PIL PERANCANG MENYEBABKAN KANSER ?
Sekarang ini sedang heboh berita pil perancang menyebabkan kanser serviks. Apabila media mengambil maklumat secara selektif dan menyiarkannya tanpa mendapatkan maklumbalas daripada pakar tentang kesan berita yang mereka siarkan, maka orang ramai jadi panik dan takut. Berita yang berat sebelah itu akan menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Saya dengar ramai wanita berhenti serta merta pil perancang apabila membaca berita ini. Saya akan cuba kupas isu ini daripada sudut yang lebih luas.
1. Apa-apa sahaja ubat dan kaedah rawatan ada baik dan buruknya. Doktor yang merawat akan membuat pertimbangan manfaat dan mudarat. Sesuatu tindakan akan disyorkan jika manfaatnya lebih daripada mudarat. Hatta dalam apa sahaja kehidupan kita, inilah prinsip yang kita gunakan utk melakukan sesuatu ataupun tidak melakukan sesuatu. Saya pernah menulis bahawa menarik nafas pun ada risiko tetapi utk hidup kita perlu lakukan juga.
2. Amalan merancang keluarga mempunyai banyak manfaat samada manfaat yang berkaitan dengan merancang keluarga ataupun manfaat yang tidak berkaitan dengan merancang keluarga kerana ubat pil perancang boleh digunakan untuk mencegah dan merawat banyak masalah kesihatan wanita.
3. Amalan merancang keluarga terutama pil perancang membawa manfaat menjarakkan kehamilan, menghalang kehamilan tidak dirancang (contoh: kes rogol, wanita yang menghidap penyakit serius) dan memberi manfaat kepada anak. Hasil daripada kaedah merancang keluarga, kadar kematian ibu dan anak dapat dikurangkan. Kehamilan yang tidak dirancang seringkali membawa masalah kepada ibu, anak dan keluarga. Pil perancang juga menurunkan kadar kejadian pengguguran haram dan juga masalah kehamilan remaja yang semakin membimbangkan.
4. Amalan pil perancang juga mempunyai banyak lagi manfaat iaitu mengurangkan masalah haid seperti senggugut, haid yang tidak tetap, haid yang banyak dan juga haid yang tidak teratur. Pil perancang boleh digunakan untuk merawat masalah hormon lelaki yang berlebihan, sindrom pramenstrual, mengurangkan kejadian sista ovari, mengurangkan gejala endometriosis, mengurangkan risiko jangkitan pelvis, mengurangkan risiko kandungan luar rahim, mengurangkan risiko fibroid, mengurangkan risiko rheumatoid arthritis, meningkatkan densiti tulang, mengurangkan gejala asma, menurunkan risiko prakanser Rahim dan beberapa lagi manfaat yang tidak berkaitan dengan merancang keluarga (“non-contraceptive benefits”. Pendek kata, pil perancang juga boleh digunakan sebagai ubat untuk mencegah dan merawat pelbagai masalah kesihatan wanita.
5. PIL PERANCANG DAN KANSER.
Mari kita lihat fakta mengenai pil perancang dengan risiko menghidap kanser. Memang terdapat kajian epidemiologi yang menunjukkan bahawa pengamal pil perancang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara dan kanser servik. Walau bagaimanapun kajian ini adalah kajian “observational” yang tidak boleh digunakan sebagai bukti yang kukuh. Perkara kedua adalah pil perancang bukan penyebab kanser tetapi faktor sampingan yang menaikkan risiko. Kanser serviks disebabkan oleh jangkitan virus HPV, manakala punca kanser payudara masih belum diketahui. Seseorang yang tidak terdedah kepada jangkitan virus HPV, contohnya wanita yang belum berkahwin (belum melakukan hubungan kelamin), tidak mungkin akan menghidap kanser serviks walaupun mengambil pil perancang seumur hidupnya. Di samping itu pula risiko kanser payudara hanya dikaitkan dengan pil perancang jenis triphasic dan bukan daripada jenis yang sering digunakan oleh wanita kita. Peningkatan risiko kanser serviks hanyalah 7% ,manakala kanser payudara pula dalam lingkungan 24%. Peningkatan yang sebanyak ini sebenarnya adalah sangat rendah. Contohnya risiko kanser payudara di Malaysia adalah 23 bagi 100,000 orang, maka meningkat 24% bermaksud tambahan lebih kurang 6 kes iaitu daripada 23 kepada 29 kes bagi setiap 100,000 orang. Dengan perkataan lain hanya tambahan 6 kes untuk setiap 100,000 orang. Kadar peningkatan kanser serviks jauh lebih rendah dan memandangkan insiden kanser serviks lebih rendah daripada kanser payudara, maka peningkatan sebanyak 7% itu dianggap terlalu kecil. Kebanyakan kajian mengenai pil perancang ini hanya tertumpu kepada pil yang mengandungi dua hormon iaitu estrogen dan progesterone. Manakala pil yang mengandungi hanya progesterone sahaja seperti provera, noriday dan lain-lain tidak dikaitkan dengan risiko kanser.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kajian menunjukkan pengambilan pil perancang MENURUNKAN RISIKO 3 jenis kanser iaitu KANSER RAHIM (ENDOMETRIUM), KANSER OVARI DAN KANSER USUS BESAR. Pengambilan pil perancang keluarga menurunkan risiko kanser Rahim sebanyak 30%, menurunkan risiko kanser ovary sebanyak 30-50% dan menurunkan risiko kanser usus besar sebanyak 15-20%. Manfaat mengurangkan risiko kanser ovary juga akan diperolehi oleh wanita-wanita yang mempunyai mutasi gene BRCA 1 / 2 yang dikaitkan dengan kanser keturunan. Manfaat pencegahan ini masih terus diperolehi walaupun wanita berkenaan berhenti mengambil pil. Kajian menunjukkan bahawa kesan manfaat menurunkan risiko 3 jenis kanser ini berterusan walaupun pil perancang tidak lagi diamalkan. Jangka masa manfaat itu (menurunkan risiko kanser Rahim, ovary dan usus besar) didapati lebih lama daripada yang dibawa oleh pemberhentian pil perancang untuk tujuan menurunkan risiko kanser payudara dan serviks. Ini bermaksud manfaat menurunkan risiko kanser Rahim, ovari dan usus besar lebih besar daripada mudarat akibat kanser payudara dan serviks. Tambahan pula, kanser payudara dan kanser serviks diketahui mempunyai kaedah pencegahan dan saringan yang sangat berkesan. Sedangkan tidak ada kaedah pencegahan dan saringan yang berkesan untuk kanser ovari dan kanser rahim. Kanser ovari adalah di antara kanser wanita yang sangat sukar dikesan pada peringkat awal dan sukar diubati, begitu juga dengan kanser usus besar.
KESIMPULAN
Berpandukan kepada fakta-fakta di atas, jelas bahawa pengambilan pil perancang mempunyai sangat banyak manfaat berbanding dengan mudarat jika sekiranya diamalkan oleh wanita yang telah disyorkan. Sebenarnya pil perancang mengurangkan risiko 3 jenis kanser (ovari, rahim dan usus besar). Hasil kajian berkenaan dengan pil perancang dan risiko kanser serviks serta payudara tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menolak pengambilan pil perancang kerana hubungannya yang lemah dan hanya dikaitkan dengan jenis pil yang tidak digunakan pada hari ini. Tambahan pula kanser ovari yang boleh dicegah oleh pil perancang lebih sukar dikesan, lebih sukar dirawat dan mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi berbanding dengan kanser serviks dan payudara. Perhatikan betapa banyak manfaat yang bakal anda perolehi. Walau bagaimanapun memandangkan terdapat golongan yang tidak sesuai mengambil pil perancang, semua wanita yang berhajat untuk mengambilnya perlu mendapat nasihat doktor. Jangan risau jika doktor mengesyorkan anda mengambil pil perancang sebagai kaedah merancang keluarga kerana doktor tersebut tentu telah membuat pertimbangan yang tepat. Amalan mengambil pil perancang dan menghadiri lawatan susulan memberi peluang kepada anda untuk melakukan saringan kesihatan termasuk saringan kanser dengan lebih konsisten.
DATO’ DR.MOHD RUSHDAN MD NOOR
Pakar Perunding Kanan O&G
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
RUJUKAN
Schindler AE. Non contraceptive benefits of Oral hormonal Contraceptives. Int J Endocrinol Metab, 2013, 11(1):41-47
Burkman R, Schlesselman JJ, Zieman M. Safety concerns and health benefits associated with oral contraception. American Journal of Obstetrics and Gynecology 2004; 190(4 Suppl):S5–22
Bassuk SS, Manson JE. Oral contraceptives and menopausal hormone therapy: relative and attributable risks of cardiovascular disease, cancer, and other health outcomes. Annals of Epidemiology 2015; 25(3):193-200
Wentzensen N, Berrington de Gonzalez A. The Pill's gestation: from birth control to cancer prevention. Lancet Oncology 2015; 16(9):1004-6.
Hunter DJ, Colditz GA, Hankinson SE, et al. Oral contraceptive use and breast cancer: a prospective study of young women. Cancer Epidemiology Biomarkers and Prevention 2010; 19(10):2496–2502
Bhupathiraju SN, Grodstein F, Stampfer MJ, et al. Exogenous hormone use: Oral contraceptives, postmenopausal hormone therapy, and health outcomes in the Nurses' Health Study. American Journal of Public Health 2016; 106(9):1631-1637
Smith JS, Green J, Berrington de Gonzalez A, et al. Cervical cancer and use of hormonal contraceptives: a systematic review. Lancet 2003; 361(9364):1159-1167
IARC Working Group on the Evaluation of Carcinogenic Risks to Humans. Pharmaceuticals. Combined estrogen-progestogen contraceptivesExit Disclaimer. IARC Monographs on the Evaluation of Carcinogenic Risks to Humans 2012; 100A:283-311
Havrilesky LJ, Moorman PG, Lowery WJ, et al. Oral contraceptive pills as primary prevention for ovarian cancer: a systematic review and meta-analysis. Obstetrics and Gynecology 2013; 122(1):139-147
Wentzensen N, Poole EM, Trabert B, et al. Ovarian cancer risk factors by histologic subtype: An analysis from the Ovarian Cancer Cohort Consortium. Journal of Clinical Oncology 2016; 34(24):2888-2898
Friebel TM, Domchek SM, Rebbeck TR. Modifiers of cancer risk in BRCA1 and BRCA2 mutation carriers: systematic review and meta-analysis. Journal of the National Cancer Institute 2014; 106(6):dju091.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan