
Beranikah kita berkata bahawa kehidupan anak-anak hari ini jauh lebih mudah daripada kehidupan ibu bapa, jika kita sedar bahawa setiap hari kita semakin menghampiri detik-detik fitnah Dajjal?
Fitnah Dajjal itu bukan pada kekuatan fizikalnya memusnahkan kehidupan seperti Yakjuj dan Makjuj.
Fitnah Dajjal adalah fitnah intelektual. Sesuatu yang sangat abstrak pada menukar baik menjadi buruk dan buruk menjadi baik.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah””. Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (H.R. Ibnu Majah)
Apakah yang nak kita tanamkan dalam jiwa anak-anak untuk mendepani fitnah yang besar ini?Menyedari akan hal ini, saya membuat kesimpulan, pendidikan agama yang menekankan hafalan Sifat 20, menghafal rukun Iman, menekankan hafalan lengkap 30 juzuk al-Quran, mengejar mata pencapaian peperiksaan pada belasan subjek akademik dan Diniyyah, bukan suatu jaminan keselamatan untuk menghantar anak ke masa depan yang penuh cabaran itu.
Mengukir agama pada jiwa anak-anak memerlukan satu proses yang tidak ada pada silibus sedemikian rupa. Justeru perjalanan hidup saya masih meneroka jalan keluarnya, mencari penyelesaiannya.
Terkenang kepada pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang pendinding yang menyelamatkan manusia daripada fitnah intelektual Dajjal yang terzahir pada Materialisma.
Ia adalah fahaman yang memaut makna pada yang tersurat hingga buta pada yang tersirat.
Berikut pesan Baginda:
Surah al-Kahfi!
Pastinya fungsi surah al-Kahfi pada menyelamatkan seorang manusia daripada fitnah Dajjal itu tidak berlaku hanya pada membaca dan menghafalnya. Sebaliknya, keterangan Sayyid Qutb berkenaan surah ini di dalam tafsir karangannya Fi Dhilal al-Quran, ada pencerahan:
Sayyid Qutb berpandangan, Surah al-Kahf itu bertindak sebagai pendinding manusia daripada fitnah Dajjal kerana ia menyentuh mekanisma perbuatan manusia.
Jika diri kita diumpamakan seperti iceberg, tip of the iceberg yang kelihatan di mata itu mewakili perbuatan. Manakala bahagian ais yang besar tersembunyi di bawah permukaan air laut itu adalah enjin di sebalik setiap perbuatan kita iaitu AQIDAH (sistem kepercayaan), MINDSET (cara berfikir dan melihat sesuatu termasuk kehidupan, i.e worldview) dan SISTEM NILAI (cara manusia membuat penilaian terhadap apa yang benar, berharga, penting dan berguna dalam hidup ini).
Tiga komponen inilah yang mesti dibangunkan agar seorang Muslim itu menjadi Muslim yang benar-benar menghayati agamanya, dan memperoleh perlindungan daripada salah faham dan kecundang kepada fitnah intelektual yang diketuai oleh Dajjal dan jenteranya.
Bagaimanakah semua ini boleh saya terapkan ke jiwa anak-anak. Jika John C. Maxwell berkata, “genius is about changing something complicated into simple“, hakikatnya saya masih belum cukup genius untuk memindahkan fikrah Islam dinamik ini kepada format yang boleh diserapkan ke jiwa anak-anak.
Saban hari saya berdoa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan