Selasa, 23 Mac 2010

Jangan Mudah Mengalah


Sejarah membuktikan bahawa hampir semua nama-nama besar dan terkenal adalah mereka yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan kali. Edison mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali. Kolonel Sanders cipta kejayaan dengan resepi ayam gorengnya setelah mencuba 1009 kali. Nelson Mandela menjadi presiden Afrika Selatan setelah dipenjarakan hampir sesuku abad. Goodyear mencuba hampir 10 tahun sebelum menemui kaedah untuk mengkomersilkan getah. Boon Siew, walau pun tidak tahu membaca dan menulis mampu menjadi jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja.

Dalam kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman bagi mereka yang persisten tetapi sebaliknya adalah kematian bagi mereka yang putus asa. Kejayaan sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kalau ia sesuatu yang mudah maka pastilah tiada manusia gagal. Ramai manusia gagal mencapai yang terbaik kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka. Ada sesetengahnya cuba melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa kecewa hanya setelah beberapa kali sahaja mencuba. Saya teringat baris kata-kata yang pernah saya terbaca dahulu, "When the going gets tough, the tough get going", dan satu lagi, "Quitters never win and winners never quit"

Cuba kita lihat bagaimana persistennya Nabi Muhammad s.a.w dalam mengembangkan agama Allah dizaman jahiliyah dahulu hingga terbentuknya sebuah negara Islam yang digeruni lawan dan dihormati. Tidak seperti rasul-rasul sebelumnya, Nabi Muhammad s.a.w mengembangkan Islam tanpa bergantung kepada mukjizat yang mencarik adat selain daripada Al-Quran. Baginda memulakan syiarnya ketika berusia 40 tahun setelah menerima wahyu pertama. Hanya kerana mahu membawa masyarakatnya beriman kepada Allah, baginda telah diejek, dicemuh, dilontar dengan batu. Pengikut-pengikutny a diseksa. Keluarga mereka didera dan dihina. Semuanya ini sedikitpun tidak menjejaskan kemahuan baginda untuk melihat Islam tegak dibumi Allah ini. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah adalah satu masa yang bukan pendek. Sikap persistensi sebeginilah yang perlu ada sekiranya seseorang itu mahukan kejayaan. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan seorang manusia cukup luar biasa dan mampu menggoncang dunia selagi tidak lari dari matlamat perjuangan, rela berkorban dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya. Kenapa mesti berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh sahaja memberikan kemenangan mudah kepada rasulnya? Sebabnya untuk manusia selepas itu menjadikan kehidupan dan perjuangan itu suatu tauladan. Salah satu darinya ialah sikap gigih dan tidak putus asa dari mengharap kemenangan dari Allah.

Air yang menitik secara berterusan itu mampu menghakis batu. Belakang parang yang diasah secara berterusan itu akan tajam. Begitulah juga dengan diri manusia. Oleh itu jangan putus asa dalam usaha. Anda tidak boleh gagal walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan setiap kegagalan itu satu pengajaran untuk memperbaiki diri, untuk mengubah perancangan, untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu milik anda kerana kuasa persistensi yang ada dalam diri.

Tiada ulasan:

Feature Post

al Rahman

Harini saya belajar sesuatu yang betul-betul buat saya diam dan termenung... Daripada Ustaz Nouman Ali Khan tentang hubungan ant...

Popular Post