik si mati diserahkan kepada pihak polis. Bedah siasat mayat pula dirancang untuk dilaksanakan di Hospital Putrajaya pada hari berikutnya.
Lewat malam, pasukan perawat dikejutkan dengan berita yang tular di media sosial bahawa abang Pemimpin Korea Utara bernama Kim Jong Nam telah mati dibunuh dalam 'serangan' di Lapangan Terbang KLIA2. Mereka langsung tidak menyangka yang orang yang cuba diselamatkan sebenarnya adalah Kim Jong Nam.
Polis kemudiannya memaklumkan kepada pihak pengurusan hospital bahawa kes kematian ini adalah berprofil tinggi dan akan mengundang perhatian dari banyak negara.
Berikutan dengan perkembangan ini, keputusan dibuat untuk memindahkan mayat ke Institut Perubatan Forensik Negara yang bertempat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), yang juga merupakan pusat rujukan utama negara.
BANTAHAN POLITIK & AUTOPSI
Apabila keputusan dibuat untuk menjalankan bedah siasat di HKL, Duta Korea Utara menyatakan bantahan secara terbuka. Di hadapan pintu pagar Institut, Duta berkenaan membuat ucapan di hadapan wartawan-wartawan dalam dan luar ngera membantah untuk bedah siasat yang akan dijalankan.
Beliau menuduh bahawa bedah siasat tersebut adalah satu 'siasatan politikal' dan menuntuk siasatan bersama. [8]
Malaysia menolak permintaan Korea Utara melepaskan mayat tanpa bedah siasat dan penyiasatan. Bedah siasat diteruskan. Tambahan pula, pada diplomat Korea Utara gagal mengemukakan bantahan secara rasmi. [23]
Korea Utara bertindak balas dengan menahan sembilan rakyat Malaysian- tiga diplomat dan enam ahli keluarga di Korea Utara daripada meninggalkan negaranya.
Malaysia seterusnya bertindak balas dengan mengharamkan rakyat Korea Utara yang berada di Malaysia dari meninggalkan Malaysia. Wisma Putra mengambil tindakan demikian sebagai cagaran pertukaran dan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara.
Bedah siasat ke atas mayat Kim telah dijalankan pada 15 Februari dengan kehadiran beberapa pegawai Korea Utara. [9]
Siasatan ini diketuai oleh Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensic, Dr Mohamad Shah Mahmood. Mayat Kim disahkan berdasarkan padanan DNA ke atas anak sulungnya, Kim Han-sol. [10]
Pakar Perunding Forensik Dr Nurliza Abdullah semasa memberikan keterangan di mahkamah menyatakan bahawa anak mata mayat Jong-nam mengecil dan ini adalah antara tanda-tanda yang beliau telah diracun. [11] [12]
Mahkamah juga diberitahu bahawa terdapat ubat 'atropine' dalam beg Kim. Ubat ini adalah antidot bagi agen saraf seperti VX. Ini menimbulkan persoalan kemungkinan Kim mengetahui tentang kemungkinan serangan agen saraf sebelum kejadian itu. Mungkinkah ada orang sudah memberikan amaran kepada beliau? [13] [14]
Pakar Patologi Kimia Nur Ashikin Othman memberikan keterangan bahawa air kencing Kim menunjukkan kesan yang beliau terdedah kepada racun itu. [15] Terdapat paras 'kolinesterase' yang rendah dalam darah Kim dan ini boleh berlaku apabila Kim terdedah kepada sama ada kepada racun serangga atau agen saraf seperti VX. [1] [16] Darah kim menunjukkan paras hanya sebanyak 'kolinestrase' sebanyak 344 unit/L.
Keputusan bedah siasat juga menunjukkan bahawa paru-paru, otak, hati dan limpa Kim terjejas disebabkan racun itu. [15]. Polis turut menahan 'penyerang' Kim yang merupakan dua wanita yang dikenalpasti daripada CCTV lapangan terbang.
Walau bagaimanapun, paras enzim 'kolinestrase' kedua-dua 'penyerang' tersebut adalah normal, yakni menunjukkan mereka berdua tidak terjejas teruk akibat kesan terdedah dengan VX. [17]
Seorang ahli kimia Malaysia, Raja Subramaniam memberitahu mahkamah bahawa kesan agen saraf VX ditemui pada pakaian kedua-dua wanita dan kuku salah seorang daripada mereka. [18] [19] Penemuan ini menjadi bukti yang pertama yang membentuk hubungan di antara defendan dan agen saraf VX. [18]
Dr Mohamad Shah telah membuat kesimpulan yang jelas bahawa VX adalah punca utama kematian Kim . Bukti-bukti yang ada menunjukkan bahawa Kim meninggal dunia dalam tempoh dua jam diserang dan besar kemungkinan VX telah masuk ke dalam badan melalui mukus pada bola mata.
'VX' DISAHKAN
Pada 24 Feb 2017, Ketua Polis Tuan Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa laporan toksikologi bedah siasat mendapati bahawa terdapat kesan agen saraf VX pada muka Kim. [8] Berikutan penemuan itu, pasukan HAZMAT telah dihantar dengan serta-merta ke Lapangan Terbang KLIA2.
Mereka telah membuat penilaian dan cuba mengesan sisa-sisa 'VX' yang mungkin ada. Walaupun pasukan HAZMAT hanya digerakkan kira-kira satu minggu selepas kejadian, untuk berlaku adil, kejadian VX adalah suatu fenomena yang sangat jarang berlaku.
Selain itu, hanya satu orang terlibat dan dengan insiden ini dan tidak ada orang lain yang mengalami masalah dengan simtom yang sama. Oleh yang demikian penggunaan agen saraf yang boleh memudaratkan orang awam tidak disyaki. Pasukan HAZMAT tidak mengesan sebarang sisa VX melalui alat pengesan gas mudah alih mereka.
Besar kemungkinan, kesemua permukaan lantai di lapangan terbang tersebut telahpun dinyahcemar (dekontaminasi) dari kerja-kerja pembersihan oleh para pekerja yang membuat cucian secara kerap dan berkala selari tugas rutin mereka. Tidak ada sebarang laporan langsung mengenai sesiapa yang 'sakit' apabila melalui tempat insident.
Ada juga pakar yang percaya bahawa setiap 'penyerang' "mencampurkan dua atau lebih bahan kimia" di muka Kim untuk menghasilkan VX dari gabunan bahan-bahan ini. Ini dipanggail 'senjata kimia binari' yang mana bahan-bahan asas perlu dicampur untuk menghasilkan VX. [20] .21 [22]
Kaedah ini dicipta untuk memberi perlindungan kepada penyerang. Dengan cara ini juga, bahan-bahan asas boleh dengan mudah diseludup masuk ke Malaysia secara berasingan tanpa dikesan. [20] [21] [23] Walau bagaimanapun VX sebagai dalam bentuk asal tidak mudah tersejat ke udara. Ia perlu disapu pada kulit atau mukus untuk tindak balas berlaku.
'PENYERANG' KIM
Berdasarkan bukti-bukti rakaman CCTV daripada 'penyerang', pada 14 Februari 2017 pihak polis telah menahan seorang wanita Vietnam berusia 28 tahun bernama Daon Thi Huong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. [8]
2 hari kemudian, polis menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 25 tahun bernama Siti Aisyah yang telah dikenal pasti sebagai suspek wanita yang kedua. [24]
Huong memberitahu polis bahawa beliau diarahkan oleh empat orang lelaki untuk menyembur Kim dengan cecair yang tidak dikenali manakala Aisyah pula disuruh menutup muka Kim dengan sapu tangan sebagai satu bentuk gurauan bagi rancangan realiti televisyen.
Menurut Huong, selepas insiden, keempat-empat mereka menghilangkan diri dan dia membuat keputusan untuk kembali ke lapangan terbang pada hari berikutnya. [25]
Aisyah, seorang janda muda bekerja sebagai tukang urut di sebuah spa di Kuala Lumpur telah berada di Malaysia sekurang-kurangnya sehari sebelum serangan tersebut untuk meraikan hari jadinya dengan rakan-rakannya.
Dia kerap pulang ke Indonesia untuk bertemu dengan ibu dan anaknya dan memberitahu ibunya bahawa dia mendapat pekerjaan yang lebih baik sebagai seorang pelakon dalam video gurauan atau 'prank' untuk pasaran China. [26]
Selepas Huong dan Aisyah telah ditangkap, mereka mendakwa bahawa mereka menyangka menyertai satu program tv berbentuk gurauan. [27] Mereka telah dijanjikan kira-kira RM400 setiap seorang untuk menyembur Kim dengan 'minyak bayi'. [28]
Selesai 'tugas mereka' , mereka tidak dapat menghubungi orang yang terlibat mengarah mereka dan tidak sempat menerima bayaran yang dijanjikan. Menurut peguam mereka, Huong telah diambil menyertai 'rancangan' ini pada bulan Disember 2016 di Hanoi, Vietnam, manakala Aisyah pula telah diambil pada Januari 2017
Pengambilan mereka dalam perancangan ini telah dikendalikan oleh beberapa lelaki Korea Utara, yang menyamar sebagai orang Jepun dan China. Sejak pengambilan, Aisyah telah terlibat dalam membuat gurauan 'prank' sebanyak sekurang-kurangnya 10 kali.
Dia juga pernah diterbangkan ke Phnom Penh untuk melaksanakan gurauan ini sebanyak tiga kali dengan bayaran sebanyak RM 800. Huong pula telah melakukan aktiviti ini sebanyak empat kali di pelbagai lokasi termasuk terminal lapangan terbang dan hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. [29]
Berikutan 'gurauan' ke atas Kim, Aisyah mengatakan bahawa dia muntah dalam teksi selepas itu dan terus rasa tidak sihat. [4] Besar kemungkinan Aisyah juga terkena sedikit sisa VX. Walau bagaimanapun, Aisyah tidak mengalami masalah kesihatan yang berterusan selepas itu.
Proses mahkamah menyaksikan bahawa Aisyah dibebaskan dari pendakwaan. Tuduhan bunuh terhadap Huong juga dikeluarkan dan
dia mengaku salah melakukan kecederaan terhadap mangsa. Dia dipenjara untuk 3 tahun tetapi menerima pengurangan satu pertiga hukuman lalu bebas pada 3 Mei 2019.
Setelah selesai proses bedah siasat, Kementerian Kesihatan telah memberikan keluarga Kim dua hingga tiga minggu untuk menuntut mayat. [30] Mayat Kim diawetkan untuk mengekalkannya dalam tempoh tersebut. [31]
Bagaimanapun keluarga Kim enggan menuntut mayat dan memberi kebenaran untuk mayat tersebut diuruskan oleh pihak berkuasa Malaysia. [32]
Walau bagaimanapun, mayat Kim akhirnya diterbangkan ke Pyongyang pada 31 Mac sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membolehkan rakyat Malaysia di Korea Utara dibenarkan pulang ke Malaysia. [33]
Untuk masa lebih dari 1 bulan sejak insiden pembunuhan Kim hinggalah mayatnya dihantar pulang ke Korea Utara, Institut Perubatan Forensik di HKL telah dikerumuni oleh pemberita antarabangsa yang berkampung siang dan malam untuk mendapatkan perkembangan terkini.
'VX'
'VX' adalah salah satu 'agen saraf' yang dicipta untuk serangan kimia. Contoh agen saraf lain adalah Tabun, Sarin dan Soman. VX merupakan agen yang paling kuat antara semua ini. Semua agen ini mempunyai bahan asas 'organofosfat' yang digunakan secara meluas sebagai racun perosak.
Agen-agen ini berfungsi dengan menyekat enzim 'acetylcholinestrase' di dalam sistem saraf.
Sekatan terhadap fungsi enzim ini menyebabkan 'acetylcholine' berkumpul secara berlebihan dalam badan dan menyebabkan tubuh badan dirangsang untuk menghasilkan
simtom 'SLUDGE' iaitu 'Salivation' (air liur meleleh), 'Lacrimation' (air mata keluar bercucuran), 'Urination' (membuang air kecil), 'Defecation' (membuang air besar), 'Gastrointestinal cramping' (sakit perut), 'Emesis' (muntah0 dan 'Eye-pointed' (anak mata mengecil.
Selain daripada itu, agen-agen ini boleh menyebabkan kekejangan otot, tekanan darah tinggi, paras gula tinggi, otot menjadi lemah dan sawan.
VX berasal dari siri agen-agen 'V' yang ditemui pada tahun 1952 di United Kingdom oleh 2 ahli kimia iaitu Ghosh dan Newman. Huruf 'V ' merujuk kepad ' Venomous' berasaskan sifat beracun agen ini.
Pada mulanya ia pernah dijual sebagai racun serangga dengan jenama 'Amiton'. Walaubagaimanapun, racun ini didapati terlalu kuat kesannya lalu racun-racun ini dihentikan jualannya.
Setelah itu, pihak British berkongsi 'resipi' VX ini dengan Amerika Syarikat sebagai pertukaran bagi rahsia tenaga nuklear.
Dalam bentuk asal VX bersifat tidak berbau dan tidak berwarna. Walaubagaimanapun berbanding agen saraf lain, ia tidak mudah tersejat ke udara dan dalam bentuk cecair boleh kekal untuk beberapa bulan.
Semua agen saraf telah diharamkan oleh Pertubuhan Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) melalui Konvensyen Senjata Kimia pada tahun 1993.
Malaysia telah menandatangani konvensyen ini dan telah melatih inspektor kebangsaan yang secara aktif memeriksa kilang-kilang dan pengimportan bahan-bahan yang digunakan untuk membentuk senjata kimia.
Adalah sukar untuk menghasilkan senjata kimia di Malaysia kerana bahan-bahan yang berpotensi untuk tujuan ini dikawal. Sebaliknya, Korea Utara, yang masih belum menerima Konvensyen ini disyaki memiliki sejumlah stok senjata kimia. [20].
Adalah dipercayai bahawa VX telah diseludup ke Malaysia dalam kuantiti yang sangat kecil. Ada juga yang berpendapat bahawa bahan-bahan asas diseludup masuk sebagai 'ejen binari' untuk melepaskan halangan kastam dan pemeriksa. Ia tidak dapat disahkan kerana hasil bedah siasat hanya menunjukkan adanya 'VX' dan bukan bahan-bahan asas yang lain.
SERANGAN VX PADA MASA LALU
Pada tahun 1995 Aum Shinrikyo, satu kumpulan ajaran ekstrim telah melaksanakan serangan gas saraf sarin di stesen keretapi bawah tanah di Tokyo.
Ini telah mencederakan lebih daripada 6,300 orang. Sebelum kejadian Sarin itu, kumpulan tersebut juga menjalankan cubaan dengan menggunakan agen saraf VX terhadap sekurang-kurangnya tiga orang.
Salah seorang daripada mereka meninggal dunia selepas berada dalam koma selama 10 hari. Di mahkamah, ahli-ahli kumpulan ini mengakui bahawa mereka menggunakan picagari untuk menyembur ejen VX pada leher mangsa semasa mereka berjoging.
Hiroyuki Nagaoka, 79, salah satu daripada dua mangsa tersebut sedang berjalan di kaki lima di kawasan kejiranan beliau di Tokyo pada bulan Januari 1995 apabila salah seorang dari mereka menyembur VX ke belakang lehernya.
Bagaimanapun, sebahagian semburan ini dihalang oleh kolar jaket beliau. Nagaoka menjadi sasaran kerana beliau aktif menentang ajaran kumpulan ini dan menyeru ahli-ahli kumpulan ini meninggalkan kumpulan tersebut termasuklah anaknya.
Apabila tiba di rumah dan apabila sampai beliau mendapati bahawa pandangan mata beliau menjadi 'gelap'. Toksin VX telah menyebabkan anak matanya menjadi sangat kecil. Beliau kemudian mula berasa panas di dalam dan badannya lencun berpeluh tanpa henti. Simtom-simtom ini serupa seperti yang dialami oleh Kim.
Isterinya kemudian memberitahu kepadanya bahawa Nagaoka berkelakuan aneh seperti binatang dengan badannya berpusing-pusing sambil dia menggaru leher serta dadanya, sebelum bergolek dalam kesakitan lalu pengsan.
Beliau dikejarkan ke hospital dan tidak sedarkan diri selama dua minggu. Nagaoka percaya bahawa dia telah diselamatkan oleh kolar jaket yang dipakainya. Lebih daripada 20 tahun selepas serangan itu, Nagaoka masih berasa kebas pada sebelah kanan badan dan kini menggunakan tiub oksigen pada lubang hidungnya untuk membantu pernafasan.
Selain dari insiden sebegini, terdapat laporan bahawa kesan VX ditemui di kepala peluru berpandu di Iraq. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga mendapati beberapa bukti penggunaan VX oleh tentera Cuba semasa Perang Saudara Angola pada tahun 1988.
PENGAJARAN YANG DIPEROLEH DARIPADA SERANGAN 'VX'
Pihak yang terlibat harus menaruh syak bagi insiden-insiden yang kelihatan pelik seperti dalam kes ini. Dewasa ini, dengan meluasnya aktiviti terorisme serta adanya kepakaran bagi menghasilkan agen saraf, kemungkinan penggunaan agen-agen ini bagi serangan harus diambilkira oleh pasukan penyelamat dan pihak berkuasa sekiranya ada gejala 'SLUDGE' seperti dalam artikel ini.
Dalam kebanyakan kes terdedah kepada agen saraf, mangsa sering mengadu bahawa penglihatan mereka menjadi 'gelap' disebabkan anak mata menjadi kecil.
Para perawat di insitusi kesihatan haruslah membuat laporan sekiranya terdapat sejumlah mangsa dengan simtom yang serupa.
Dengan adanya kaedah 'senjata binari' yang mana 2 atau lebih bahan asas boleh dicampur untuk menghasilkan VX, penyeludupan bahan kimia boleh dilakukan dalam bentuk yang tidak tersenarai dalam bahan larangan import. Pihak berkuasa perlu menyedari kemungkinan ini dan mengambil langkah-langkah untuk keselamatan orang ramai.
Orang awam harus sedar bahawa mereka boleh diperdayakan bagi melaksanakan rancangan pembunuhan atau tindakan terrorisme.
Selain daripada masalah kesihatan, penggunaan agen saraf juga boleh menjejaskan hubungan diplomatik dan adakalanya rakyat yang tidak terlibat juga boleh dijadikan mangsa percaturan. Pakar strategi dan diplomat juga harus bijaksana dalam memainkan peranan mereka bagi memastikan keselamatan semua pihak.
Nota:
1. Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose, Pakar Perunding Perubatan Kecemasan mewakili Hospital Kuala Lumpur untuk inisiatif Artikel X OPCW Malaysia bagi pencegahan senjata kimia. Artikel ini ditulis berdasarkan maklumat yang dilaporkan media.
2. Kisah ini adalah salah satu kompilasi kisah benar dalam buku bertajuk ‘Krisis : setiap degup jantung ada cerita’ tulisan beliau yang diterbitkan oleh UiTM dan bagi yang berminat, boleh diperolehi di Shopee.
RUJUKAN
1. Leong, Trinna (3 October 2017). "Kim Jong Nam had 'constricted, pinpoint pupils' and other symptoms of VX poisoning, court hears". The Straits Times..
2. The Associated Press (9 October 2017). "Video shows North Korean motionless on gurney after attack". The National Post.
3. Kyodo News (29 January 2018). "Police: Kim Jong Nam met American days before murder". The Bangkok Post.
4. Fifield, Anna (26 February 2017). "North Korean leader's half brother suffered a 'very painful death,' Malaysian officials say". The Washington Post. Archived from the original on 27 February 2017.
5. Menon, Praveen; Chow, Emily (16 February 2017). "Murder at the airport: the brazen attack on North Korean leader's half brother". Reuters
6. Hong, Bede (25 October 2017). "Jong-nam trial told police found no footage of practice runs". The Malaysian Insight
7. Reuters (12 October 2017). "Murdered North Korean Kim Jong Nam had $100,000 in backpack, police witness says". The Japan Times.
8. Holmes, Oliver (15 February 2017). "Kim Jong-nam death: Malaysian police arrest female suspect". The Guardian
9. "North Korean embassy cars seen at KL hospital mortuary". The Star. 15 February 2017. Archived from the original on 17 February 2017.
10. "Malaysian assassination victim's identity confirmed by DNA". Kyodo News. Bangkok Post. 16 March 2017.
11. The Associated Press (27 November 2017). "Doctor: Kim Jong Nam's underwear soiled, pupils contracted". Yahoo News.
12. "Kim Jong-nam's underwear soiled with faeces, trial told". The Star. 27 November 2017.
13. "Kim Jong-nam killing: Regime critic carried 'antidote'". BBC News. 30 November 2017.
14. Surach, G. (8 November 2017). "Two North Koreans initially identified as suspects: Jong-nam murder trial". The Sun.
15. Agence France-Presse (3 October 2017). "Kim Jong-Nam suffered extensive organ damage, trial hears". The Hindustan Times.
16. Shim, Elizabeth (3 October 2017). "Kim Jong Nam 'red' and 'sweating' after attack, witnesses say". UPI.
17. Mustafa, Muzliza (4 October 2017). "North Korea's objection delayed post-mortem, says pathologist". The Malaysian Insight.
18. Eileen Ng (5 October 2017). "Chemist says VX nerve agent byproduct was on Kim Jong Nam murder suspect's shirt". Associated Press. Chicago Tribune.
19. Eileen Ng (4 October 2017). "Masks worn in Malaysian court as VX-tainted evidence shown". Associated Press. The Colorado Gazette.
20. Julian Borger, North Korea's use of nerve agent in murder sends a deliberate signal to foes Archived 24 February 2017 at the Wayback Machine., The Guardian (24 February 2017).
21. McCurry, Justin (20 February 2017). "What is the VX nerve agent that killed North Korean Kim Jong-nam?". The Guardian
22. David Bradley, VX Nerve Agent in North Korean's Murder: How Does It Work?Archived 25 February 2017 at the Wayback Machine., Chemistry World, republished at Scientific American (24 February 2017).
23. Richard C. Paddock, Choe Sang-hun & Nicholas Wade, In Kim Jong-nam's Death, North Korea Lets Loose a Weapon of Mass Destruction Archived 25 February 2017 at the Wayback Machine., New York Times (24 February 2017).
24. "Kim Jong-Nam killing: Second woman arrested in Malaysia". Sky News. 16 February 2017
25. "Killing of North Korean: Suspect thought she was playing a prank". Free Malaysia Today. 15 February 2017
26. Melissa Goh (19 March 2017). "Pranks, stardom, money: How a woman was allegedly coaxed into killing Kim Jong". Channel News Asia.
27. "Malaysia to charge women with murder of Kim Jong-nam". Al Jazeera
28. Eileen Ng (28 February 2017). "Malaysia charges two women in death of Kim Jong-nam". Associated Press. The Globe and Mail
29. Richard C. Paddock; Choe Sang-hun (13 April 2017). "Lawyers for Women in Kim Jong-nam Case Say They Were Scapegoated". The New York Times.
30. Eileen Ng (13 March 2017). "Malaysia says it will give Kim's family time to claim body". Associated Press. ABC News
31. "Malaysia says body of North Korean Kim Jong-nam embalmed to 'preserve' it". Associated Press. The Telegraph. 14 March 2017
32. Farik Zolkepli (16 March 2017). "'Jong-nam's family has given Malaysia permission to manage his remains'". The Star
33. Norikyo, Masatomo (2 July 2017). "Kim Jong Nam's son did not want body handed over to N. Korea". Asahi Shimbun.
34. Ryall, Julian (16 February 2016). "Did Kim Jong-nam's Facebook fixation lead to his death?". The Telegraph. Tokyo, Japan
35. Richard C. Paddock & Choe Sang-Hun (23 February 2017). "Kim Jong-nam Was Killed by VX Nerve Agent, Malaysians Say". New York Times.
36. "Report on the use of a chemical weapon in the death of a DPRK national" (PDF). Organisation for the Prohibition of Chemical Weapons. 7 March 2017
37. "VX survivor recalls brush with Aum assassin in '95" 25 February 2017 The Japan Times
Credit to
Dr Alzamani Mohammad Idrose
https://www.facebook.com/share/p/1A9kRwmg1x/